Bab 41
TENGKU SYAHRAN bersiul-siul kecil berjalan di sebelah Adli ketika mahu melangkah ke meja makan yang terletak tidak jauh dari mereka.Adli pelik melihat perangai teman baiknya itu.Nampak berlainan hari ini.Dah kemaruk agaknya dia ni? Hati Adli berdetik.
Setelah memesan makanan, Adli memerhatikan gelagat Tengku Syahran.Dia masih dengan dunianya.Adakalanya Tengku Syahran menyanyi kecil dan kadang-kadang dia tersenyum sendirian.Entah apa ubat yang Alia berikan agaknya! Rungut Adli lagi.
“Kenapa senyap,Li?” tiba-tiba Tengku Syahran bertanya.
Adli merenung wajah ceria sahabatnya itu.Pelik sungguh!
“Kenapa?” tanya Tengku Syahran aneh dengan renungan Adli.
“Kau tulah, pelik aku tengok hari ni,” beritahu Adli.
“Pelik? Pelik yang macam mana? I don’t get it!” tanya Tengku Syahran sambil menyuap nasi goreng pattaya ke dalam mulut.
“Tak ada.Aku tengok kau semacam aje hari ni.Tak pernah kau senyum sampai ke telinga lebarnya!” terang Adli dengan kerutan di dahi.
“Nothing! Aku biasa aje.” Tengku Syahran menjawab dengan senyuman.
Adli merenung temannya lagi.Wajah Tengku Syahran tetap selamba.Makin lebar senyumannya.
“Haa… tu tersengih tu.Apa kenanya ni? Dah lama benar aku tak tengok kau ceria macam ni! Pasal Alia ke?” Adli masih bertanya.
Tengku Syahran menjungkitkan bahu.
“Aku biasa aje, Li.Tak ada apa-apa.Kau yang merepek ni.”
“Kau biar betul Syah.Aku kenal kau dah lama tau!”
“Betul.I’m okay!” beritahu Tengku Syahran bersungguh-sungguh.
Giliran Adli pula yang menjungkitkan bahu.
“Suka hati kaulah Syah! So… kau dengan Alia dah all right?” Adli mula mencari ruang untuk mengetahui perkembangan perkahwinan temannya.
Tengku Syahran tersenyum lagi.Teringat peristiwa indah yang pertama kali berlaku dalam hidupnya semalam.
“Alhamdulillah semenjak dua menjak ni dia dah jinak sikit.Cuma kau faham-faham ajelah Alia tu, angin satu badan.Tambah lagi dengan rumah yang tengah tak ada orang sekarang ni.Pantang usik sikit, nak mengamuk aje!”
Adli ketawa.Kemudian dia menghirup teh aisnya.
“Pandai-pandailah kau ambil hati dia.Ambil peluang masa rumah kau tengah kosong ni.Kalau dia tak suka… kau kacau buat apa?” soalan Adli membuatkan Tengku Syahran terkulat-kulat.
“Mana tahan duduk berdua senyap macam tu aje! At least, nak juga aku…”
“Ah, sudah… sudah! Tu mulalah nak cakap benda kotor tu!” potong Adli pantas.
“Mana ada? Kau ni… main tuduh aje!”
“Habis, tengok dari gaya percakapan kau tu, bukannya boleh percaya.”
“Aku nak beritahu kau… daripada duduk berdua macam tu aje, baik aku ambil peluang untuk bermanja dengan dia.Dia tu aje yang tak faham!” ujar Tengku Syahran sambil menyuapkan lagi nasi goreng pattaya ke dalam mulutnya.
“Cara kau kasar sangat agaknya?” Adli tergelak.
“Entah.Aku pun tak perasan.Mungkin jugak, Li!” ujar Tengku Syahran sambil menghirup milo aisnya pula.Peristiwa semalam terbayang lagi.Ah,aku cintakan kau, Alia!
“Itulah… kau kena pandai bermain dengan situasi.Ini, ikut sedap kau aje! Hari tu dia dah mengaku kat Anis yang dia sayangkan kau.Mesti kau ada buat hal ni!”
Serkap jarang itu membuatkan Tengku Syahran mengeluh tiba-tiba.Tangannya mula meletakkan gelas yang berisi air milo itu di atas meja.Tengku Syahran teringatkan peristiwa dia menampar pipi Zahlia dahulu.Rasa bersalah datang tiba-tiba.
“Betul ke, kau ada buat hal?” soal Adli sekali lagi.
Tengku Syahran terdiam.Perlahan-lahan dia mengangguk.
“Laa… apa yang kau dah buat?”
“Aku tak sengaja,Li. Bukan niat aku!” Tengku Syahran berkata sambil tunduk.
“Yalah… apa bendanya?” Adli sudah tidak sabar untuk mengetahui alasan temannya itu.
Tengku Syahran menarik nafas panjang.
“Aku… terlepas cakap!”
Adli masih tidak mengerti.Terus ditenung wajah temannya sedalam mungkin.
“Aku hina maruah Alia.Lepas tu, aku tampar pipi dia.”
Adli ternganga.
“Oh, my God! Hey, what happened to you? Sampai macam tu sekali?” Adli terkejut.
“Aku tak sedar,Li!”
“Kau tau tak Syah… berdosa kau pukul Alia macam tu.Kemudian, kau hina dia.Kalaupun dia ada buat salah, bukan begitu caranya nak menghukum isteri.”
“Aku tau! Tapi, otak aku tengah berserabut masa tu.Semuanya Linda punya pasallah!”
Adli mengerutkan dahi.Tidak mengerti penjelasan Tengku Syahran.
“Linda?”
Tengku Syahran mengangguk.
“Dia ugut aku tentang surat perjanjian.Aku risaulah, Li… kalau dia beritahu mak aku!” Tengku Syahran mengeluh.
“Dia ada buktikah?”
“Ada.Surat perjanjian tu ada pada dia.Mana aku tak bengang? Dia masuk office aku masa aku tak ada!”
Adli tercengang lagi.
“Maknanya… kau lepaskan geram pada Alia pasal hal tu?”
Tengku Syahran membatu.
“Mungkin itu salah satu daripada puncanya.”
“Maksud kau?”
“Linda buat fitnah mengatakan yang Alia ada lelaki lain.Linda mahu aku ceraikan Alia dalam masa tiga bulan dari tarikh dia datang office aku dulu.Linda suruh aku tengok CD rakaman dia.Ada gambar Alia dengan seorang lelaki.Rupa-rupanya lelaki tu kita kenal.Kau ingat Ben masa kita study dulu?”
Adli terdiam.
“Ben yang suka pada Linda tu ke?” teka Adli.
“Hmm… dia nak masuk Islam! Lepas tu, dia suruh Alia tolong ajarkan dia persediaan sebelum masuk Islam! Aku berdosa besar pada Alia, pada Ben… tuduhan yang merepek-repek!” luah Tengku Syahran dalam nada kesal.
“Aku dah minta maaf pada Alia! Tapi, aku tau Alia masih marahkan aku.Cuma marahnya dah reda sikit,” jawab Tengku Syahran.
“Dah reda macam mana?”
“Makan pakai aku, dia tak pernah abaikan sejak pagi tadi.Tapi,kau pun kena faham jugak aku ni.Kadang-kadang mengada-ngada sikit.Dia dah panaskan lauk, aku suruh hidang atas meja.Sengaja aku nak tambah pinggan kotor kat rumah tu,” jawab Tengku Syahran panjang.
“Kau ni, Syah! Kesian dia.”
Tengku Syahran ketawa.
“Aku nak ajar dia,Li.Biar dia biasa hidup dengan cara aku bila pindah rumah nanti.Aku pun masih cuba memahami sikap dia.”
“Kau nak pindah rumah?” Adli terperanjat.
“Aku nak merasa hidup berumah tangga dengan Alia.Lagipun, kesian aku tengok dia… kena jaga tingkah laku di depan famili aku.Tak free macam orang lain.Bila keluar bilik aje, kena pakai tudung.Pergerakan dia terbatas.Itupun nasib baik rumah tengah tak ada orang sekarang ni.Bolehlah dia bebas sikit,” ujar Tengku Syahran lagi.
Adli menyandarkan tubuhnya ke kerusi.
“Emm… dia dah tau?”
“Belum.Benda ni masih dalam perancangan aku.Kalau boleh aku nak dapatkan rumah dulu.Kau boleh tolong aku, kan?”
Adli terdiam.Berfikir sejenak.
“Kalau pasal rumah… no problem sebab aku ada ramai member yang kerja kat agensi hartanah.Nanti aku bawa kau ke sana! Tapi dengan syarat.”
“What?” Tengku Syahran mengangkat kening.
“Bila dah pindah rumah nanti, kau jangan berperangai macam budak-budak lagi.Cuba control sikit temper kau tu.Jangan sikit-sikit nak naik darah aje.Alia tu perempuan! Aku takut, sampai masa bila dah tak tahan, dia lari… padan muka kau!”
Tengku Syahran tersenyum.Lambat-lambat baru dia mengangguk.
“Aku tau…”
“So… bila nak bincang dengan Alia tentang hal kau dengan dia? Kes kau dah berat ni.Linda pun dah dapat surat perjanjian tu.Baik kau bincang dengan Alia cepat-cepat!” soal Adli sambil menghirup teh ais yang sudah meruap di permukaan gelas.
“Tunggu mak dengan ayah aku baliklah.Lagipun, aku tak tau apa pendapat Alia tentang rancangan aku nak hidup bersama dia.Aku takut dia tak setujulah!”
“Mustahil.Kan dia dah sayangkan kau!”
“Aku kena tanya dia dulu!”
“Tulah kau… dulu lagi aku dah suruh kau ikat dia dengan kuasa kau.Kau sendiri yang tak nak.Sekarang,keadaan dah genting, kalau terjadi sesuatu macam mana?”
Kata-kata Adli membuatkan Tengku Syahran tersenyum kecil.Tengku Syahran terbayang lagi adegan malam tadi.Alia betul-betul menawan!
Adli pelik lantas mengerutkan dahi.
“Ni, apasal sengih-sengih pulak ni?” tegur Adli.
Tengku Syahran tersentak.Segera mematikan senyuman.
“Tak ada apa-apa.Jom… blah? Dah lama kita ni!” Tengku Syahran memesongkan topik.
Adli menghirup teh aisnya sampai habis.
“Jom…”
KETIKA Tengku Syahran sampai di rumah pada malam itu,Zahlia sedang melipat kain di ruang tamu.
“Hai, sayang! Dah lama balik?” Tengku Syahran terus memeluk bahu isterinya.
Zahlia terkejut dengan tindakan suaminya itu.Terasa hangat tubuh Tengku Syahran melekap di belakangnya.Pantas Zahlia menjarakkan kepalanya dari Tengku Syahran.
Tengku Syahran hanya tersenyum melihat respons Zahlia.Dia sudah masak dengan tingkah laku isterinya.Pelukan yang semakin erat segera dileraikan.Lantas Tengku Syahran melabuhkan punggungnya di sisi Zahlia.
“Alia dah makan? Abang laparlah sayang,” beritahu Tengku Syahran sambil menyandarkan tubuh ke kerusi.
Zahlia senyap.Begitu juga dengan Tengku Syahran.Suasana menjadi sunyi semula.Zahlia menoleh ke arah Tengku Syahran.
Patutlah senyap.Dah terlena rupanya? Detik hati kecil Zahlia.Deruan nafas yang berbunyi bagaikan terselit dengan nada keletihan.Perlahan-lahan Zahlia bangkit dan menuju ke dapur.Kerjanya ditinggalkan sebentar.
Selesai memanaskan lauk, Zahlia menghidangkan makanan itu di atas meja.Kemudian, dia melangkah ke ruang tamu semula dan duduk di sisi Tengku Syahran.Menyambung kembali kerja-kerjanya yang terbengkalai sebentar tadi.Amboi, bukan main sedap lagi dia berdengkur! Ngomel Zahlia.
Zahlia tidak terus mengejutkan Tengku Syahran.Direnungnya wajah Tengku Syahran.Timbul rasa belas di hatinya.Terbit rasa sayang dalam jiwanya.Tiba-tiba Zahlia mengeluh kecil.Mengaku di dalam hati yang dia turut menyayangi Tengku Syahran.Entah mengapa timbul perasaan nakal di benak Zahlia untuk mengusik suaminya itu.
Perlahan-lahan jari telunjuknya dibiarkan bermain-main di kening Tengku Syahran yang lebat.Zahlia ketawa kecil apabila melihat kelopak mata Tengku Syahran bergerak-gerak dengan dahi yang berkerut.Bagaikan ada sesuatu yang mengganggu.
Tengku Syahran mula tersedar.Tetapi, dia tidak terus membuka mata sebaliknya membiarkan matanya terpejam rapat.Tengku Syahran terasa keningnya dimain-mainkan.Telinganya pula seperti dapat menangkap bunyi ketawa yang halus menampar pendengaran.
Tengku Syahran mula mengesyaki sesuatu.Perlahan-lahan sebelah kelopak matanya dicelikkan sedikit.Dalam sedikit ruang itu matanya dapat menangkap seraut wajah yang sedang tersenyum di sisinya.Wah, dia nak main geli-geli pulak!
Tengku Syahran tersenyum di dalam hati.Zahlia dilihatnya masih tersenyum dan mungkin tidak menyedari yang dirinya diintip.Tengku Syahran memejamkan matanya semula.Hatinya ligat mencari jalan ingin mengusik wanita itu.senyap-senyap nak bergurau dengan aku ya?
Perlahan-lahan Tengku Syahran menyengetkan kepala dan kemudian sengaja dijatuhkan ke atas paha Zahlia.
Zahlia tersentak.Mati terus senyumannya.Kepala Tengku Syahran terasa berat menghempap kakinya.Ingin ditolak, tidak sampai hatinya apabila melihat wajah kepenatan itu.Lalu, Zahlia hanya membiarkan kepala Tengku Syahran terbaring lesu di kakinya.
Zahlia meneliti segenap wajah itu.Kemudian, dia memberanikan diri meletakkan tapak tangan di kepala Tengku Syahran.Rambut Tengku Syahran yang terjuntai-juntai dibelainya lembut.Semakin lama, dia semakin berani.Bibir halusnya tersenyum.
Tiba-tiba mata Tengku Syahran terbuka dengan senyuman nakal tercetus di bibir.Zahlia terkejut.Terasa bagaikan dipatuk ular.Senyuman manis yang terukir di wajahnya dengan sendirinya mati.Segera dia bangun.Tindakan sepantas kilatnya itu membuatkan tubuh Tengku Syahran terjelepuk ke bawah.
“Aduh!” Tengku Syahran terjerit kecil.Nasib baik badannya terjatuh di atas permaidani.
Zahlia yang melihat peristiwa yang tidak diduga itu sedikit terkejut.Tetapi, perasaan terkejutnya bertukar menjadi rasa lucu yang memuncak sehingga mencetuskan bunyi ketawa di bibirnya.Zahlia menerkup mulutnya.
Tengku Syahran tersenyum melihat isterinya ketawa besar.Dia bingkas bangun.
“Haa… ketawa pun isteri abang ni! Adakah ketawa itu bermaksud Alia dah tak marahkan abang lagi?” tanya Tengku Syahran sambil duduk di atas kerusi semula.
Zahlia mematikan ketawanya.Lama kemudian, bibirnya mencebik.
“Selagi Alia ingat kata-kata abang menghina Alia hari tu, marah Alia takkan padam!” beritahu Zahlia berterus-terang.
Tengku Syahran berdiri.Berjalan menghampiri Zahlia lalu diraihnya tapak tangan itu dengan lembut.
“Maafkanlah abang.Abang berjanji perkara sebegitu takkan berlaku lagi, ya?” pujuk Tengku Syahran tepat melepas pandang ke anak mata Zahlia.
Zahlia menggeleng.
“Tak mungkin semudah itu!”
“Percayalah.Abang akan bertanggungjawab pada Alia.Kita bersatu sampai bila-bila.Abang takkan menghina Alia lagi!”
Zahlia menarik tangannya dan berundur setapak ke belakang.Matanya melawan renung suaminya.Seperti biasa, dialah yang akan tewas.Pantas dilarikan penglihatannya ke sudut lain.
Tengku Syahran tersenyum.
“Nampaknya Alia masih belum mampu melawan pandangan abang! Kenapa? Gementar?” Tengku Syahran bertanya dengan nada usikan.
Zahlia tunduk.Berdebar dia mendengar pertanyaan itu.
“Alia dah hidangkan lauk kat atas meja.Kalau abang nak makan, layanlah diri sendiri.Alia nak habiskan melipat kain.” Zahlia memesongkan tajuk.Soalan Tengku Syahran tidak dilayan.
Tengku Syahran hanya menggeleng apabila Zahlia melangkah pergi.
“Isteri abang ni…keras kepala betul.” Sempat Tengku Syahran berbisik sebelum berlalu ke arah tangga.
Zahlia mendiamkan diri.Tangannya menyambung kembali melipat kain baju yang terbiar tadi.Namun, telinganya dapat menangkap kata-kata Tengku Syahran dari anak tangga.
“Abang nak Alia layan abang makan lepas ni.Buat apa ada isteri, kalau abang kena layan diri sendiri? Abang nak mandi dulu.Alia pun siapkanlah melipat kain tu!” jerit Tengku Syahran dengan nada yang kuat.
Zahlia mengejut kecil apabila derap kata itu kian menghilang.Tengku Syahran memang suka memerintah!
Bab 42
“ALIA, ada bunga untuk kau!” jerit Fatimah dengan kuat sekali.Zahlia tersentak mendengar jeritan itu hingga bingit telinganya.Dia berpaling mencari kelibat Fatimah dan dari jauh dia ternampak Fatimah melangkah ke arahnya sambil memegang bungkusan bunga ros yang dihias cantik.
“Ini… bunga untuk kau!”Fatimah berkata sekali lagi dan menyerahkan bunga itu kepada Zahlia.Zahlia menyambut dengan senyuman lebar.
“Siapa yang bagi?” tanya Zahlia sambil membelek-belek hiasan bunga ros itu.
“Entah.Laki kau kot.Bacalah kad tu!”
Zahlia menarik sekeping kad berwarna pink yang terselit di celah-celah bunga ros itu.
Jumpa abang di Hotel Crystal Crown pukul 8.00 malam ni.
Abang tunggu…
Abang.
Zahlia tersenyum. “Siapa?” tanya Fatimah mematikan senyuman Zahlia.
“Syah!”
“Em… aku dah agak dah! Apa dia nak?”
“Kau bacalah sendiri,”ujar Zahlia sambil meletakkan kad itu di atas meja.
Fatimah mengambil kad itu dan membacanya.Kemudian dia turut tersenyum.
“Patutlah.”
Zahlia mengetap bibir.Tersipu-sipu.
“Aku patut pergi ke Imah?” soal Zahlia ragu-ragu.
“Mestilah.Kau nak biar dia merajuk macam dulu lagi?”
“Bukan.Aku takut dia main-mainkan aku!”
“Kenapa?”
“Pagi tadi dia pesan yang dia akan balik lambat hari ni.Dia kata tak payah tunggu.”
“Itulah kot halnya.Dia nak pujuk kau tu.” Fatimah meneka.
Zahlia terdiam.Membelek-belek tulisan kad itu sekali lagi.Keraguan yang bertapa di hatinya sedikit demi sedikit cuba ditepis.
“Okeylah, aku ada kelas ni.Kau mesti pergi tau!”
Fatimah terus berlalu.Sempat dia mencuit bunga ros di tepi meja.Zahlia membisu selepas itu.Pergi atau tidak? Dia belum fikirkan lagi.
ZAHLIA memasuki ruang lobi Hotel Crystal Crown dengan penuh hati-hati.Suasana kelihatan bingit dan ramai orang sedang melangkah ke arah pintu.
“Yes madam… who are you looking for?” seorang gadis menegurnya.
“I’m Puan Zahlia.Is there a reservation from Tengku Syahran?” soal Zahlia tenang.
Gadis itu meneliti sekeping kertas di tangannya.
“Oh, yes! But he didn’t come yet.I’ll show you the place!”
“Okay.”
Zahlia mengikut gadis itu ke sebuah meja yang masih kosong.Dia duduk bersendirian sambil memerhatikan keadaan sekeliling ruang yang sudah dipenuhi dengan orang ramai.Kebanyakannya berpasang-pasangan.
Jam menunjukkan pukul 9.00 malam.Sudah satu jam Zahlia menunggu, namun kelibat Tengku Syahran tidak kelihatan.Zahlia mula gelisah.
Tiba-tiba seorang pelayan lelaki datang dengan membawa sekuntum bunga ros bersama sekeping kertas kepada Zahlia.
“For you madam!” pelayan itu berkata.
Zahlia mengangguk dan mengucapkan terima kasih.Zahlia membaca tulisan yang tertulis di atas kertas itu.
Sorry I’m late.I’m coming your way…
Abang.
Zahlia tersenyum puas.Sekurang-kurangnya dia tahu Tengku Syahran pasti hadir.Zahlia membawa bunga ros itu ke hidung dan kemudian meletakkannya ke atas meja.Sabar menanti kehadiran suaminya.
“Hai!” tegur satu suara.
Zahlia mengangkat wajah.Bibirnya mengukir senyuman.Tetapi,senyuman itu mati dengan sendiri.Zahlia terkejut.Dia tidak kenal yang menegurnya itu.
“Ya?” tanya Zahlia ragu-ragu.
Tanpa dipelawa, lelaki yang tidak dikenali itu duduk di kerusi berhadapan Zahlia.Zahlia terkedu.Perbuatan mendadak lelaki itu menakutkannya.
“Siapa kau?” Zahlia bertanya cemas.
Lelaki itu tersenyum menggoda.Senyuman yang meresahkan lagi hati Zahlia.
“You tak kenal I ke?” lelaki itu bersuara.
Zahlia menggeleng.Sungguh, dia tidak mengenali lelaki itu!
“I’m Faizal.Nice to meet you.” Lelaki itu berkata selamba.
Zahlia takut.Dia tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu.Siapa?
“Aku tak kenal kau! Aku bukan tunggu kau.Pergi!” marah Zahlia.Zahlia tidak senang duduk.
“ I tau you tengah tunggu husband you, right?”
Zahlia mengerutkan dahi.
“Dia takkan datang hari ni sayang. I will pretend as your husband right now!”
Faizal tersenyum.Dia mencapai bunga ros itu dan mengucup kuntum bunga itu perlahan-lahan sebelum menghulurkannya kepada Zahlia.
“For you,honey!” ucapnya perlahan.
Zahlia tidak menyambutnya.Dia terus berdiri dan hendak melangkah keluar.Ingin melarikan diri dari lelaki yang tidak pernah ditemuinya itu.Tiba-tiba tangannya dipegang.
“You nak ke mana? Janganlah macam ni. I rindukan you tau.” Faizal berkata lagi.
Zahlia menarik tangannya laju.
“Don’t touch me. I don’t know who you are.Jangan ganggu aku!” Zahlia ingin melangkah tetapi Faizal terlebih dahulu berdiri di hadapan menghalang.
“Sampai hati you buat I macam ni.Mentang-mentang you dah dapat anak orang kaya,you tinggalkan I merana sayang. I miss you so much!” ujar Faizal sambil mengusap pipi Zahlia.
“Aku tak kenal kau!”
Zahlia menjarakkan diri.Dia tidak mahu terus berdiri di hadapan lelaki yang betul-betul menakutkannya.Dia ingin melangkah pergi.Namun, Zahlia terasa jantungnya bagaikan terhenti berdegup apabila terpandang wajah bengis Tengku Syahran tidak jauh darinya.
Zahlia berlari mendapatkan Tengku Syahran.
“Abang…” Zahlia memegang tangan suaminya itu tetapi Tengku Syahran menepis.
Zahlia tersentak.
“Sayang!!! Ohh… so, this is your husband?” Faizal berdiri di sisi Zahlia.Memaut tangan Zahlia dengan pantas.
Zahlia memandang Tengku Syahran takut-takut.Dia menangkis tangan itu dan menghampiri suaminya semula.
“Abang, Alia tak kenal dia,bang!” Zahlia memeluk tangan Tengku Syahran.
“Aku pun tak kenal kau!”Tengku Syahran berkata dan terus melangkah pergi.
“Abang…” Zahlia memanggil.
Tengku Syahran buat tidak dengar.Zahlia terkaku di situ.Kelibat Tengku Syahran semakin menghilang.Dia menoleh ke arah Faizal yang sedang tersenyum.
“Tak guna!! Siapa kau?” Zahlia berkata kuat.
Faizal ketawa besar.Bergerak-gerak tahi lalat di tepi matanya bersama ketawa yang tercetus.
“Okeylah.Lakonan I dah tamat. I pergi dulu. Bye.”
Faizal meninggalkan Zahlia bersama ketawanya.Tinggallah Zahlia terkulai di situ bersama air mata.Tersedu-sedan dia menangis sebelum dia bangun dan melangkah ke arah kereta.
Zahlia membatu di dalam kereta.Setelah agak lama mebatukan diri, barulah dia menghidupkan enjin.Kereta Proton Wira itu meluncur laju membelah lebuhraya.
ZAHLIA tiba di hadapan Villa Sakura kurang lima minit pukul 11.00 malam.Kereta Honda Prelude sudah pun tersadai di garaj.Zahlia menekan remote control untuk membuka pintu pagar automatik.Setelah meletakkan kereta di garaj, dia mematikan enjin.Dia keluar dan menutup semula pintu pagar.
Zahlia masuk ke dalam rumah.Dia menaiki anak tangga menuju ke biliknya.Ruang tamu villa itu sudah sunyi dan gelap.Semasa pintu biliknya terkuak, Zahlia ternampak wajah yang kelihatan benar-benar bengis sedang duduk di atas kerusi.
Zahlia diam.Setelah meletakkan beg tangan dan membuka tudung, Zahlia melangkah ke bilik air.Dia terus mengambil wuduk dan menunaikan solat Isyak.Habis bersolat, dia berdoa kepada ALLAH semoga hati suaminya itu sejuk.
Anggapan Zahlia meleset sama sekali.Wajah Tengku Syahran masih masam dan bengis.Zahlia berasa gementar.Dia memberanikan diri duduk di sisi suaminya itu.
“Abang…”
“Diam!” jerkah Tengku Syahran.
Zahlia terperanjat.
“Sumpah, Alia tak kenal dia!” Zahlia tetap bersuara.
“Habis tu, kenapa kau ada kat situ dengan dia?”
“Alia ingatkan abang…”
“Jangan jadikan itu sebagai alasan.Bila masa aku suruh kau ke sana?”
Zahlia terkedu.
“Abang yang hantar bunga!”
“Ohh… kau dapat bunga? Jantan mana pulak yang bagi kau bunga, hah?”
Tubuh Zahlia menggeletar melihat wajah Tengku Syahran yang berapi-api itu.Dia cuba mengelak apabila tangan Tengku Syahran mencengkam kuat tangannya.
“Cakap cepat, siapa yang bagi?” gertak Tengku Syahran lagi.
“Alia ingat abang yang bagi!”
“Kau jangan nak jadi pembohong, Alia! Aku tak pernah kirimkan kau apa-apa!”
Cengkaman itu semakin kuat.Zahlia mula menangis.
“Sakit, bang!” adunya dalam sendu.
Zahlia cuba menolak tangan yang melekat kuat di lengannya tetapi tubuhnya ditolak.Zahlia tersandar ke kerusi.Tubuhnya ditekan kuat ke belakang.
“Jantan tu ingat dia seorang boleh sentuh pipi kau? Aku boleh buat lebih dari itu!” Tengku Syahran sudah mula melalut.
Zahlia terkedu apabila Tengku Syahran membenamkan wajahnya ke leher Zahlia.Zahlia dapat rasakan yang lehernya dicumbu dengan kasar.
“Abang, jangan buat begini pada Alia!” Zahlia merayu berserta tolakan yang kuat di tubuh Tengku Syahran.
Tengku Syahran menghentikan perbuatannya.
“Kenapa? Dah penat sangat melayan jantan lain. Sampai aku suami kau pun dah tak boleh nak layan?” Tengku Syahran menengking.
Zahlia berasa takut.Air matanya mengalir lagi.Tengku Syahran terus bertindak ganas.Zahlia naik lemas.Dia menolak tubuh itu sekuat hatinya.Dia cuba berlari ke arah pintu dan sempat menarik tombol pintu.daun pintu sudah terbuka luas.Zahlia ingin keluar tetapi rambutnya direntap kasar.Langkah Zahlia terhenti.Dia mengaduh sakit.
“Kau nak ke mana?”
“Sakit bang!” Zahlia memegang tangan Tengku Syahran yang sedang menarik rambutnya.Dia menangis lagi.
Tengku Syahran tidak menghiraukan tangisan itu.Rambut Zahlia ditarik lagi supaya mengikuti jejak langkahnya.
“Jangan cuba nak larikan diri! Kau hak aku.Aku boleh buat sesuka hati aku.”
Tengku Syahran mencampakkan tubuh Zahlia di atas katil.Zahlia ingin lari lagi sekali tetapi gagal.Tengku Syahran sudah duduk menindih pahanya.Zahlia meronta-ronta minta dilepaskan.Dia cuba mengelak tubuh Tengku Syahran yang ingin mendekati.Gagal juga apabila kedua-dua belah tangannya digenggam oleh Tengku Syahran.Zahlia menangis teresak-esak.
“Jangan bang! Alia rayu pada abang.Jangan buat begini pada Alia.Tolonglah bang!”
Tangisan Zahlia semakin kuat.Air matanya terus laju mengalir.Dia hampa apabila Tengku Syahran tidak langsung mempedulikan pujuk rayunya.
“Abang…”
“Senyap! Ikut cakap aku atau kau mahu aku paksa kau!” tengking Tengku Syahran.
Zahlia terdiam dalam esakan.Dia tahu apa jua tindakannya sudah tidak bermakna.Suaminya itu benar-benar telah hilang kewarasan tatkala itu.Zahlia tidak mampu berbuat apa-apa apabila baju tidur yang dipakai direntap sehingga mendedahkan sebahagian tubuhnya.
Zahlia ternampak wajah Tengku Syahran yang sudah mendekati wajahnya.Zahlia terus memejamkan mata.Dia tidak mahu melihat wajah lelaki itu mencumbuinya dengan kasar dalam keadaan lampu yang terang dan pintu bilik yang terbuka luas.Dia tersedu dalam kegelapan yang tercipta dari kelopak matanya.Dia meraung di dalam hatinya.Akhirnya Zahlia pasrah.
No comments:
Post a Comment