Bab 46
“MAAFKAN nenek, Puteri! Nenek berdosa.” Ucapan itu bagaikan terngiang-ngiang di telinga Zahlia.Zahlia dan Raja Khalida sudah berada di rumah Syarifah Muzainah.Baru sebentar tadi, Syarifah Muzainah menghembuskan nafasnya yang terakhir.Zahlia sedang menangis tersedu-sedan di samping mamanya.
Zahlia memerhatikan wajah yang terbaring lesu itu.Memang jelas terpancar rasa bersalah.Zahlia tidak marahkan Syarifah Muzainah.Lagipun, untuk apa menyimpan dendam pada orang yang sudah tiada? Hanya akan menambahkan dosanya.
“Puteri… sabarlah.Jangan menangis lagi.Mari kita mengaji bersama, sedekahkan pada nenek.” Suara lembut ibu saudaranya, Raja Khalisah memecah keheningan.
Zahlia mengangguk dan melangkah ke bilik air untuk mengambil wuduk.Setelah selesai membaca al-Quran, keluarga Tengku Syahran pun sampai.Zahlia melangkah mendapatkan suaminya.
“Dah lama abang sampai?” tanya Zahlia perlahan.Terselit nada sayu di dalam suaranya.Buat seketika Zahlia terlupa perbuatan suaminya.
Tengku Syahran menoleh ke arah Zahlia sejenak.Sudah lama dia merindui nada suara yang sebegitu.Hari ini isterinya pelik sekali tetapi hati Tengku Syahran masih bergolak dengan pelbagai soalan.Kenapa Zahlia datang lebih awal? Dengan siapa Zahlia ke rumah nenek saudaranya? Bukankah Zahlia memberitahu mahu ke rumah Puan Azizah?
“Abang?” Zahlia mencuit tangan Tengku Syahran.
Lelaki itu tersedar.Menyedari Zahlia berada di sisinya.
“Hmm… baru aje,” jawab Tengku Syahran pendek.
“Bila mak dengan ayah sampai dari airport?”soal Zahlia lagi.
Tengku Syahran menoleh ke arah Zahlia semula.
“Waktu mak dengan ayah sampai aje di rumah, Mak Su telefon beritahu Nenek Uda dah tak ada,” jawab Tengku Syahran.
Zahlia terdiam.
“Alia datang dengan siapa ni? Alia beritahu abang,Alia nak ke rumah mak, kan? Kenapa masa abang pergi tadi, mak kata Alia tak datang pun?” Tengku Syahran berkata dalam nada curiga.
Zahlia kehilangan punca.Gugup seketika.Dia sudah mengagak lelaki itu akan bertanyakan soalan begitu.
“Alia…” Zahlia tidak menjawab.Hanya tunduk.
Tengku Syahran semakin pelik.Direnung wajah itu dalam riak syak wasangka.
“Alia datang dengan siapa?” nada Tengku Syahran mula meninggi tetapi masih boleh dikawal.
“Alia datang dengan ma… err… mak ss… Mak Su,” jawab Zahlia sedikit gagap.
Tengku Syahran terus memandang Zahlia.Mula mengesyaki sesuatu dalam kegugupan isterinya.
“Alia ada sembunyikan apa-apa dari abang ke?” Tengku Syahran berbisik.Menambahkan lagi getaran di dada Zahlia.
“Ikut abang sekejap! Kita berbincang di luar.” Tengku Syahran bangkit dan berlalu.Zahlia terpaksa menurut.Dia tidak mahu Tengku Syahran mengamuk.
“Abang nak Alia berterus-terang.Apa sebenarnya hubungan Alia dengan Mak Su?” soal Tengku Syahran penuh curiga.
Tengku Syahran sudah lama mengesyaki akan hal itu.Semenjak dia melihat Zahlia bagaikan melarikan diri dari Raja Khalida dahulu.Bila dia mahu bertanya, pasti ada yang menghalang niatnya.Alih-alih soalan itu terbenam bersama masa yang berlalu.
Tengku Syahran seperti sudah dapat melihat ada sesuatu di wajah isterinya yang seiras dengan wajah Raja Khalida.Bagaikan ada persamaan.
Zahlia mendongak.Memandang sekilas ke arah suaminya sebelum mengarahkan mata ke sudut lain.Alasan apa yang harus kuberikan? Zahlia mati kutu.
Tindakan Zahlia memandang sekilas ke arah Tengku Syahran seperti memberi jawapan dengan sendirinya kepada soalan yang berlegar di fikiran lelaki itu.Pantas dagu Zahlia dipaut oleh tangan kasarnya supaya menghala tegak kepadanya.Anak mata Zahlia yang hazel direnung lama.
Tiba-tiba mulut Tengku Syahran terbuka sedikit.Kelu lidahnya untuk meluahkan kata-kata.Segenap wajah isteri ditenung sepuas mungkin.Diakah?
“Abang…” Zahlia menepis tangan suaminya itu.
“Alia dengan Mak Su…” Tengku Syahran memotong.Tetapi ayatnya terhenti sendiri.
Zahlia telan air liur yang tersekat di kerongkong.Dia perlu melakukan sesuatu, bisiknya.
“Apa… apa maksud abang, hubungan Alia dengan Mak Su?” Zahlia menyoal.
Tengku Syahran masih tidak menganjakkan anak matanya dari wajah Zahlia.Dia masih sukar mempercayai jawapan kepada persoalan di benak yang telah terjawab dengan sendiri.
“Abang?” Zahlia menggoyangkan tubuh suaminya.
Tengku Syahran tersedar.
“Alia anak Mak Su, kan?” Tengku Syahran menjelaskan lagi ayat yang terhenti tadi.
Zahlia menarik nafas panjang.
“Apa abang cakapkan ni?” Zahlia menafikan lagi.Wajahnya dilarikan ke tempat lain.Ya, ALLAH! Berikan aku kekuatan.
“Cakap betul-betul Alia! Abang tau Alia sedang menyorokkan sesuatu dari abang.” Tengku Syahran menyambar kasar lengan Zahlia.
“Aduh, sakitlah!” Zahlia menarik tangannya semula lalu digosok lengan itu dengan wajah yang berkerut.
“Okay… okay… sorry! Tapi, tolong beritahu… apa yang Alia sembunyikan dari abang.Tell me the truth!” suara Tengku Syahran separuh merayu.
Zahlia mengeluh.
“Tak ada apa-apa bang.Alia tak sembunyikan apa-apa dari abang.Kenapa tiba-tiba timbul hal ni? Merepek aje.” Zahlia masih bersikap selamba.
“Don’t lie! I know you’re hiding something! Kalau tak, kenapa Alia tak ada kat rumah mak masa abang singgah tadi? Semalam Alia beritahu abang yang Alia nak pergi rumah mak kan? Abang tengok kereta Alia tak ada pun.Alia nak tipu abang?” Tengku Syahran sudah hilang sabar.
“Yang abang sibuk-sibuk nak tau ni kenapa? Kan Alia dah cakap.Tak ada! Tak ada! Tak adalah! Kenapa tak nak percaya?” Zahlia mula menengking.
“Because you are my wife! I know your face reaction when you’re lying.Abang dah hidup dengan Alia nak dekat setahun.Abang tak pernah tengok muka Alia macam ni.Abang kenal dengan sikap jujur Alia! Mana perginya sikap jujur Alia?” Tengku Syahran pula yang menengking.Berkerut-kerut wajahnya ketika menuturkan kata.
Zahlia mula geram.Tiba-tiba teringatkan tengkingan lelaki itu yang amat menakutkan.Lantas perasaan Zahlia didatangi sebak.Bibirnya menggigil.
“Kalau abang kenal, kenapa abang buat Alia macam binatang dua malam tu?” herdikan Zahlia mematikan akal Tengku Syahran.Dia terlupa dengan sikap kasarnya beberapa malam yang lalu.Berubah terus wajahnya.
Zahlia dilihatnya sedang mengalirkan air mata.Tersentuh hatinya.Begitu sekalikah anggapan wanita itu atas apa yang berlaku? Tengku Syahran mengeluh berat.Dia sudah sedar dengan sikap kasarnya itu.Dia menyesali peristiwa itu.
Tengku Syahran meramas tangan Zahlia.Lembut sekali.
“Maafkan abang! Abang ingat Alia dah lupa.”
Zahlia menarik tangannya.Dia tidak mahu diusap begitu.
“Huh… mudah sangat jika abang anggap hati Alia sesejuk tu apatah lagi sehari dua.Alia bencikan abang!” Zahlia melepaskan rasa yang terbuku di hati.
Air mata yang menangisi malamnya sejak peristiwa hitam itu, datang lagi.Semakin menggamit diri yang benar-benar terasa dicemari.Zahlia mula menumpukan amarahnya pada peristiwa itu.Tiada lagi timbul persoalan tentang hubungannya dengan Raja Khalida.
Tengku Syahran kaku.Berdiam diri dengan herdikan Zahlia yang memarahi kesilapannya.Marahlah… marahlah aku, jika itu mampu mengubat hati lukamu sayang!
“Kenapa tak nak jawab? Dah habis modal?” gertak Zahlia lagi.
Semangat kekuatannya hadir tiba-tiba.Demi menegakkan kembali maruah diri yang telah dicemari.Zahlia tidak kisah air matanya menitis.Dibiarkan berjuraian sekalipun, kelukaan hatinya terlalu perit dirasakan.
Tengku Syahran tetap senyap.Tertunduk ke bawah kerana perasaan malu mengingati kelakuannya yang menyinga dua malam itu.
“Alia kecewa dengan sikap abang.Kalau ikutkan perasaan, nak aje Alia lari dari menghadap muka abang sejak malam tu.Tapi, abang tau tak mengapa Alia masih boleh bertahan sampai ke hari ni? Sebab… Alia ingat tanggungjawab Alia sebagai isteri.Alia sedar abang suami Alia walaupun dulu kita tak pernah bercinta.Cuma abang yang tak tau menggunakan peluang yang Alia bagi.Inikah caranya untuk Alia sayangkan abang? Ah, lupakan! Alia tak ingin bercakap dengan abang lagi.”
“Alia…” panggil Tengku Syahran.
Zahlia tetap melangkah pergi.Tanpa berpusing ke belakang walaupun sekejap.Tiba-tiba Tengku Syahran terjelepuk ke tanah.
Bab 47
“KAU nampak kurus Alia? Kenapa? Syah tak bagi kau makan ke?” soal Tengku Badariah lembut.Zahlia tidak menjawab.Hanya melemparkan senyuman pahit.
Soalan itu diutarakan oleh emak mentuanya ketika mereka menjamu selera tengah hari di rumah arwah Syarifah Muzainah.Sudah dua hari, Syarifah Muzainah meninggal dunia.Semalam, majlis tahlil arwah sudah selesai dijalankan.Tengku Badariah sudah berura-ura mahu pulang.
Tengku Syahran memandang sekali imbas susuk tubuh isterinya.Memang nampak jelas perubahan itu.Perubahan yang disebabkan olehnya.Dia yang bertanggungjawab.
“Emm… tak adalah mak.Alia yang tak berapa selera.Sejak baru balik dari demam hari tu, selera Alia macam dah mati,” ungkapan Zahlia bagaikan mengandungi satu mesej yang ingin disampaikan.Hanya Tengku Syahran yang tahu.
“Makanlah vitamin.Badan kau nampak susut benar.Risau mak tengok,” nasihat Tengku Badariah.
“Nantilah mak.Alia suruh abang belikan.” Hambar sungguh ucapan itu menangkap cuping telinga Tengku Syahran yang hanya menyepi.
“Kau Syah… apa yang kau dah buat pada Alia? Takkan kau langsung tak sedar, susut badannya?” Tengku Badariah beralih pula pada Tengku Syahran.
Tengku Syahran diam membatu.Hanya tunduk dari tadi.
“Syah! Mak tanya kau ni?”
“Syah dah bagi makan mak.Alia yang tak berselera.Takkan Syah nak paksa.” Spontan Tengku Syahran bersuara.Sempat dikerling ke arah Zahlia yang tidak ambil peduli dengan kata-katanya.
“Haa… itulah.Entah makanan apa yang kau belikan agaknya.Itu yang dia tak berselera.Sampai boleh demam-demam.Kau tak reti jaga Alia ke?” soalan Tengku Badariah menyebabkan ruang makan itu dipenuhi gelak-gelak kecil dari mulut ahli keluarga yang lain.
Zahlia tidak langsung berketik.Dia punya dunia tersendiri.Melayani perasaan hiba dan berkecamuk yang cuba disembunyikan.
Tengku Syahran terdiam.Tidak tahu mahu berkata apa-apa lagi.Seolah-olah persoalan emaknya terjawab dengan berkeadaan begitu.
“Alia nak ke dapur dulu.” Zahlia meminta izin dan terus melangkah pergi.
Zahlia mencuci pinggan dan cawan kotor yang terdapat di sinki.Suara riuh-rendah orang berbual tidak berjaya menarik hatinya yang sedang menanggung beban masalah tersendiri.Kemudian,Zahlia duduk di kerusi makan dan termenung di hadapan sinki.
Adakalanya tercetus keluhan kecil dari bibirnya seolah-olah menangisi nasibnya.Sampai bila aku harus melalui penderitaan ini? Zahlia merintih sendirian.
Zahlia tiba-tiba rindukan Fatimah.Dia juga teringatkan Razif.Apalah khabar mereka agaknya sekarang? Sudah banyak masa yang dilaluinya di Sinar Iram.Di sinilah dia mula mengenali Fatimah dan Razif.Di sinilah, Razif pernah menyuarakan rahsia hatinya pada Zahlia secara terang di hadapan Fatimah.Dan di sinilah juga Razif membongkarkan penyakitnya apabila dia jatuh pengsan tanpa diduga.
Pendedahan doktor tentang penyakitnya telah menyebabkan Zahlia kesal.Dia merasakan puncanya bermula dari dirinya.Tetapi, memang benar kata hatinya, dia tidak pernah mencintai sesiapa.Walaupun Razif sahabat lelaki yang paling rapat namun Zahlia belum bersedia untuk bercinta.
Zahlia sedih apabila diberitahu yang Sinar Iram tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membantu rawatan Razif.Zahlia takut kehilangan Razif.
Dan… pertemuannya dengan Tengku Syahran telah membantu Zahlia meleraikan masalah itu.Zahlia lupa dia masih mempunyai seorang mama yang tidak pernah mahu diakui.Zahlia kusut melihat wajah Tengku Syahran yang seperti sedang berdepan dengan masalah hidup yang besar.
Ketika Tengku Syahran menyuarakan hasrat hati untuk mengahwininya, Zahlia benar-benar terkejut.Mana mungkin dia sanggup mengahwini lelaki yang baru dikenali dalam tempoh seminggu.Tak mungkin! Itu kata putus dari hatinya ketika Zahlia sudah berkira-kira mahu meninggalkan lelaki itu.
Tetapi, rayuan Tengku Syahran yang beria-ia dengan sekelip mata dapat mengubah prinsip Zahlia.Dia teringatkan Razif tiba-tiba.Tambahan pula, ada ganjaran wang yang akan diperuntukkan.
Kini… apa yang telah terjadi? Adakah aku telah memusnahkan diriku sendiri kerana mengahwini Tengku Syahran? Tetapi, bukankah aku juga yang telah berjaya mengubah tanggapannya terhadap agungnya kuasa cinta dan aku juga yang telah berjaya membuka pintu hatiku sendiri untuknya menetap di situ? Ah… susahnya mahu menduga isi hati ini.
Zahlia tersedar bagaikan ada kelibat yang turut sama berada di dapur itu.Dia pusing.Pantas ingatan dan mainan perasaannya berarak pergi.Zahlia nampak Tengku Syahran sedang berdiri di belakangnya.
Tiada senyuman yang mahu Zahlia lemparkan ke wajah itu.Dia sudah habis mencuci pinggan dan ingin berlalu.Tanpa menunggu lama, Tengku Syahran ditinggalkan di ruang itu bersama perasaan bersalah yang menimpa-nimpa.Tengku Syahran mengeluh lagi.Ah, Zahlia benar-benar marah! Bisik hatinya dalam diam.
TENGKU SYAHRAN bingung.Dia mundar-mundir di dalam bilik.Sudah satu minggu dia berada di rumah arwah Syarifah Muzainah.Satu minggu jugalah jiwanya merana akibat hukuman yang Zahlia putuskan, tidak mahu bercakap dengannya.
Tengku Syahran sudah memohon maaf berkali-kali.Malang sekali maafnya itu ditolak bulat-bulat tanpa ada perasaan berbelah bagi.Tengku Syahran benar-benar kesal.Dua malam berturut-turut dia mengasari tubuh wanita kesayangannya.Dua hari jugalah wanita itu menderita dengan segala tindakan ganasnya ketika meniduri wanita itu.
Tengku Syahran terduduk di birai katil.Dia dapat melihat air muka Zahlia yang masih mampu menahan sabar di hadapan keluarganya.Bukan tidak pernah ditanya kemurungan wajahnya oleh ahli keluarga yang lain, malah sudah kerapkali ditanya.Zahlia boleh tersenyum walaupun Tengku Syahran sedar senyuman itu sekadar paksaan.
Satu keluhan keluar dari bibir Tengku Syahran.Ya, ALLAH ! Apa yang telah aku lakukan padanya? Kejamnya aku.Tengku Syahran menyesal.
Masih terbayang tangisan Zahlia yang kuat merayu-rayu agar dirinya dilepaskan.Pujukan itu amat mendayu-dayu sampai tangannya meronta-ronta menghalang tubuhnya didekati.
Tengku Syahran menggigit bibirnya.Kepalanya digaru-garu.Bingung dengan kebisuan Zahlia sejak seminggu yang lalu seakan menjerut tangkai hatinya.
Perasaan berdosa sudah lama menguasai diri Tengku Syahran.Rasa bersalah kian menggunung tinggi.Tengku Syahran mula sedar, disebabkan perbuatan dua malam berturut-turut itu, jiwanya tidak tenteram sehingga ke hari ini.Tengku Syahran menyesali dirinya apabila tersedar Zahlia benar-benar tidak sihat keesokannya.Sedangkan malam sebelum dia meniduri wanita itu secara kasar buat kali kedua, Zahlia sudah mengadu tentang hal itu.
Tengku Syahran menundukkan wajahnya.Aku telah memperkosanyakah? Terbetik persoalan yang menakutkan dirinya tiba-tiba.Aku telah memperkosa isteriku sendiri? Tengku Syahran terasa lemah.Ada air mata kesalan yang ingin menitis keluar.Turut bersimpati dengan kesalan itu.
Maafkan abang,Alia! Bisiknya.
ZAHLIA sedang menikmati angin malam di luar rumah.Matanya masih belum mengantuk.Dia juga tahu Tengku Syahran masih belum tidur.Kerana itulah Zahlia malas hendak naik ke bilik lagi.Pujuk rayu lelaki itu hanya akan merimaskan jiwanya.Zahlia risau jika dia tertewas dengan egonya.
Zahlia memeluk tubuh yang kedinginan.Terasa nyaman setelah seminggu menetap di rumah arwah neneknya.Dia mendongak ke langit.Tiada bintang yang berkelip malam itu.Seolah-olah memberi tanda yang hari hendak hujan.
Zahlia mengeluh tiba-tiba.Ingatannya tertumpu pula pada Tengku Syahran.Sudah seminggu dia tidak bertegur sapa dengan Tengku Syahran.Itu keputusannya.Kerap juga lelaki itu cuba mencetuskan perbualan tetapi tiada langsung yang menarik minatnya untuk berbual sama.
Cuma sebentar tadi, Zahlia hampir-hampir membuka mulut menjawab pertanyaan Tengku Syahran.Zahlia nyaris menerima huluran tangan lelaki itu yang mahu memimpinnya ke ruang makan.Mujurlah dia diingatkan semula dengan kata-kata yang lahir dari hatinya seminggu yang lalu.
Zahlia bungkam.Sampai bilakah dia dan Tengku Syahran harus begini? Senyap dan sepi sahaja yang mengulit setiap ruang.Adakah aku yang keras kepala? Bukankah lelaki itu sudah berkali-kali meminta maaf? Apalagi yang aku mahukan? Perceraian? Tak mungkin!
“Tapi, kenapa tak mungkin? Kau mahu dia sakiti tubuh kau lagi?” bisikan halus bergema di telinganya secara tiba-tiba.
Zahlia terdiam.Terbayang semula peristiwa hitam itu.
“Tidak!!” ujarnya dalam hati.
“Habis,minta aje cerai.Kau tak perlu menderita lagi.Biar dia yang menanggung masalah tu.Biar padan muka dia!”
Zahlia terdiam lagi.Memikirkan bisikan halus yang dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya.
“Dia dah perkosa kau, Alia? Suami kau sendiri… dah merendah-rendahkan maruah kau!” bisikan itu semakin mengancam sudut hatinya.Zahlia menerkup telinga.
“Tidak!!” jerit Zahlia lagi.
“Dia meniduri kau secara kasar, di dalam terang dan yang paling menakutkan di ruang tamu itu! Kau tak malukah?” bisikan itu masih menghasut.
Zahlia menggeleng.Dia tidak sanggup mendengar bisikan itu yang kian merobek hati.
“Minta cerai padanya! Perkahwinan ini tak mendatangkan bahagia.Apalagi yang mahu kau tunggu! Hanya penderitaan yang akan kau dapat! Minta cerai Alia!!”
Zahlia terus-terusan menggeleng.Minta cerai?
“Tidak.Aku tak mungkin bercerai dengannya.Syah perlu bertanggungjawab.Dia sendiri dah berjanji tak akan mengabaikan aku.Untuk apa aku meminta cerai? Dia akan bertanggungjawab ke atasku,” Zahlia membalas dengan jeritan di dalam hati.
“Kau pasti? Entah-entah… dia nak main-mainkan perasaan kau.Dia buat begitu kerana nak sesuatu dari tubuh kau.”
Zahlia memejamkan mata.Bisikan itu semakin menghiris hatinya.Semakin dihalang, semakin banyak yang mengacu pisau ke lubuk jiwa.Dia takut kebenaran berpihak pada bisikan itu.Segera dia menggeleng.
“Aku yakin! Syah sayangkan aku.Dan aku… aku jugak sayangkan dia.Aku takkan benarkan sesiapa merampas dia dari aku.Aku cintakan dia!!!” Zahlia menjerit sekuat hati.
Hanya anggota dalaman yang terasa gentar dengan jeritan itu.Hanya Zahlia yang tahu hatinya sedang menjerit sepuas hati mengatakan yang dia cintakan Tengku Syahran.Tiada yang tahu kecuali ALLAH yang dapat mendengar segala keluh-kesahnya.
Zahlia tersedar lantas dia beristighfar.Bisikan yang hampir memperdayakannya sudah hilang entah ke mana.Tiada lagi yang mengganggu fikiran.Segera Zahlia bingkas bangun.Bilik tidur yang sepi bagaikan melambai-lambai memanggilnya untuk ke situ.Zahlia menarik nafas sebelum melangkah ke bilik.
TENGKU SYAHRAN ternampak wajah sugul Zahlia terpacul di muka pintu, pantas dia menyeka air mata yang sedang menitis.Tengku Syahran memandang isterinya dengan rasa berbaur.Ada kesalan dan ada kerinduan.Dia kesal dengan perbuatan kejamnya dan dia merindukan suara lunak itu berbicara lembut memujuknya seperti suatu ketika dahulu.
Tengku Syahran nampak Zahlia sudah mencapai bantal dan meletakkan ke hamparan permaidani di hujung katil.Perbuatan itulah yang membebankan lagi perasaan bersalah dalam jiwa Tengku Syahran.Zahlia sedang melarikan diri darinya.Menjarakkan lagi perhubungan yang semakin longgar.Kata-kata hatinya bertandang lagi dalam diri.
Segera Tengku Syahran memejamkan matanya.Berbicaralah dengan aku, Alia! Aku rindukan kau… suara kau dan segala-galanya milik kau! Tengku Syahran berbisik dalam hatinya.
“Alia…” Tengku Syahran memberanikan diri untuk bersuara.
Zahlia dilihatnya sudah berbaring di atas permaidani tanpa apa-apa alas.Hanya bantal semata-mata.Wanita itu tetap membisu dan diam.
Mata Zahlia terkebil-kebil mengarahkan pandangan ke sudut lain.Jijik mahu meratah pandangan mata suaminya lagi.Kalau boleh dia tidak mahu mendengar suara itu juga.Zahlia sudah terlupa dengan jeritan hatinya tadi.
Tengku Syahran kecewa dengan respons Zahlia lalu perlahan-lahan dia mendekati Zahlia.Tubuh Tengku Syahran turut rebah bertentangan dengan Zahlia.Berkongsi bantal yang sama.Terus bersabung panahan mata masing-masing sehingga menggegarkan seluruh urat nadi kedua-duanya.
Zahlia bertindak untuk memalingkan tubuhnya.Cuba untuk menenangkan kencang yang berombak di dada.Dia terasa tangan Tengku Syahran memeluk pinggangnya.Dia hanya diam.Kalau ditolak, dia takut tindakan ganas itu berulang lagi.
“Maafkan abang!”
Zahlia terasa lehernya dikucup lembut.Dia memejam matanya.Suara gemersik begitulah yang dirindui.Bukan herdikan dan sepak terajang yang menyakitkan tubuhnya.Zahlia tidak tahu kenapa hari ini dia tidak menolak suaminya yang mahu bermesra dengannya.Malah jarak waktu seminggu yang diambil untuk mengelakkan diri dari berbicara dengan Tengku Syahran sebenarnya turut menghukum jiwa Zahlia yang kian menyayangi lelaki itu.Teringat kembali jeritan hatinya tadi.
“Abang bersumpah…”
“Jangan!” potong Zahlia.
Tengku Syahran terpana.Kali pertama sejak seminggu yang lalu wanita itu akhirnya membuka mulut.Hanya untuknya di ruang bilik itu.Tiada lagi terselit nada tangisan.Cukup tenang sekali.Lidah Tengku Syahran kelu tiba-tiba.
Tengku Syahran merapatkan tubuhnya lagi.Bagaikan terhidu haruman wangi yang terlahir dari rambut lurus milik isterinya.Benar kata hatinya… dia menyintai wanita itu.Terlalu cinta! Cinta yang membuatkan hatinya lebih merana, hebat dan asyik dari perasaan cinta yang pernah dirasai bersama Nazirah.
“Abang kejam, kan? Tak patut buat Alia macam tu.”
Zahlia terdengar bisikan lembut itu menyapa telinganya.Dia membisu.Gagal untuk mengeluarkan suara.
“Abang bersumpah,Alia! Abang bersumpah bersungguh-sungguh takkan buat macam tu lagi.” penuh kesungguhan Tengku Syahran membisikkan kalimah tersebut.Itu doanya.Tidak mahu menyakiti wanita kesayangannya lagi.
“Jangan! Nanti sumpah memakan diri!”
“Biarkan.Abang rela mati dimakan sumpah asalkan abang tak berperangai macam tu lagi,” balas Tengku Syahran.Dia bersyukur Zahlia sudah boleh mengeluarkan banyak bicara.Dia tak mahu wanita itu senyap dan membisu.
Zahlia mengeluh.Semenjak peristiwa dua malam berturut-turut itu, dia tidak tahu sama ada kasih dan sayangnya masih wujud untuk Tengku Syahran atau tidak.Yang Zahlia tahu dia rindukan belaian mesra lelaki itu seminggu lamanya.Dan tadi… segala rahsia hatinya telah diakui yang hatinya telah terisi dengan cinta lelaki itu.
Lamunan Zahlia terbantut apabila tubuhnya ditarik supaya menghadap Tengku Syahran.Zahlia diam dan menurut.Melawan pandangan suaminya yang disedari dia pasti tertewas!
“Hukumlah abang, Alia! Abang merayu tetapi tolong jangan menghukum abang dengan membisu begini.Jiwa abang lebih terseksa,” ucap Tengku Syahran beriak sesal.
Zahlia memejam matanya.Tidak rela menjawab walaupun sepatah.Dia sendiri belum bersedia memaafkan lelaki itu.Benarkah? Zahlia tertanya-tanya.Ya! Zahlia pasti yang dia belum bersedia.Tetapi, dalam waktu yang sama dia masih memerlukan lelaki itu di sisinya.Apa maknanya perasaan ini?
Tidak semena-mena air mata Zahlia merembes keluar dari kelopak mata yang tertutup rapat.Pantas diseka oleh ibu jari Tengku Syahran.Zahlia terasa dahinya dicium lembut.Syahdu hatinya.
Perlahan-lahan Zahlia merapatkan sendiri tubuhnya ke arah lelaki itu lalu dipeluk sepenuh kasih.Tanpa dipaksa dia menangis di dada itu.Terungkai sebuah dendam cinta yang menyeksakan.
Zahlia terlena dalam dakapan Tengku Syahran malam itu.Nyenyak tidurnya tiada lagi diganggu dengan mimpi ngeri yang pernah menyekat ketenangannya.Tiada juga sendu yang berlagu-lagu berserta esak tangis yang menemani tidur malamnya seperti beberapa malam yang lalu.
Bab 48
RAJA KHALIDA risau melihat Zahlia.Sejak akhir-akhir ini, Zahlia nampak muram dan suka termenung.Raja Khalida tahu anaknya itu sedang memendam sesuatu.Naluri keibuannya dapat menangkap perubahan itu.Raja Khalida dan Zahlia sedang duduk di belakang rumah Syarifah Muzainah.Masing-masing hanya menyepi dengan khayalan sendiri.
Terdetik di hati Raja Khalida, adakah perselisihan kecil sedang berlaku antara Zahlia dengan Tengku Syahran? Raja Khalida ingin bertanya tetapi dia takut soalan yang akan ditanya nanti akan membuat anaknya rasa tersinggung.
Raja Khalida tersenyum kecil.Teringat memori lamanya dengan Megat Safiuddin sewaktu dia sedang mengandungkan Zahlia.Dia pernah mengidamkan ikan terubuk panggang.Berhari-hari dia meminta suaminya membelikan lauk keinginannya itu.Tetapi, setiap hari jugalah Raja Khalida memendam rasa akibat sikap endah tak endah suaminya yang selalu sibuk dengan tugas.
Raja Khalida ingat yang dia pernah mengalirkan air mata kerana perkara sekecil itu.Tetapi, hati sensitifnya tidak boleh diubati kerana Megat Safiuddin bersikap tidak mempedulikan keinginannya.Tersedu-sedan dia menangis di hadapan suaminya merayu-rayu demi memenuhi keinginannya.Pernah juga dia mengugut mahu meninggalkan suaminya itu seandainya apa yang diidamkan tidak dipenuhi.
Silap suaminya juga kerana terlupa.Terus Raja Khalida menyambar beberapa helai pakaiannya dan disumbat ke dalam beg kecil.Dia melangkah keluar dari rumah itu dengan air mata.Tetapi di pertengahan jalan, Megat Safiuddin datang menghalang sambil menghulurkan bungkusan ikan terubuk panggang ke arahnya dengan senyuman mengusik.
“Maafkan abang.” Masih terdengar bisikan halus itu bergema di gegendang telinga Raja Khalida.
Raja Khalida tidak menghiraukan ucapan maaf itu.Keinginannya yang berhari-hari harus dipenuhi segera.Tanpa sabar dia menyambar bungkusan itu.Juga tidak perlu menunggu lama untuk meratah isi ikan terubuk panggang yang penuh dengan tulang di tepi jalan.
“Abang tak ada pengalaman nak handle perempuan mengandung.” Megat Safiuddin risau melihat reaksi Raja Khalida.Namun, dia terpaksa akur.
Raja Khalida tetap mengunyah isi ikan itu penuh rakus tanpa mempelawa suaminya makan.Kemudian setelah kenyang, dia menyerahkan saki-baki ikan itu kepada suaminya.Megat Safiuddin menyambutnya bagaikan orang bodoh.
“Jom, kita balik,” ujar Raja Khalida sambil memusingkan tubuhnya berpatah balik ke rumah.Beg pakaian sengaja ditinggalkan untuk diangkat oleh suaminya.
Raja Khalida tahu Megat Safiuddin terkejut dengan perubahan moodnya.Tiada lagi rajuk di hati Raja Khalida.Untuk apa bermasam muka? Ikan yang diidamkan sudah dapat.
Raja Khalida mengeluh.Kenangan lama menggamit dirinya sebentar tadi, akhirnya pergi jua.Raja Khalida memandang Zahlia yang sedang menyepi.Dia perlu bertanya.
“Puteri…” tegurnya lembut.
Zahlia tidak mendengar teguran itu.
“Puteri?” Kali ini suara Raja Khalida lebih kuat.Berjaya meretakkan kaca-kaca lamunan yang semakin sesat dalam benak Zahlia.
Zahlia menoleh pada Raja Khalida.Sedikit terpinga-pinga.
“Ya? Mama panggil Alia?” tanya Zahlia meminta kepastian.
Raja Khalida berasa pelik.
“Kenapa mama?” tanya Zahlia lagi.
Keadaan yang sunyi bagaikan memberi peluang kedua-dua beranak itu untuk menggunakan bahasa panggilan yang selama ini sering disembunyikan di mata umum.
Zahlia teringat peristiwa seminggu yang lalu.Semasa dia dan Tengku Syahran duduk berdua-duaan di tempat tersorok di rumah besar dua tingkat itu.Di situlah hampir sahaja dia melepaskan semua persoalan kisah hidupnya yang telah terjawab sekian lama.Rahsia yang sedang disorokkan dari suaminya.
Dengarlah Tengku Syahran… aku bukanlah seburuk yang kau sangkakan! Aku dilahirkan dari ikatan yang sah dan suci.Dan ini, di hadapanku wajah mamaku yang kau anggap telah melahirkan aku sebagai anak haram.Jeritan batin Zahlia bergema nyaring dalam jiwanya.
“Puteri ada masalahkah?” soalan Raja Khalida menyedarkan Zahlia.
Zahlia terkejut dengan pertanyaan mamanya.Dia tidak mahu masalahnya dengan Tengku Syahran kali ini diketahui sesiapa.Biar dia yang tanggung segalanya.Biar masalah rumah tangga itu dirahsiakan dan hanya dia dan Tengku Syahran yang tahu punca berlakunya kekeruhan itu.
Zahlia tidak mahu memburuk-burukkan nama Tengku Syahran biarpun dia sendiri pernah merungut sikap lelaki itu di dalam hati.Zahlia sanggup menyembunyikan perbuatan kasar lelaki itu terhadapnya dari diketahui oleh sesiapa.
“Ah, biarkan Alia! Untuk apalagi dihebohkan hal itu kepada khalayak ramai seandainya nama kau turut sama busuk apabila suami kau dikeji.Bukankah maruah seorang suami terletak pada rahsia yang disimpan oleh isterinya sendiri? Itu pesan Nabi Muhammad S.A.W. dan kau sendiri tak pernah lupa.” Zahlia terdengar bisikan halus itu bergema.
“Tetapi… bagaimana dengan maruah aku? Aku masih isterinya yang sah sehingga ke hari ini.Cuma dua malam itu aku tak lagi merasakan yang diriku adalah isterinya.Sebaliknya tak ubah seperti seorang pelacur yang terpaksa menyerah maruah diri apabila dipaksa.” Zahlia cuba menjawab.
Ya, ALLAH! Benarkah begitu sekali anggapanku terhadap diri ini? Jika itu yang terdetik, bantulah aku! Aku tidak mahu menambahkan lagi dosa dengan suamiku.
Buangkanlah perasaan buruk sangka dari tercetus di hatiku ini.Aku menyayangi dia semenjak dia berkecil hati denganku dulu.Dan aku berjaya! Janganlah kerana kesilapannya dua malam itu, aku buang dirinya jauh-jauh.
Aku dapat lihat kesungguhan kasih sayang dan cintanya yang dicurahkan padaku dari setiap perbuatannya.Sinar matanya… mungkin sudah lama terbias dengan perasaan itu.Cuma aku yang tidak berani untuk menatapnya.Aku akan belajar.
“Puteri… hei, kenapa menangis ni?”
Zahlia pantas menyeka air matanya yang tanpa sedar meleleh jatuh.Dia memaksa diri menguntum senyuman sambil menggeleng pada mamanya yang semakin risau.
“Tak ada apa-apalah mama.Tiba-tiba Alia teringatkan arwah nenek.Dah seminggu… arwah pergi.Walaupun Alia tak berapa kenal, Alia tetap terasa kehilangannya,” bohong Zahlia.
“Kita doakan rohnya selamat.Itu yang penting.”
Zahlia mengangguk.Raja Khalida terus bangun.
“Jomlah kita masuk,” ajak Raja Khalida sambil menarik tangan Zahlia.
“Mama masuk dululah.Alia nak duduk lama sikit.”
“Kalau begitu, mama masuk dulu, ya?” ujar Raja Khalida.
Zahlia mengangguk.
TENGKU SYAHRAN yang sejak tadi dapat mendengar perbualan Raja Khalida dan Zahlia terkaku di sebalik dinding.Mama? Puteri? Apa yang telah berlaku sebenarnya? Benarkah tekaanku seminggu yang lalu? Alia adalah anak Mak Su yang hilang?
Tengku Syahran telah dengar dengan jelas semua perbualan itu.Dia sedar dia tidak bermimpi.Dia masih waras dan semakin bersemangat untuk mengetahui apa yang sebenarnya.
Raja Khalida yang ingin masuk ke pintu rumah tersentak apabila ternampak kelibat Tengku Syahran sedang berdiri di balik dinding.Dia dengarkah?
“Eh, Mak Su! Dari mana?” soal Tengku Syahran selamba.
Raja Khalida cuba bersikap tenang.Dia gementar dalam diam apabila mendapati Tengku Syahran sedang berdiri tegak di balik dinding.
“Mak Su dari sana.Berbual dengan Alia.Dia ada kat sana tu,” jawab Raja Khalida tenang.
“Ohh… Syah tau.Tadi Alia ada beritahu Syah.” Tengku Syahran cuba berbohong.
Tadi selepas selesai menunaikan solat Subuh, isterinya itu sudah tiada.Entah di mana Zahlia mandi dan bersolat, Tengku Syahran langsung tidak tahu.Sehinggalah dia sampai di tempat tersorok itu mencari Zahlia dan mendengar setiap perbualan mereka.
Raja Khalida mengangguk.
“Mak Su masuk dulu, ya?” Raja Khalida melangkah pergi.
Tengku Syahran terdiam sejenak.Kemudian mengalihkan pandangan pada Zahlia.Diakah Puteri Safira Khairina? Anak Mak Su yang hilang bertahun-tahun lalu? Tengku Syahran tertanya-tanya di dalam hati.
Jika benarlah dia orangnya? MasyaALLAH! Apa yang telah aku lakukan? Kenapa aku tak boleh terima alasan yang dia tak mengenali lelaki yang tinggi lampai tu? Sebaliknya aku lebih rela mengambil kesempatan ke atasnya sehingga dia menangis tersedu-sedan.
Zahlia adalah calon yang pernah dicadangkan untuk menjadi isteriku sejak kecil lagi.Kenapa aku tak boleh perasan persamaan matanya dengan Mak Su? Mengapa lambat sangat aku mengetahuinya?
Tanpa sedar, Tengku Syahran menangis di situ.Dia terkulai menghadap kiblat dengan tangisan yang berbunyi kecil.Ya, ALLAH! Dua kali aku melakukan perbuatan itu! Dua kali!
Air mata Tengku Syahran mula mengalir.Semakin deras mengalir membasahi pipinya.Tengku Syahran memandang Zahlia lagi.Dia yakin dengan perasaannya.Lantas Tengku Syahran melangkah ke tempat itu.Bercucuran air matanya gugur ke bumi.Dia malu dengan perbuatannya tetapi sampai bila egonya harus berdiri tegak? Sekurang-kurangnya Tengku Syahran perlu merendahkan sedikit perasaan ego itu sekiranya melalui cara tersebut Zahlia sudi memaafkan dirinya.
Tengku Syahran melutut di hadapan Zahlia.Tersedu-sedan tangisannya menghadap Zahlia.Zahlia terkejut dengan kehadirannya tiba-tiba.
“Abang minta maaf Alia… abang merayu! Abang melutut! Maafkan kesalahan abang kerana dua malam tu.Abang berdosa Alia… abang berdosa!” tersekat-sekat suara Tengku Syahran bersama sedu-sedannnya.
Zahlia terlopong dengan tindakan dan kata-kata Tengku Syahran.Dia sebenarnya masih ralit melayani perasaan bahagia akibat dipeluk Tengku Syahran semalam.Zahlia kaku melihat air mata suaminya mengalir di hadapannya.
Baru sebentar tadi Zahlia sudah berkira-kira untuk memaafkan lelaki itu dan kemunculan Tengku Syahran yang tiba-tiba bagaikan faham dengan kata putus yang semakin jelas di dalam dirinya.
Zahlia tidak mahu Tengku Syahran melutut lagi.Lantas Zahlia bangun dan berdiri bertentangan dengan Tengku Syahran.Menarik lelaki itu agar berdiri tegak di hadapannya.Dengan sendiri matanya turut ditakungi air.Hangat membasahi wajahnya.
“Alia dah maafkan abang.” Pendek Zahlia berkata.
Tengku Syahran seperti tidak percaya.Diamati anak mata coklat yang sudah merembeskan air mata itu dalam-dalam.Tidak dapat tidak, hanya seketika dia dapat merenung biasan cahaya keikhlasan di situ kerana Zahlia begitu pantas menundukkan kepala ke bawah.Kebiasaan yang dilakukan apabila Tengku Syahran memandangnya lama-lama.
Tengku Syahran sudah pasti dengan kebenaran ucapan itu.Terus ditarik Zahlia ke pelukannya.
“Abang akan bertanggungjawab Alia… jangan risau! Walau apa pun yang berlaku, Alia tetap akan jadi isteri abang.Walaupun rahsia perkahwinan kita terbongkar sekalipun… kita pasti bersama.Faham?”
Zahlia mengangguk.Dia mula melentokkan kepalanya di dada bidang itu.
“Ingat, abang sayangkan Alia.Jika abang tak dapat memiliki Alia, abang boleh jadi gila.Alia nak abang jadi gila?” tanya Tengku Syahran laju.
Zahlia menggeleng.Air matanya masih mengalir.Tetapi, tiada tangisan yang kedengaran.Hanya sendu yang berbunyi.Kata-kata Tengku Syahran bersatu dengan harapannya.Zahlia bersyukur.Pelukannya dieratkan lagi.
“Abang jangan lakukan macam tu pada Alia lagi, ya?” pesan Zahlia tenang dan sopan.Berharap lelaki itu mengerti dengan perasaan takutnya.
“Abang bersumpah! Perkara tu takkan berlaku lagi.Abang berani bersumpah!”
“Abang buat Alia jadi takut.Alia betul-betul tak kenal lelaki tu.Alia takut dia lakukan perkara yang tak senonoh pada Alia.Alia ingatkan abang datang sebab nak tolong Alia.Rupa-rupanya malam tu…” esak Zahlia berbunyi semula.Dia gementar mengingati malam itu.Suaranya mula berselang-seli dengan tangisan di dada bidang Tengku Syahran.
Tengku Syahran terus mengetatkan lagi pelukannya.Berharap Zahlia berasa selamat bersamanya.Sempat dikucup bahu isterinya itu melepaskan rindu yang menggunung.
“Jangan ingatkan lagi.Abang pun nak lupakan peristiwa malam tu.Abang tau Alia mesti payah nak melupakannya, abang akan bantu.”
Zahlia mengangguk.Setuju dengan cadangan Tengku Syahran.Mereka menyepi dalam pelukan.Lama sekali.Seolah-olah melepaskan beban kerinduan akibat lama terpisah.
Suasana terus menjadi hening.Bagaikan mengerti wujudnya situasi baru dalam perhubungan mereka.Juga bagaikan merestui kasih sayang yang semakin parah antara kedua-duanya.
“Alia…” Tengku Syahran bersuara sayup-sayup.
“Hmmm…” perlahan Zahlia menyahut.Dia leka dalam pelukan itu.
“Boleh abang tanya satu soalan?”
Zahlia pelik dengan pertanyaan itu.Tengku Syahran menguraikan pelukan.Membuatkan Zahlia mengambil peluang itu untuk memandang wajah Tengku Syahran sebelum mengalihkan mata ke sudut lain.
“Mengenai apa?” tanya Zahlia sambil kakinya menguis-nguis tanah.
“Hubungan Alia dengan Mak Su.”
Terus Zahlia terasa dadanya berombak.Kakinya berhenti menguis tanah.
“Ceritakanlah Alia.Abang dah tau Alia dengan Mak Su ada pertalian, kan?” soal Tengku Syahran.
Pantas Zahlia menafikan kata-kata itu dengan gelengan.Dia bergerak jauh sedikit dari Tengku Syahran sambil memeluk tubuh.Berusaha untuk bertenang.
“Tak adalah.Mak Su kan ibu saudara abang.Mestilah ibu saudara Alia jugak.”
Alasan Alia tak dapat diterima oleh akal Tengku Syahran.Tengku Syahran tidak percaya.Dia sudah mendengar segala-galanya tadi.Kini dia cuma mahukan kepastian.Kenapa Zahlia masih cuba berbohong?
“Abang dah dengar Alia.Puteri dengan mama… apa bendanya tu? Please berterus-terang.” Tengku Syahran memujuk.Menghampiri Zahlia semula.
Zahlia terus menjarakkan diri.Takut dengan pengakuan itu.Dia sudah tahu? Jadi, perlukan aku berterus-terang?
Zahlia pernah terfikirkan hal ini dahulu.Tetapi, dia belum bersedia waktu itu.Tambah-tambah lagi sekarang ni, dia baru sahaja menerima Raja Khalida sebagai mamanya.
“Alia… janganlah tipu abang lagi.Tolonglah…”
Zahlia terdiam.Sudah bersediakah aku membongkarkan rahsia ini? Zahlia menggigit bibir.Mencari kekuatan untuk bersuara.
Zahlia terasa tangannya diusap lembut.Lelaki itu terlalu hampir dengannya.Sedang menguntum senyuman.Kacak sungguh!
“Abang tak bermaksud nak menakutkan atau memaksa Alia.Tapi sebagai suami, abang tak mahu lagi mencurigai isteri sendiri.Abang dah serik! Tolonglah Alia… jelaskan pada abang hal yang sebenar.” Tengku Syahran memujuk lagi.Erat tangannya meramas jari-jemari Zahlia.
Zahlia tertunduk.Malu dengan penipuannya sebentar tadi.Pujukan Tengku Syahran menusuk ke sanubari.Zahlia mengetap bibir.Mencari kekuatan untuk memberitahu Tengku Syahran perkara yang sebenarnya.
“Kalau Alia betul-betul anak Mak Su, apa abang nak buat?” lambat-lambat Zahlia membuka mulut dengan wajah ditundukkan.
“Kalau Alia betul-betul anak Mak Su, abang nak peluk Alia kuat-kuat! Kenapa tak beritahu abang berita gembira ni awal-awal? Sepatutnya kita kongsi berita gembira ni sama-sama sayang!” Tengku Syahran berbisik di telinga Zahlia sambil memeluknya.
Zahlia menolak tubuh Tengku Syahran.Dia lemas di perlakukan begitu.
“Alia tak cakap pun yang Alia memang anak Mak Su.Alia cuma tanya aje.Kenapa dengan abang ni?” Zahlia masih cuba menafikan tekaan suaminya.Manalah tahu ada ruang untuknya menyimpan rahsia itu lagi.
Tengku Syahran meraup rambutnya ke belakang.Mulai bosan dengan tindakan Zahlia yang seboleh-bolehnya mahu menyembunyikan sesuatu daripadanya.
“Berterus-terang ajelah Alia.Janganlah tipu abang lagi.” Tengku Syahran semakin hilang sabar.
Zahlia membetulkan tudungnya.
“Alia cakap apa yang betul! Abang yang tiba-tiba timbulkan hal ni.Alia tak ada kaitan dengan Mak Su pun.” Zahlia berkata lagi.
Tengku Syahran geram.Sepantas kilat ditarik tubuh Zahlia ke arahnya.Tubuh isterinya itu dipeluk seerat yang mungkin.Kalau boleh, tidak mahu dilepaskan lagi wanita itu pergi darinya.
“Abang, lepaskanlah Alia bang.Alia rimas.” Zahlia cuba menepis tubuh Tengku Syahran.
Tengku Syahran buat tidak tahu.Malah tangannya makin kemas memeluk tubuh itu sehingga terasa lekuk tubuh Zahlia melekap ke tubuhnya.
“Abang…” Zahlia mula merayu.
“Tak nak! Kecuali Alia beritahu abang cerita yang sebenarnya,” ujar Tengku Syahran.
Zahlia mendengus.Pelukan suaminya terasa ketat sehingga tiada ruang untuknya bergerak langsung.
“Alia merayu pada abang… tolonglah lepaskan Alia,” pinta Zahlia.
Tengku Syahran mengeluh kecil.Perlahan-lahan dilepaskan pelukan itu.Dia berdiri menghadap Zahlia.
“Kenapa susah sangat Alia nak berterus-terang?” tanya Tengku Syahran hambar.
Zahlia tertunduk.Dia malu untuk memandang wajah lelaki itu.
“Suka hati Alialah kalau tak nak beritahu abang.Malas abang nak ambil tahu lagi!” Tengku Syahran ingin berlalu.Tetapi, lengannya sempat disambar.
Zahlia menarik tangan Tengku Syahran.Dengan sendiri memeluk tubuh Tengku Syahran.Tanpa disuruh atau dipaksa.
“Maafkan Alia sebab merahsiakan hal ni.Alia takut abang tak nak terima sebab berkahwin dengan dua pupu sendiri.” Zahlia menyembamkan pipinya di dada bidang Tengku Syahran.
Tengku Syahran tersentak mendengar pengakuan Zahlia.Lama dirinya terpaku di dalam pelukan isterinya sebelum dia membalas pelukan itu.
Tidak lama kemudian, Zahlia merungkaikan pelukan.Zahlia mengesat air mata yang mengalir tiba-tiba.Melihatkan keadaan itu, Tengku Syahran menghela nafas.
“Abang sayangkan Alia.Bukan sebab yang lain, tapi diri Alia sendiri.Ingat sayang! Abang tak kisah asal Alia dari mana.Abang takkan persoalkan lagi status Alia.Perkara yang berlaku dulu, abang akui kesilapan abang.Dan abang berjanji perkara tu takkan berlaku lagi.Berikan abang peluang kedua,” ujar Tengku Syahran dengan penuh perasaan.
Tengku Syahran sudah lupa dengan masalah yang menimpa.Ingatannya tiba-tiba mati dari memikirkan hal-hal berkaitan dengan ugutan Linda dahulu.Tengku Syahran hanya mampu membayangkan saat-saat indah yang bakal dilaluinya bersama Zahlia.Tiada Linda yang mengganggu hidup.Dengan sendirinya bibir Tengku Syahran mengukir senyuman.Zahlia berasa pelik.
“Kenapa abang senyum?” teguran Zahlia menyentakkan lamunan.
Tengku Syahran tersipu.Rambut yang terjatuh di dahi segera ditolak ke belakang.
“Alia sudi berikan abang peluang kedua?” tanya Tengku Syahran lagi.
Zahlia menunduk sebelum mengangguk.Tengku Syahran tersenyum gembira.Tenang hatinya melihat penerimaan Zahlia.
“Terima kasih sayang.” Dikucup lembut dahi isterinya.
“Tapi, abang kena janji dengan Alia.Abang mesti rahsiakan hal ni dulu.Alia tak mahu sesiapa pun tau yang Alia ni anak Mak Su,” pinta Zahlia bersungguh-sungguh.
Tengku Syahran merenung anak mata isterinya.Kepalanya diangguk.Kemudian matanya tertancap pada jam di tangan.
“Abang rindukan suara Alia.Masa abang merajuk dulu, abang selalu dengar.Lepas abang dah okey, Alia pulak yang buat hal.” Tengku Syahran meraba-raba jam tangan pemberian Zahlia.
“Eh, tolong sikit ya! Siapa yang buat hal sebenarnya? Abang ke Alia? Ini yang Alia nak marah lagi ni!”
“Okey… okey…okey… abang yang salah! Jadi, Alia sudi maafkan abang tentang segala-galanya?” tanya Tengku Syahran lembut merenung isterinya.
Zahlia cuba melawan pandangan mata Tengku Syahran.Namun dia kalah jua!
Tengku Syahran ketawa kecil.Lama-kelamaan ketawanya itu semakin galak dan mula memecah kesunyian yang terulit di kawasan belakang banglo dua tingkat itu.
Zahlia terkejut melihat kelakuan Tengku Syahran.
“Syhhh… kenapa dengan abang ni? Nanti orang dengar, kita yang susah! Keluarga ramai-ramai kat dalam, kita senang-senang duduk kat luar,” marah Zahlia separuh berbisik.
Tengku Syahran mematikan gelak.Hanya membiarkan riak-riak senyuman terlahir di permukaan bibirnya.
“Abang suka tengok Alia tersipu macam tadi.”
“Maksud abang?”
“Yalah… bila Alia cuba nak pandang mata abang mesti tak lama.Abang rasa abang tau sebab apa! Alia berdebar-debar, kan?”
Zahlia tertunduk mendengar dakwaan suaminya.Dalam hati mengiakan.Tetapi, dia tidak mahu mengaku.
“Tak adalah.Siapa cakap? Abang ingat Alia ni pemalu sangat ke?” ucapan berani itu diucap dengan wajah yang tetap tertunduk.
Tengku Syahran terus ketawa.Zahlia sudah pandai membalas ucapannya dengan berani.Namun, Tengku Syahran tetap tidak yakin dengan kata-kata itu.Tengoklah tadi, cakap beria-ia pun, mata masih pandang ke bawah.
“Cakap besar! Cubalah… kalau Alia dapat pandang mata abang ni lima saat pun, abang akan bagi hadiah.”
Zahlia terkedu.Dia malu tetapi cabaran itu harus disambut.Pantas diangkat wajahnya mendongak ke arah lelaki itu.Melawan pandangan mata yang hitam bersinar.
Tengku Syahran turut memandang Zahlia.Sengaja melepaskan satu perasaan menggoda di situ.Dia tahu Zahlia sedang menggelabah.Dia tahu hati Zahlia sedang berperang sesama sendiri.Sebenarnya dia juga sedang berdebar-debar.Entah mengapa kali ini hatinya bagaikan ditarik-tarik untuk meneliti ke segenap wajah itu.
Direnung segala anggota wajah itu dengan perasaan berkocak.Tengku Syahran cuba menghampirkan wajahnya ke arah itu.Sedikit-sedikit! Semakin hampir! Tetapi apabila bibirnya hampir mengenai wajah itu, Tengku Syahran terasa tubuhnya ditolak.
“Oh, abang main tipu! Mana boleh macam ni? Nak ambil kesempatan pulak,” rungut Zahlia dengan wajah yang masam.
Tengku Syahran tersedar.Kecewa juga kerana keinginannya tadi tidak menjadi.Tetapi dia tetap mengakui kesalahannya dalam hati.Pantas ditoleh ke arah jam.Sudah lebih sepuluh saat mereka memandang sesama sendiri.Wow! Zahlia sudah semakin berani.
“Sebenarnya tadi abang nak bagi Alia hadiah sebab berjaya pandang mata abang lebih kurang sepuluh saat,” ujar Tengku Syahran.
“Mana hadiahnya?”
“Yang tadilah…”
Zahlia tidak faham.Berkerut dahinya.
“Yang mana?” tanya Zahlia pelik.
Cupp! Satu ciuman kecil hinggap di bibir Zahlia.
Zahlia terpana.Tengku Syahran sedang ketawa besar.
Terus Zahlia mengancingkan gigi sambil bercekak pinggang.
“Ambil kesempatan!” Zahlia menjerit kecil.
Ketawa Tengku Syahran semakin kuat.Lucu melihat reaksi dan kemarahan isterinya yang dianggap satu gurauan.Dia melihat wajah Zahlia sudah merah padam.
“Bila masa pulak abang ambil kesempatan ni?” pertanyaan itu bercampur dengan gelak ketawa.
Zahlia mengetap bibir.Geram dan malu kerana dipermainkan.
“Abang ambil kesempatan nak…” ayat itu tidak jadi diteruskan.
“Nak apa?”
Zahlia terasa wajahnya makin panas.Nada lelaki itu seperti ingin mengusiknya lagi.
“Nak…tulah.”jawab Zahlia.
“Apa?” Tengku Syahran mengangkat kening.
“Malaslah nak cakap lagi.Alia nak masuk.”
Zahlia merengus geram.Ketika dia ingin berlalu, tangannya disambar.
“Abang masih tak puas hati dengan tenungan tadi.Abang akan tunggu saat Alia dah boleh tenung mata abang ni lama-lama.Okey? I will wait, honey!” ucapan itu terluah bersama satu kucupan di dahi Zahlia.
Zahlia menghela nafas geram.Tetapi, akhirnya dia menguntum senyuman lega.Perlahan-lahan pasangan itu menapak ke dalam rumah bersama perasaan berbunga yang tersemat di kelopak hati masing-masing.
No comments:
Post a Comment