Thursday, April 7, 2011

Bab 58-60

Bab 58

MALAM ini suasana begitu nyaman sekali.Zahlia sedang berehat di ruang tamu sambil menonton drama melayu.Sudah seminggu Zahlia tinggal di rumah baru pemberian Tengku Syahran.Tidak lagi menumpang di rumah Adli.Zahlia terkejut apabila diberitahu oleh Adli yang rumah itu adalah hadiah dari Tengku Syahran.
Pada mulanya Zahlia tidak mahu menerima tetapi atas desakan Adli dan Anissa, Zahlia terpaksa akur.Itu amanah Tengku Syahran, kata mereka.Lagipun memang itulah peluangnya untuk tidak menyusahkan lagi kehidupan Adli dan Anissa.
Semasa Adli membawanya singgah di rumah dua tingkat itu, tiga hari sebelum dia berpindah, Zahlia terperanjat apabila mendapati rumah tersebut sudah lengkap dengan semua perabot dan perhiasan.Gambar-gambar perkahwinannya dengan Tengku Syahran sudah siap tergantung di dinding ruang tamu.Begitu juga di bahagian dapur, semua kabinet sudah dipenuhi dengan makanan dan kelengkapan memasak.
Kemudian dia naik ke tingkat atas.Bilik utama sudah siap berhias indah dengan katil yang sudah bercadar.Perabot dan set kerusi yang menarik tersusun megah.Di satu sudut, terhias sebuah rak khas untuk novel.Sempat Zahlia mencapai satu daripada novelnya dan menilik.Ada tertulis nama dan tandatangannya.
Zahlia mengimbau semula kenangannya pada malam dia meninggalkan Villa Sakura.Seingatnya novel itu talah ditinggalkan di dalam bilik.Zahlia hanya membawa beberapa helai pakaian sahaja.
Zahlia menuju ke almari baju.Dia membuka pintu almari dan mendapati ada sedikit bajunya yang tersusun di situ.Zahlia terdiam.Dia tidak tahu bagaimana barang-barangnya itu ada di situ.
Kemudian, Zahlia melangkah ke bilik sebelah.Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, air mata Zahlia hampir luruh.Seluruh bilik itu sudah dipenuhi dengan pakaian dan alat-alat mainan kanak-kanak.
Pintu almari dibuka.Di ruang matanya penuh dengan pakaian kanak-kanak yang berlipat dan bergantungan.Tiba-tiba matanya tertancap pada sekeping sampul yang terselit di bawah pakaian yang berlipat.
Zahlia duduk perlahan-lahan dan mencapai sampul surat itu.
Untuk Puteri abang,
Jagalah rumah ni elok-elok.Abang serahkan segala-galanya pada Alia.Alia hanya perlu duduk, makan dan tidur.Jangan lakukan kerja yang berat-berat.Bil air, telefon dan elektrik, abang akan uruskan.Kalau Alia perlukan duit, abang dah buatkan akaun bank atas nama Alia.Kad, buku dan nombor pin abang dah letakkan dalam laci almari.
Alia mesti ingat pesan abang, jangan lakukan kerja yang berat-berat.Jaga kesihatan Alia dan baby kita.Nama Alia, abang akan daftarkan di satu klinik swasta.Abang akan kirimkan nama klinik itu nanti.
Itu sahaja dari abang.Izinkan abang pandang Alia dari jauh jika hanya itu yang mampu abang lakukan untuk mengubat rindu.Assalamualaikum…


Rindu selalu,
Abang.

ZAHLIA tersentak apabila terasa pipinya basah.Bayangan isi surat yang dibaca seminggu yang lalu berbalam-balam hilang dari kotak ingatan.Zahlia tersedar yang dia sedang keseorangan ketika itu.Sedang bersendirian di dalam bilik yang dingin dan sejuk ditiup angin malam.
Tiba-tiba dia terasa tekaknya haus.Zahlia bangun dan melangkah perlahan-lahan ke pintu bilik dan menuruni anak tangga penuh berhati-hati.Di dapur, dia mengeluarkan sebotol air oren dari peti sejuk.Kemudian menuangnya ke dalam gelas manakala sebelah tangannya mengusap-usap perutnya dengan senyuman.
“Anak ibu haus ke?” dia bercakap seorang diri.Zahlia meletakkan gelas yang masih berbaki air oren itu di atas meja makan.
Dalam waktu yang sama Zahlia terdengar bunyi loceng berdering di luar rumah.Zahlia menoleh ke arah jam.Teringat janji Adli dan Anissa yang ingin bertamu di rumahnya malam itu.Zahlia mengukir senyuman.Segera mencapai tudung dan melangkah ke pintu hadapan.Tanpa disengajakan, tangannya terlanggar gelas yang masih berisi air orennya tadi.Terus tertumpah air itu ke lantai.
“Ya ALLAH!.” Zahlia bersuara.Dia mencari-cari kain buruk berdekatan.Tetapi bunyi loceng yang berkali-kali menghentikan niatnya.
Zahlia meninggalkan tumpahan air itu seketika dan melangkah ke pintu.Mencapai kunci pintu pagar dan keluar.Zahlia pelik apabila ternampak seorang lelaki sedang berdiri di luar pagar.
Zahlia memberanikan diri mendekati.
“Ya, encik cari siapa?” soal Zahlia takut-takut.Wajah lelaki itu tidak jelas kelihatan.
“Puan Zahlia?”
Zahlia mengangguk.
“Encik ni?”
“Saya… telah dihantar oleh Tengku Syahran untuk mengirimkan sesuatu kepada puan,” ujar lelaki itu.
Zahlia telan air liur.Dia terdiam sejenak.
“Dia ada di mana?” tanya Zahlia kepada lelaki yang berdiri di luar pagar itu.
“Syah berada jauh dari sini dan telah mengirimkan sesuatu kepada puan dan anaknya,” beritahu lelaki itu lagi.
Zahlia tersenyum kecil.Tengku Syahran masih mengingati kewujudannya.
“Mana barangnya?” Zahlia bertanya lembut apabila mendapati tiada barang yang tersangkut di tangan lelaki itu.
“Ohh… ada dalam kereta saya.Sekejap ya?” lelaki itu berlalu.
Zahlia cepat-cepat membuka pintu pagar.Dia menanti lelaki itu datang semula.Apabila lelaki itu sampai di hadapannya, dihulurkan sebungkus plastik kepada Zahlia.Zahlia menyambut dan sempat mengintai isi di dalamnya.Terdapat beberapa helai baju di situ.Zahlia tersenyum.
“Terima kasih,” ujar Zahlia.
Lelaki itu mengangguk.
“Saya balik dulu.”
“Ehh, masuklah dulu.Minum-minum,” pelawa Zahlia.
Lelaki itu nampak keberatan tetapi dia menurut.Zahlia hanya membenarkan lelaki itu duduk di luar rumah.Sementara dia masuk ke dalam membuat air.Apabila Zahlia keluar semula, dia terkejut kerana mendapati lelaki itu sudah berada di ruang tamu rumahnya.Zahlia terkesima seketika.
“Jangan takut.Saya hanya nak tengok rumah Syah.” Lelaki itu memberitahu apabila melihat Zahlia bagaikan terperanjat.
“Minumlah.” Zahlia pelawa.Tidak seramah tadi.
“Nama encik ni siapa?” tanya Zahlia takut-takut.
“Saya? Errr… panggil saya Faiz.”
“Oh, bagaimana boleh kenal dengan Syah?”
“Satu tempat kerja,” jawab lelaki itu acuh tak acuh.
Zahlia terdiam.Memandang lelaki itu menghirup air yang terhidang di atas meja.Dia merenung raut itu.Seperti pernah dilihatnya sebelum ini.Zahlia terus mengamati segenap wajah itu.Ada tahi lalat di tepi mata tersebut membuatkan Zahlia teringatkan seseorang.
Lelaki itu menyedari dirinya diperhatikan.Segera dia memandang ke arah Zahlia.Dahi Zahlia yang berkerut menyebabkan bibir lelaki itu mencetuskan senyuman nakal.Dia nampak Zahlia mula menjauhkan diri.
“So, you boleh ingat I lagi?” lelaki itu mula tergelak kecil.
Zahlia gugup.Faizal? Zahlia mendapati pintu rumahnya sudah tertutup rapat.Jantungnya berdegup kencang.
“Kau nak apa?”
“I nak you… you kena layan I macam suami you malam ni!” pengakuan itu menambahkan lagi getaran di hati Zahlia.Faizal sudah melangkah ingin mendekatinya.
Zahlia mula berasa cemas.Sempat dia mencapai cordless phone dan berlari ke belakang meja makan.Dia ingin menekan nombor telefon Adli.Tetapi Faizal bertindak lebih pantas.Faizal telah mencabut wayar di hujung telefon.
“Tolonglah keluar dari sini.” Zahlia seolah-olah merayu.
Faizal masih ketawa.
“Tak mungkin.I kena rosakkan you dulu sebelum I dapat kahwin dengan Linda.”
“Linda?”
“Kenapa? You terkejut?” Faizal terus ketawa.
“Laknat kau! Sampai bila kau nak mengganggu hidup aku?”
Zahlia mula menjerit-jerit.
“Sampai kau malu nak hidup lagi.” ketawa Faizal semakin bergema lantang.
Zahlia telan air liur.Dia terperangkap di hujung dinding.Faizal dilihatnya sudah semakin hampir.Zahlia ingin melarikan diri.Tetapi tangan Faizal sempat menangkap pergelangan tangannya.Zahlia hampir terjatuh.Mujurlah dia sempat berpaut di kayu kerusi.Cepat-cepat Zahlia menolak tubuh Faizal.
Zahlia berjaya bergerak ke arah pintu.Dia ingin keluar dari situ.Gagal lagi apabila baju mengandung yang dipakai tersangkut di hujung kerusi berukir.Zahlia terjerat di situ.Dia berusaha menarik bajunya dari terus tersangkut.Malang sekali bajunya terkoyak.
Terdedahlah sebahagian dari tubuhnya.Faizal mula bernafsu.Hilang bayangan tubuh Linda.Muncul keinginan yang meluap-luap terhadap tubuh Zahlia.Faizal melangkah ke arah Zahlia.Dia menarik tubuh itu sekuat hati lantas dihempaskan ke kerusi panjang.
“You kena layan I dulu sebelum melarikan diri,” ujar Faizal sambil mengusap paha gebu Zahlia.
Tudung di kepala sudah ditarik keluar. Zahlia semakin kuat meraung.Perasaannya berdebar-debar.Ya ALLAH… bantulah aku! Doanya dalam hati.
Zahlia mengumpul sepenuh kekuatan.Belum pun sempat Faizal naik ke kerusi itu, Zahlia sudah menendang tubuh itu.Tersungkur Faizal ke belakang sehingga terkena air panas yang terhidang di atas meja.Lelaki itu mengerang kecil.
Zahlia bangun dan berlari menjauhi ruang tamu.Dia ingin menuju ke dapur mencari apa-apa senjata yang boleh dijadikan penyelamat.Namun Zahlia terasa tubuhnya ditolak.Dia tergerak ke hadapan.Tidak sedar kakinya terpijak tumpahan air oren yang lupa dilap.
Zahlia tergelincir ke lantai.Tubuhnya terhempas ke bawah dan terus terbaring di situ.Zahlia menarik nafas yang semakin tidak menentu.Dia terbayang wajah Tengku Syahran yang tiba-tiba melayang di fikirannya.
Pandangannya semakin berpinar-pinar.Di waktu yang sama dia ternampak ada cahaya lampu memancar ke cermin rumahnya.Zahlia tidak mampu melawan kesakitan itu.Perlahan-lahan kelopak matanya tertutup.Membiarkan dunia yang menakutkan berganti dengan suasana sunyi dan gelap.
Faizal yang menyaksikan kejadian itu seakan-akan terkejut.Entah mengapa dia menjadi begitu takut.Dia kaku berdiri memerhatikan tubuh yang sudah tidak bergerak lagi.Mati terus niatnya untuk menyentuh tubuh itu.
Faizal ternampak dua manusia yang tidak dikenali masuk ke dalam rumah.Faizal semakin kalut.Mula berkira-kira untuk melarikan diri.
“Tak guna! Apa kau buat kat sini?” jerit Adli kuat sementara Anissa sudah berlari mendapatkan tubuh Zahlia yang terbaring.
Faizal cemas.Kepalanya digeleng.Tubuh Adli yang kian mendekati cuba dijauhi.Faizal berundur setapak.
“Bukan aku yang bunuh dia.Bukan aku!! Linda yang suruh! Linda…” jerit Faizal seperti orang gila.
Adli tersentak.
“Linda?”
“Jahanam kau!”
Tangan Adli ingin menangkap pergelangan tangan Faizal tetapi ditepis sekuat hati.Faizal berlari keluar.Langkahnya laju dan pantas untuk meninggalkan rumah itu.Destinasi utamanya hanyalah satu.Rumah Linda!
Adli mula menghampiri Zahlia.Anissa yang cemas sejak tadi, kelihatan pilu menangisi nasib Zahlia.
“Abang telefon polis dulu.Lepas tu, kita bawa Alia ke hospital.” Adli berkata sambil menekan punat telefon bimbitnya.
Anissa mengangguk lemah.Cuba bertenang.Tidak lama kemudian, Zahlia sudah pun berada di dalam kereta untuk dibawa ke hospital.
KERETA Faizal sudah pun sampai di hadapan banglo mewah milik Linda.Kelam-kabut dia melangkah keluar dari kereta dan berlari ke pintu rumah.Langkahnya tidak teratur.Mujurlah daun pintu tidak berkunci.Segera dia memulas tombol pintu itu dan melangkah ke dalam dengan nafas yang tidak menentu.
Faizal berasa lega.Daun pintu ditutup rapat dan dikunci sepantas kilat.Keadaan rumah yang suram dan gelap juga seolah-olah memberinya peluang untuk bertenang dari situasi panik sebentar tadi.Nasib baik Adli tidak mengejarnya sehingga ke rumah itu.
Faizal mengurut dada.Bersandar di balik pintu.Kemudian dia memberanikan diri mengintai di sebalik langsir.Manalah tahu, tiba-tiba Adli muncul di situ.Faizal melilaukan pandangan.Tiada apa-apa.Akhirnya Faizal tersenyum senang.
“Linda!” Faizal mula melaungkan nama wanita kesayangannya itu.
Kakinya melangkah sementara matanya sedang memandang tingkat atas.Tiada respons dari Linda.Faizal menghampiri anak tangga.
“Linda!” Faizal memanggil lagi.
Masih tiada respons.
“Hisy… ke mana pulak dia ni?” Faizal membebel seorang diri.
Kemudian Faizal mengatur langkah untuk naik ke atas.Dalam keadaan samar-samar itu, dia ternampak sesusuk tubuh terbaring di tepi tangga.
Faizal telan air liur.Dia cuba mengamati pemilik sebenar tubuh itu.Gagal kerana suasana gelap.Pantas Faizal menekan suis lampu di dinding berhampiran.Demi terpandangkan wajah pemilik tubuh itu, kaki Faizal terpaku.Tangannya menggigil ketakutan.Di pandangan matanya, tubuh Linda sedang beku dan kelihatan tompokan darah yang melekat dibeberapa bahagian pakaian Linda.
Faizal menjadi panik.Lebih hebat dari perasaan yang dirasai ketika melihat tubuh Zahlia yang terjelepok di hadapannya tadi.
“Tak mungkin! Tak mungkin! Linda…” Faizal menjerit kuat.
Kakinya mula melangkah ke arah Linda.Lalu diangkat dan dikendong sekuat hati.Tubuh Linda dibawa ke sofa panjang.Faizal meraung kecil.Dicium dan dipeluk tubuh itu.Berharap benar wanita itu sedar.
Tetapi Faizal kecewa.Mata Linda tertutup rapat.Malah tiada lagi nafas yang menderu.Ketika itu, Faizal dapat mendengar bunyi siren polis mula menghampiri.
Faizal masih memeluk tubuh Linda.Tidak lagi berniat untuk melarikan diri.Ketika beberapa orang polis menolak daun pintu rumah itu, Faizal hanya memandang dengan pandangan kosong.Dia seperti orang yang kehilangan akal.

Bab 59
POHON-POHON menghijau memenuhi suasana di waktu itu.Ianya amat menenangkan fikiran Zahlia.Di manakah tempat ini? Hati Zahlia tertanya-tanya.Tiba-tiba dia terasa bahunya dipeluk mesra.Apabila dia berpusing, Tengku Syahran berdiri megah di sisinya sambil tersenyum manis.
Zahlia turut membalas senyuman itu.Dipegangnya tangan Tengku Syahran yang melingkari di seluruh bahunya.Zahlia terasa sungguh bahagia.Dia sempat mengucup tangan itu.Namun, pelukan yang erat tiba-tiba menjadi semakin longgar.
Tengku Syahran semakin jauh dari pandangan mata.Zahlia kaget.Dia tidak mahu perkara itu berlaku.Rindunya pada Tengku Syahran sudah tidak dapat dibendung lagi.Zahlia tidak ingin ditinggalkan lagi.
“Abang!” panggilnya dengan kuat.
Namun, Tengku Syahran semakin jauh.Zahlia di situ keseorangan.Di satu tempat yang kosong dan sunyi benar.Zahlia perhatikan keadaan sekeliling.Tiada langsung manusia di situ.
“Abang…” Zahlia memanggil lagi tetapi panggilannya tidak bersahut.
Zahlia ingin menangis.Dia bangun dan berlari-lari ke seluruh tempat yang begitu asing padanya.
“Abang, jangan tinggalkan Alia.Alia takut… abang!” Zahlia tetap melilau.
Namun, kelibat Tengku Syahran sudah tiada lagi.Langsung tidak meninggalkan sebarang kesan mahupun bayangan.Zahlia terkulai di situ.Merenung segenap sudut yang luas tanpa penghujung.
“Abang…” Zahlia merintih pilu.Dia menutup matanya dan tunduk.Ingin menangis.
“Alia…” Zahlia terdengar ada suara bergema di telinganya.Dia mengangkat wajah.
“Alia… bangun sayang.” Suara itu semakin dekat.
Perlahan-lahan Zahlia membuka kelopak matanya.Dia sedang berada di satu bilik yang sejuk dan dingin.Tiada pohon-pohon hijau seperti tadi.Zahlia melihat keadaan sekelilingnya.Dia tidak keseorangan.Di sebelah kanannya ada Raja Khalida dan di sebelah kirinya pula ada Puan Azizah.
Kemudian Zahlia ternampak Adli dan Anissa di hujung katil.Dia juga ternampak keluarga Tengku Badariah sedang berkumpul di sekeliling katil.Semua mata sedang memandangnya.
Zahlia meliarkan pandangan ke satu-satu wajah.Mencari-cari raut yang datang dalam mimpinya tadi.Dia inginkan kehadiran lelaki itu di saat ini.Rindunya yang sarat semakin kuat mencengkam jiwa.Zahlia kecewa kerana wajah-wajah itu tidak langsung memberikannya harapan.Dia pandang ke arah Raja Khalida.
“Mama…abang mana? Alia nak abang,” ujarnya dalam nada sayu.Air matanya dibiarkan bertakung.
Raja Khalida memandang wajah Puan Azizah sebelum melarikan pandangan ke arah Adli dan Anissa.Dicapainya tangan Zahlia lalu disulamkan ke seluruh jarinya.
“Syah tak ada sayang.Kami tengah cari dia.”
Zahlia menggeleng.
“Alia jumpa dia tadi.Alia tau abang ada kat sini.Tolonglah mama… Alia nak abang.” Zahlia merengek-rengek kecil.Suaranya separuh merayu.
Raja Khalida memandang Tengku Badariah pula.Wanita itu hanya diam sejak tadi.Mungkin menyesali tindakan yang diambil beberapa bulan yang lalu.
“Nanti mama cari ya?” pujuk Raja Khalida penuh sabar.
“Alia nak abang sekarang.Alia nak dia ada kat sini.” Zahlia mula menangis.Esakannya membuatkan sudut kecil Raja Khalida tersentuh.Dia turut menangisi nasib anak tunggalnya.
“Puteri janganlah macam ni.Keadaan Puteri masih belum stabil.Puteri kena jaga kesihatan Puteri dan baby,” pujuk Raja Khalida lagi.
“Mama… tolonglah cari abang.Alia nak abang.” Tiada perkataan lain yang keluar dari mulut Zahlia.
Sungguh! Dia merindui Tengku Syahran.Ketakutannya kepada kejadian yang hampir meragut maruahnya amat menggetarkan jiwa.
“Macam ni… apa kata kalau Alia tidur dulu.Bila Alia bangun nanti, mesti Syah ada kat sini.Okey? Syhhh… Alia tidur dulu.” Terdengar suara Puan Azizah memecah tangisan kecil Zahlia.
Zahlia berhenti menangis.Ubat bius yang masih berbaki dalam darahnya perlahan-lahan menyebabkan matanya kuyu.Akhirnya Zahlia tertidur semula.
Raja Khalida mengeluh.
“Bagaimana Li? Mana kita nak cari?” soal Raja Khalida kepada Adli.
Tengku Badariah sudah menangis di sisi suaminya.Mereka yang lain sedang membisu.Puan Azizah mengusap rambut lurus Zahlia dengan penuh kasih sayang.
“Saya tak tau makcik.Syah langsung tak hubungi saya,” beritahu Adli.
Tengku Badariah semakin sebak.
“Semuanya salah Yah, bang! Kalau Yah tak ikutkan perasaan, benda macam ni takkan berlaku,” ujar Tengku Badariah sambil mengesat air matanya.
“Akak,kita lupakan soal tu dulu.Apa yang penting, di mana Syah berada! Kita kena cari dia,” beritahu Raja Khalida berbaur pujukan.
Tengku Ismail mengangguk dan sempat memandang anak-anaknya yang diam sejak tadi.
“Kamu semua ada cadangan?” tanya Tengku Ismail.
Mereka menggeleng.
“Syah tak pernah call Kimi.Kimi pun tak tau mana dia berada,” jawab Tengku Hakimi tenang.
“Ana pun sama.” Tengku Farhana pula menyampuk.
Tengku Hafizah tidak menjawab apa-apa.Dia hanya senyap sambil mengiakan kata-kata adiknya.
Raja Khalida menghela nafas.Bingung fikirannya.Dia kasihkan anak tunggalnya itu.Dia tidak mahu anaknya itu merana lagi.Raja Khalida juga takut penderitaan yang pernah dialami jatuh ke tangan anaknya pula.
“Kita berdoa ajelah.Mudah-mudahan ALLAH tergerakkan hati Syah untuk mencari Alia,” ujar Raja Khalida lemah.
Mereka yang lain terus senyap.
SETENGAH jam kemudian, Zahlia membuka mata.Terkebil-kebil dia memerhati keadaan sekeliling.Setiap wajah itu diperhati dan diamati lagi.Mencari raut yang masih muncul di dalam lenanya.Namun tiada.
Zahlia mengetap bibir dan mengeluh.Dia memandang ke arah Raja Khalida yang asyik mengelap air mata yang gugur.Zahlia juga sedar yang juring matanya sedang berair.Zahlia hanya membiarkan keadaan itu.Biarlah air mata itu tumpah seandainya melalui cara itu, kerinduan yang sarat di hatinya dapat dikurangkan.
Saat ini tiada yang penting dalam fikiran Zahlia selain kewujudan Tengku Syahran yang benar-benar diharapkan.Itulah keinginannya ketika dia membuka kelopak mata.Dia hanya mahukan Tengku Syahran yang menyapa matanya terlebih dahulu.
Tetapi segala-galanya hampa.Raut yang datang dalam mimpinya itu hanyalah mainan perasaannya.Kemunculan wajah yang turut diharapkan dalam dunia realitinya tidak berlaku sama sekali.Zahlia pilu.
“Mama, Alia nak balik.” Zahlia bersuara perlahan.
“Puteri dah boleh keluar esok.Esok kita balik ya? Kita balik rumah mama,” ujar Raja Khalida .
Zahlia pantas menggeleng.
“Alia nak balik rumah Alia.Alia nak tunggu abang balik.”
Raja Khalida terkesima dengan keputusan itu.Dia memandang Puan Azizah seketika.
“Puteri masih belum sihat.Baliklah rumah mama dulu… bila dah elok, barulah balik rumah Puteri,” ujar Raja Khalida sambil menahan sedih.
“Tak nak.Alia nak balik rumah Alia.Alia tak nak pergi tempat lain.Alia nak tunggu abang balik,” bantah Zahlia bersungguh-sungguh.Air mata Raja Khalida menitis lagi.
“Okey… okey… nanti mama hantarkan.” Raja Khalida akhirnya mengalah.
Selepas itu, Zahlia terus membisu.Tiada mood untuk bersuara lagi.Akhirnya, dia terlena kembali.

Bab 60
“MAAFKAN mak, Alia! Mak terlepas cakap.Mak tuduh kau yang bukan-bukan.Mak rasa berdosa sekarang.” Tengku Badariah mengusap lembut tangan Zahlia.
Zahlia baru sahaja sampai di rumahnya.Dia sedang duduk di birai katil di dalam biliknya.Dia tidak sedar bila Tengku Badariah berada di sisinya.
“Mak tak sangka Syah boleh ambil tindakan begini,” ujar Tengku Badariah dalam nada kesalnya.
“Alia dah lupakan semuanya mak.Dah lama perkara tu berlaku.Alia tak mahu fikirkan lagi.” Zahlia kelihatan tenang.Sesungguhnya memang dia tidak marahkan wanita itu lagi.
“Tak mungkin kau maafkan mak begitu mudah.”
Zahlia terdiam.Dia melirikkan matanya ke arah bingkai gambar yang terletak di almari kecil bersebelahan katilnya.Dicapai gambar itu ke dalam genggamannya dan diusap-usapnya lembut.Gambar Tengku Syahran tersergam indah.
“Alia tak marahkan mak.Alia yang bersalah kerana menipu mak selama ni.”
“Mak dah pun tak mahu ingatkan lagi hal tu.Apa yang mak kesalkan tindakan Syah meninggalkan kamu,” ujar Tengku Badariah sambil menggigit bibir.
“Itu bukan kesalahan abang, mak! Alia yang buat dia melarikan diri.Alia yang bersalah kerana menjadikan keadaan lebih rumit.Kalau Alia terima keputusan dia hari tu, dia takkan pergi dengan cara begini,” Zahlia sudah mula sebak.
“Hisyy… jangan cakap macam tu.Mak yakin dia ada berhampiran dengan kita.Dia mesti pulang.”
Zahlia tersenyum.Sesaat dua Zahlia terasa tubuhnya didakap.
“Pindah ke Villa Sakura semula, Alia,” pinta Tengku Badariah penuh harapan.
Zahlia melepaskan pelukan.
“Lebih elok begini, mak.Biarlah Alia duduk di sini aje.Abang pun entah ke mana! Lepas anak ni lahir, Alia ada rancangan sendiri.Alia ingat nak cari kerja,” ujar Zahlia tenang.
“Mak sayangkan kamu, Alia.” Tengku Badariah menarik tubuh itu ke pelukannya lagi.
“Alia pun sama.” Zahlia membalas.
Tengku Badariah menangis teresak-esak.
“Kamu tau tak yang Linda dah tak ada?” soal Tengku Badariah perlahan.
Pelukan mereka terlerai.
“Maksud mak?”
“Linda meninggal dunia masa hari kejadian kamu tu!”
“Haa?” Zahlia terkejut.
“Dia terjatuh dari tangga dan meninggal bersama anak tu.Mungkin itu balasannya.Dia yang mahu musnahkan hidup kamu dengan Syah! Dia yang hantar lelaki yang bertanggungjawab ke atas kejadian yang menimpa kamu.”
Zahlia tidak tahu hendak berkata apalagi.Berita itu sungguh mengejutkan.Dia hanya diam dan termenung.Sedar-sedar Tengku Badariah sudah meninggalkannya.
Zahlia bersendirian lagi.Perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya di tilam yang sudah dua hari ditinggalkan.Dingin sekali.Saat itu, Zahlia bagaikan terdengar bisikan halus Tengku Syahran yang berbaur usikan.Dan di kala itu juga, dia teringat satu ungkapan lelaki itu yang sering bermain-main di fikirannya.
‘Jangan sampai satu waktu, Alia yang menyerah kalah!Time tu, Alia hanya mahu melihat wajah abang sahaja bila Alia buka mata.’
Zahlia telan air liur.Perkara itu memang benar-benar terjadi ke atas dirinya.Tengoklah apa yang telah berlaku? Dia hampir menjadi gila kerana lelaki itu.
Zahlia melabuhkan tapak tangannya ke atas perut.Bibirnya tersenyum.Bingkai gambar lelaki yang di dalam genggamannya itu dicium sekali sebelum dilekapkan ke perutnya.
Kemudian dia memeluk bingkai gambar itu sambil memejamkan matanya.Entah mengapa lenanya mudah sekali datang menjelma dan cepat sekali dunianya yang ligat berpusing semakin berbalam.Fikirannya mula longgar dan tanpa disedari kelopak matanya tertutup rapat.

ZAHLIA tersedar lagi.Tapi, dia berasa pelik.Suasana di situ amat asing baginya.Di manakah aku? Dia tertanya-tanya.Dia memandang sekeliling.Tiada seorang pun di situ.Yang kelihatan hanyalah dunia yang dikelilingi padang pasir yang luas.Begitu luas sehingga dia sendiri tidak tahu di manakah penghujungnya.
Kemudian dia ternampak seorang lelaki menghampiri.Terus dia memanggil.Lelaki itu semakin mendekati.Kini sudah berada di hadapannya.Lelaki itu tersenyum.Zahlia pelik.Lelaki itu masih tersenyum.
Tiba-tiba dia terasa bahunya digoyang-goyang.Bayangan itu hilang.Dia cuba membuka mata.Wajah mamanya kelihatan.Dia menoleh ke sekeliling bilik.Semua ahli keluarganya ada di situ.
“Puteri, Puteri tak apa-apa?” lembut suara mamanya menangkap ke telinga.Zahlia tidak bersuara hanya memandang mamanya tanpa kata.
Zahlia kaku di situ.Sejak tadi bibirnya terkunci.Nafasnya sahaja yang kedengaran lemah.Lama dia merenung siling rumahnya.
“Mama, Puteri ada kat mana ni?” Zahlia bertanya tiba-tiba.
Semua mata yang memandang terkejut dengan soalan yang ditanya.Masing-masing berpandangan sesama sendiri.Bukankah itu rumah yang diduduki oleh Zahlia selama ini? Persoalan itu bermain-main di benak masing-masing.
“Puteri… ni kan rumah Puteri.Kenapa ni?” Raja Khalida mula risau.
“Puteri tak pernah tengok bilik ni pun? Kenapa nampak lain?” Zahlia bertanya lagi.Wajahnya nyata mempamerkan yang dia tidak mengetahuinya.Tengku Ismail yang tadi terdiam, mula mendekati.
“Alia… Alia… kenal ayah tak?” lelaki itu bertanya.
Zahlia mengalihkan pandangan ke arah suara itu.Matanya tepat memandang lelaki di sebelahnya.Lama dia memandang.Bibirnya diketap.Perlahan-lahan dia tersenyum dan kemudian mengangguk.Dia menoleh ke wajah mamanya semula.
“Mama, tadi Puteri nampak abang… tapi dia datang sekejap aje,” ujar Zahlia membuatkan semua yang ada di bilik itu semakin risau.Berpandangan mereka sesama sendiri.
“Puteri rasa penatlah.Kepala Puteri ni pening sangat.Puteri rasa nak tidur.”
Zahlia memejamkan matanya kembali.Kemudian suaranya tidak kedengaran lagi.Terus tenggelam bersama lenanya.
Air mata Raja Khalida bergenang.Kemudian mengalir perlahan-lahan menjatuhi pipi.Hatinya sebak dan pilu.Wajah Zahlia yang sedang lena ditatap sayu.Lemah tidak bermaya.
Dia tersentak seketika apabila terasa bahunya disentuh seseorang.Lembut.
“Mak Su, sabarlah.Fiza rasa Kak Alia letih sangat agaknya.Mungkin selepas dia berehat, eloklah tu.” Tengku Hafizah memujuk.
“Yalah Ida.Akak pun rasa begitu.Entah-entah dia berfikir banyak sangat tu.” Tengku Badariah menyokong kata-kata Tengku Hafizah.Tengku Hakimi yang dari tadi berdiri di sisi Sofea mula mendekati.
“Mak Su, janganlah risau sangat.Kimi pun percaya, Alia tak apa-apa.Terlalu asyik fikir masalah sendiri agaknya.” Tengku Hakimi berkata.
“Dahlah.Tak payah bising-bising di sini.Biarlah Alia berehat puas-puas dulu.” Tengku Ismail berkata.Serentak itu mereka melangkah longlai keluar dari bilik itu.

No comments:

Post a Comment