Bab 65
TENGKU SYAHRAN berjalan mundar-mandir di hadapan pintu wad bersalin.Bila punggungnya dilabuhkan di atas kerusi, dia rasa tidak selesa.Ingin berdiri di satu tempat secara statik pun, Tengku Syahran tetap tidak senang hati.
Hatinya gelisah.Ahli-ahli keluarganya yang lain turut sama membisu.Masing-masing mempamerkan riak kerisauan.Sudah dua jam menanti di situ,benar-benar membuatkan Tengku Syahran terasa bagaikan ingin merempuh pintu wad bersalin itu sekuat hati.Tidak sabar-sabar rasanya mahu mengetahui perkembangan diri isterinya.Selamatkah dia?
Ya ALLAH, selamatkanlah isteri dan anakku!Doa Tengku Syahran di dalam hati.
Tengku Syahran melangkah mendekati pintu wad.Cuba mengintai di celah-celah cermin kecil yang terdapat di pintu itu.Tiada langsung ruang yang membolehkan dia melihat situasi di dalam.
Tengku Syahran semakin tidak tentu hala.Dia mengalihkan pandangan pada Tengku Badariah dan kemudian pada Raja Khalida serta ahli-ahli keluarganya yang lain.
“Mak, kenapa lambat sangat?” Tengku Syahran bertanya.
Tengku Badariah yang sejak tadi duduk di sisi Tengku Ismail mula mengerling ke arah Tengku Syahran.Raja Khalida yang duduk di tepi Tengku Hafizah juga turut memandang.Hatinya turut gelisah.
“Sabarlah.Kejap lagi selesailah agaknya.” Tengku Badariah cuba bersikap tenang.Padahal hatinya turut berasa risau.
“Syah risaulah mak.Dah dua jam Alia kat dalam tu.Takkan lama sangat.”
“Itulah kamu.Isteri tengah sarat pun, sibuk dengan kerja.Kamu tengoklah apa dah jadi.”
Tengku Syahran menggaru-garu kepalanya.Cuba mengintai cermin kecil di pintu itu lagi.Kemudian Tengku Syahran duduk di tempatnya semula.Rasa bersalah timbul di sudut hati.
Dia teringat selepas dia menerima panggilan telefon dari hospital tentang keadaan Zahlia.Tengku Syahran terus bergegas meninggalkan Neraca Holdings.Kerisauannya menerjah-nerjah ketika diberitahu yang Zahlia memandu sendiri ke hospital dalam keadaan genting.Turut diberitahu yang wanita itu pengsan di hadapan pintu hospital bersama telefon bimbit yang tertera nombor telefon Tengku Syahran di tangan.
Tengku Syahran didatangi perasaan bersalah lagi.Memang sejak pagi lagi telefon bimbitnya sengaja dimatikan.Tidak langsung terfikir yang isterinya itu akan menghubunginya.
Tengku Syahran mengeluh kecil.Sepatutnya dia memohon cuti untuk menjaga isterinya dalam saat-saat menanti kelahiran anak sulungnya itu.Kenapa dia tidak terfikir semua itu?
Tengku Syahran terasa ingin menangis.Sesekali tangannya meraup rambutnya ke belakang.Bagaikan menyesali ketidakprihatinannya tadi terhadap Zahlia.Hatinya mula berdoa, berharap benar isterinya itu benar-benar selamat.
Alia, jangan tinggalkan abang, sayang! Bisik Tengku Syahran penuh harapan.
Tiba-tiba pintu wad bersalin itu terkuak.Tengku Syahran bingkas bangun.Seorang doktor wanita lengkap berpakaian jubah putih keluar sambil mencabut keluar sarung tangan getahnya.
Tengku Syahran pantas menuju ke arah doktor itu.Begitu juga ahli-ahli keluarganya yang lain.
“Doktor, bagaimana keadaan isteri saya?” soal Tengku Syahran cemas.
Doktor wanita itu hanya tersenyum.
“Alhamdulillah, semuanya selamat.Tahniah, encik dapat anak lelaki,” beritahu doktor itu dengan senyuman.
Tengku Syahran tersenyum lebar.Suara riuh ahli-ahli keluarganya yang lain turut kedengaran ceria.
“Boleh saya tengok isteri saya?” tanya Tengku Syahran tidak sabar-sabar lagi.
“Boleh.Tapi, encik kena tunggu kami pindahkan isteri encik ke wad dulu.Nanti, encik boleh pergi tengok dia.Buat masa ni, isteri encik sedang tidur.Dia masih lemah.”
“Terima kasih, doktor.”
“Sama-sama.Sekejap lagi, bolehlah encik azankan anak-anak encik.Pembantu saya sedang bersihkan kedua-duanya.” Doktor itu berkata dan terus berlalu.
Tengku Syahran terdiam.Anak-anak? Kedua-dua? Apa maksudnya? Tengku Syahran bagaikan terpinga-pinga.
Tiba-tiba dia melihat dua orang jururawat datang membawa keluar dua orang bayi lelaki.Tengku Syahran pelik.Anak aku ke tu? Soalnya di dalam hati.
“Eh, Syah! Apa tunggu lagi.Azankanlah yang sorang tu.Yang ni biar ayah yang azankan.” Suara Tengku Ismail berjaya mematahkan khayalan Tengku Syahran.
“Kenapa ada dua?” soal Tengku Syahran.
“Kamu tak tau ke yang Alia tu mengandung kembar?” tanya Tengku Badariah pula.
Tengku Syahran menggeleng.
“Hei, Puteri ni pun satu.Bukan nak diberitahu perkara ni pada Syah.Hisyy… budak-budak sekarang ni.” Raja Khalida menggeleng sambil ketawa kecil.
Tengku Syahran semakin hairan.
“Apa maksud mama?” tanya Tengku Syahran pada Raja Khalida.
“Pada awal kandungan lagi, doktor dah sahkan dia mengandung kembar.Dia tak beritahu kamu?”
Tengku Syahran menggeleng.
“Haa… sekarang ni, kamu dah tau kan? Ni, anak kamu.Dua orang,” ujar Raja Khalida sambil tersenyum.
Tengku Syahran mengalihkan pandangan pada dua orang bayi di hadapannya.Lama dia merenung kedua-dua bayi tersebut dan akhirnya bibir Tengku Syahran mengukir senyuman.Tiba-tiba hatinya didatangi perasaan gembira.Segera dia bersyukur ke hadrat ILAHI atas kurniaannya itu.
“TERIMA kasih,sayang! I love you.” Tengku Syahran berkata sambil mengucup pipi Zahlia lembut.
Zahlia hanya tersenyum manis.Tangan Tengku Syahran dicapai dan digenggam erat.Ketika dia membuka mata beberapa minit tadi, Tengku Syahran sedang duduk di sisinya sambil membaca surat khabar.
Menyedari Zahlia sudah terjaga, terus Tengku Syahran melipat surat khabar dan meletakkan di rak khas.Ahli-ahli keluarga yang lain sudah pulang.Hanya tinggal Tengku Syahran dan Zahlia di dalam bilik itu.Anak-anaknya pula sedang diberi rawatan khas untuk mengesahkan mereka bebas dari penyakit.
“Mana anak-anak kita?” soal Zahlia sambil matanya melilau mencari anak-anaknya.
“Ada kat nurse.Mereka beri susu tadi.Dah tidur agaknya.” Tengku Syahran membalas genggaman tangan Zahlia.
Zahlia tersenyum manis.
“Anak kita comel tak?”
“Emm… macam ayahnyalah.”
“Perasan.”
Tengku Syahran ketawa kecil.Jari-jemari Zahlia dibawa ke mulutnya lalu dikucup lembut.
“Abang gembira dapat dua orang sekaligus?” Zahlia bertanya.Berniat ingin mengetahui isi hati suaminya itu.
Tengku Syahran melepaskan pandangan ke arah Zahlia.Kalau diikutkan hatinya, dia ingin menjerit sekuat hati untuk menyatakan betapa gembiranya dia dengan kurniaan itu.Biar satu dunia tahu!
“Kenapa tak beritahu abang yang kita akan dapat twins?”
“Saja nak bagi surprise,” jawab Zahlia manja.
“Nakal.”
Zahlia ketawa.
“Abang suka tak?” Zahlia bertanya sekali lagi.
Tengku Syahran mengangguk.
“Thanks honey! I love you.”
“I love you too.” Ucap Zahlia sambil tersenyum.
Tengku Syahran membalas senyuman isterinya.Tetapi senyuman yang mekar itu tiba-tiba mati apabila melihat Zahlia bangun.
“Alia nak ke mana ni?” Tengku Syahran hairan apabila Zahlia bergerak menuruni katil.
“Alia nak pergi tengok anak-anak kitalah.”
“Eh, mana boleh bergerak sesuka hati.Nanti doktor marah.”
“Alah, sekejap aje.Alia nak tengok rupa mereka,” pinta Zahlia cuba memujuk.
Tengku Syahran terdiam.Wajah penuh mengharap Zahlia dipandang sejenak.Lama dia membisu sebelum berkira-kira untuk mengeluarkan bicara.
“Alia tunggu di sini dulu.Abang pergi ambil kerusi roda.Kita pergi sama-sama, okey.”
“Tapi…”
“Dengar cakap abang.Kalau tak, jangan pergi.” Tengku Syahran bersuara tegas.Zahlia menelan air liur.
“Yalah.” Lambat-lambat Zahlia berkata.
Tengku Syahran menghilang di balik pintu dan hadir semula dengan kerusi roda di tangan.
Di waktu itu, Zahlia sedang mencapai gelas di tepi katil.Berniat untuk membasahkan tekak yang terasa kering.
“Hei, kenapa tak cakap kat abang yang Alia nak air? Biar abang ambilkan.”
Tengku Syahran berjalan ke arah Zahlia.Mencapai gelas di tangan Zahlia dan menuangkan air suam lalu disuapkan ke mulut Zahlia perlahan-lahan.
Zahlia pelik dengan kelakuan Tengku Syahran yang nampak risau dengan setiap pergerakannya.Tetapi Zahlia hanya mendiamkan diri.
“Jomlah kita pergi.Alia pun dah tak sabar-sabar nak tengok anak-anak kita.” Zahlia bangun dan melangkah ke kerusi roda.
“Elok-elok melangkah tu.Pegang tangan abang ni.” Tengku Syahran menghulurkan tangan.
Zahlia mula mengeluh.Tengku Syahran hanya bersikap selamba.
“Abang! Kenapa dengan abang ni? Alia tak apa-apa.Kan masih boleh bergerak ni.Yang abang risau sangat ni apasal?” Zahlia mengetap bibir.
Setiap tingkah laku Tengku Syahran amat merimaskan dan adakalanya melahirkan rasa gelihati di sanubarinya.Kini, Tengku Syahran pula yang mengeluh.
“Alia kan baru first day.Kena berhati-hati.Doktor dah pesan pada abang supaya tak bagi Alia bergerak sangat.”
Zahlia menggeleng.
“Alia taulah abang risau.Tapi janganlah sampai Alia naik rimas.”
“Alia rimas ke?”
Tengku Syahran melabuhkan punggungnya di atas katil.Sedikit sebanyak dirinya berkecil hati dengan kata-kata Zahlia.
Zahlia tersenyum kecil dengan perangai suaminya.Dah jadi ayah pun nak merajuk lagi!
“Bukan macam tu maksud Alia.Abang tu yang risau sangat.Alia okey aje,” beritahu Zahlia sambil duduk di sisi Tengku Syahran.
Tangan lelaki itu dicapai lantas digenggam.Tiada respon.Tengku Syahran hanya kaku membuatkan Zahlia menoleh pada wajah di sisinya.Juga tiada reaksi untuk suaminya membalas pandangannya.
“Okey, Alia minta maaf kalau abang berkecil hati.Alia tak bermaksud pun nak kecilkan hati abang.Cuma Alia tak mahu abang treat Alia macam budak-budak kecil.Alia tak nak menyusahkan abang.” Zahlia tunduk menyesali kata-katanya.
Tengku Syahran yang mendengar kata-kata itu tersentuh hatinya.Perlahan-lahan dia memandang Zahlia.Serentak itu, Tengku Syahran menggenggam jari-jemari yang halus di tangannya.
“Abang pun nak minta maaf sebab buat Alia rasa bersalah.Abang berjanji takkan rimaskan Alia lagi.” Tengku Syahran berkata pula.
Zahlia mengangkat wajah dan merenung ke arah Tengku Syahran.Bibir lelaki itu tersenyum seterusnya membuatkan Zahlia turut ingin tersenyum.
“Jomlah, abang tunjukkan anak-anak kita.”
Tengku Syahran bangun.Zahlia juga bangun dari katil.Ketika Zahlia ingin berjalan ke arah kerusi roda, dia terasa tangannya dipegang kuat.
Pantas Zahlia menoleh pada Tengku Syahran.Pelik dengan pautan yang terasa begitu erat.
“Tak bolehlah, Alia.” Ucapan Tengku Syahran yang tiba-tiba makin membuatkan Zahlia berasa hairan.
“Apa yang tak boleh?” soal Zahlia sambil mengerutkan dahi.
Pegangan tangan suaminya dirasakan semakin kemas.
“Bila abang tengok Alia bergerak, perasaan abang tak boleh dikawal.Abang tetap risau,” ucap Tengku Syahran sambil tersengih.
Zahlia mengetap bibir dan mendengus kecil.Namun lama-kelamaan bibir Zahlia mekar dengan senyuman.
“I love you,” luah Zahlia sambil membalas pautan tangan suaminya.
Tengku Syahran terasa bahagia.
“I love you too,” balas Tengku Syahran berserta kucupan lembut di pipi isterinya.
Terima kasih, TUHAN-ku! Kekalkanlah kebahagiaan ini.Doa Zahlia sambil menerapkan senyuman manis.Penuh kebahagiaan yang tersirat!
TAMAT
No comments:
Post a Comment