Wednesday, April 6, 2011

Bab 49-51


Bab 49

“KAMI nak balik hari ni! Kamu berdua, bila nak balik?” soal Tengku Badariah pada Tengku Syahran yang sedang mengunyah kuih pulut panggang.
Tengku Syahran menoleh seketika ke arah Zahlia.Zahlia juga sedang memandangnya.Tengku Syahran menjungkit kening sebagai isyarat bertanya kepada isterinya.
“Ikut abanglah.Abang yang bawa kereta,” jawab Zahlia yang mengerti isyarat yang diberikan.
“Kalau kamu berdua nak tinggal di sini dua, tiga hari lagi apa salahnya.Kesian pulak mak tengok Mak Su dan Mak Long kamu tinggal berdua aje.” Tengku Badariah berkata.
Tengku Syahran menoleh lagi ke arah Zahlia.Dia faham dengan riak yang ditunjukkan.Pasti Zahlia juga berpendapat yang sama dengan kata hatinya.
“Bolehlah mak! Syah rasa elok juga kalau kami tinggal di sini lama sikit.” Tengku Syahran menjawab.
Dada Zahlia terasa lapang mendengar ucapan suaminya itu.Tambahan pula, apabila dia melihat wajah mamanya yang masih hiba.Zahlia menoleh seketika ke arah mamanya yang berada tidak jauh daripadanya.Ketika itu, Raja Khalida dan Raja Khalisah hanya mendiamkan diri.
“Baguslah kalau begitu.Mak dengan ayah kamu nak bertolak petang nanti,” ujar Tengku Badariah.
“Kamu, Kimi? Nak balik bila?” soal Tengku Badariah kepada Tengku Hakimi yang membisu.
“Ikut mak sekalilah.Esok,Murni dah start sekolah.Ana pun sekolah, kan?”
Tengku Farhana mengangguk.
“Kenapa mak nak balik awal sangat?” soal Zahlia yang tidak banyak suara sejak akhir-akhir ini.
“Ayah kamu tu hah, asyik ingat pejabat dia aje.Dari dalam flight, sampailah dah sampai kat Malaysia ni, asyik-asyik office dia.Hisy… bosan betul mak!”
“Alah mak, takkan tak kenal ayah! Mana nak buang masa sesuka hati macam tu aje.Itu pun kalau mak tak paksa ayah ambil cuti, entah bila lagi nak ajak mak berjalan agaknya,” sampuk Tengku Hakimi tiba-tiba.
“Along, Cherating macam mana?” soal Tengku Syahran pula.Mereka tidak sempat berbual panjang sebelum ini kerana tidak berkesempatan.
“Em, nice place! Along cadangkan kau ke sana, Syah! Bawa Alia sekali.Gerenti kau nak pergi lagi! Kan Sofea?” ujar Tengku Hakimi sambil berpaling ke arah isterinya.
Sofea mengangguk sambil tersenyum.
“Ajaklah Alia ke sana,” beritahu Sofea kepada adik iparnya.
“Betul tu angah.Angah ni entah bila nak berubah.Dari belum kahwin, sampailah dah ada isteri, asyik ingat kerja aje.Perangai sebijik macam ayah.” Tengku Farhana pula mencelah.
Tengku Syahran merenung geram kepada adik bongsunya itu.Tetapi, renungan tajam itu sempat dihapuskan apabila terasa tangan Zahlia memukul lembut tangannya.
“Elok jugak cadangan tu Syah.Ayah dengan mak kamu dah berseronok sebulan setengah.Kamu, masa baru lepas kahwin dulu pergi bercuti tiga minggu aje.Tak puas agaknya si Alia tu nak berjalan lagi.”
“Eh, tak adalah ayah.Tiga minggu tu pun dah cukup pada Alia,” jawab Zahlia tiba-tiba.
Tengku Syahran tersenyum memandang Zahlia.
“Tapi, tak sempat kamu nak berjalan puas-puas.Kat rumah kita tu,tak ada privacy.” Tengku Ismail berkata lagi.
“Alah, kalau nak privacy tak semestinya nak ajak bercuti aje ayah! Kat dalam bilik pun privacy jugak,” jawab Tengku Syahran selamba.
Wajah Zahlia bertukar warna.Matanya menjeling ke arah suaminya yang sedang ketawa mengusik.
“Kau ni Syah… main-main pulak dia.” Tengku Badariah bersuara.Mereka yang lain turut ketawa apabila tangan Zahlia sempat mencubit paha Tengku Syahran tanda geram.
Suasana ceria itu terganggu apabila terdengar bunyi loceng berdenting di luar rumah.Zahlia ingin bangun tetapi Tengku Syahran terlebih dahulu melangkah ke arah pintu.Tidak berapa lama kemudian, Tengku Syahran kembali semula bersama dua orang lelaki berkot di ruang makan.
Zahlia seperti dapat membaca sesuatu di riak wajah suaminya lantas mengarahkan mata kepada Raja Khalida.
“Ini Encik Basir, wakil peguam arwah Nenek Uda dan ini Encik Johan yang bertindak sebagai saksi kepada wasiat arwah.” Tengku Syahran memperkenalkan dua orang lelaki itu.
“Maafkan saya kerana mengganggu.Saya nak berjumpa dengan waris si mati,” beritahu Encik Basir dengan penuh tertib.
Raja Khalida dan Raja Khalisah bangun serentak dan melangkah ke arah tetamu lalu membawanya ke ruang tamu.Tengku Syahran duduk di sisi isterinya Manakala keluarga Tengku Badariah yang lain hanya mengambil tempat tidak jauh dari ruang tamu.
Kemudian, pembantu rumah melangkah ke ruang tamu menatang dulang yang berisi cawan dan air.Keadaan menjadi hening seketika sebelum Encik Basir mengambil keputusan untuk membuka mulut.
“Pertama sekali, sebelum saya bacakan wasiat si mati… saya perlu pastikan bahawa tiga orang waris penting si mati ada bersama di hadapan saya.” Encik Basir mula membuka fail.
Raja Khalida dan Raja Khalisah berpandangan.Pelik dengan kata-kata Encik Basir.
“Waris pertama, anak sulung si mati, Raja Khalisah binti Raja Ibrahim.Waris kedua, anak kedua si mati, Raja Khalida binti Raja Ibrahim.Dan waris ketiga, iaitu cucu tunggal si mati, Puteri Safira Khairina binti Megat Safiuddin.Adakah ketiga-tiga waris ini ada bersama?” soal Encik Basir penuh sopan dan tertib.
Zahlia menelan air liur.Tiba-tiba duduknya menjadi tidak selesa.Suasana di ruang tamu terasa panas dengan sendiri.Zahlia perasan mata Raja Khalida sempat mengerling ke arahnya.Zahlia terasa tangannya digenggam lembut oleh jari-jemari Tengku Syahran.Zahlia berasa gugup di situ.Hanya membiarkan tangannya membalas genggaman yang erat tersulam di jari-jemarinya.
“Don’t be scared.Abang ada dekat sini.” Zahlia terdengar bisikan itu di telinga.
“Boleh saya tau sama ada tiga orang waris penting ini ada di hadapan saya ketika ini?” soal Encik Basir lagi.
Raja Khalisah memandang Raja Khalida.Dia tahu tentang rahsia yang sedang disembunyikan oleh kedua beranak itu.Dia sedar Raja Khalida sedang gusar dan resah untuk memberikan jawapan kepada persoalan tadi.Perlahan-lahan dia mengeluh.
“Maafkan kami Encik Basir! Buat masa ni salah seorang dari waris, belum kami temui.Saya rasa elok kalau Encik Basir jangan bacakan dulu wasiat arwah ibu kami.Kami perlu mencari waris itu dahulu.” Jawapan yang terlafaz oleh Raja Khalisah melegakan hati Zahlia.
Tengku Badariah dan Tengku Ismail mengangguk serentak.Encik Basir yang mendengar pengakuan itu hanya mengukirkan senyuman.
“Kalau begitu saya terpaksa simpan dulu wasiat ni.Saya amanahkan oleh Allahyarhamah Puan Syarifah Muzainah di hadapan saksi untuk membacakan wasiatnya hanya jika ketiga-tiga waris berada di hadapan saya.Saya harap apabila waris itu telah ditemui, silalah ke pejabat saya.Ini kad saya.” Encik Basir menghulurkan sekeping kad kepada Raja Khalisah.
Encik Basir dan Encik Johan bangun serentak.Mereka bersalaman dengan penghuni rumah besar itu sebelum masing-masing meminta diri.
“Manalah anak kamu pergi, Ida? Akak rasa baik kamu cuba cari dia di rumah mak angkatnya tu.Ini amanah arwah, kita tak boleh lengah-lengahkan.” Tengku Badariah berkata kepada Raja Khalida.
Raja Khalida hanya berlagak tenang.Cuba mengawal perasaan yang mahu berkocak.
“InsyaALLAH kak! Saya akan cari dia secepat mungkin.”
“Em, baguslah! Akak pun teringin jugak nak tengok anak kamu tu.Dah besar panjang agaknya.”
Tengku Badariah tersenyum pada suami di sisi.
“Kak Long pulak, tak ada apa-apa rancangan selepas ni? Yalah, takkan Kak Long nak tinggal di rumah ni sorang-sorang?” Tengku Badariah bertanya.
Raja Khalisah menarik nafas panjang.
“Entahlah Yah.Kak long tak pasti lagi.Nak tinggalkan, terasa sayang.Nak duduk… tinggal sorang-sorang.Yalah, akak ni anak pun tak ada.Suami pulak entah ke mana.Kak Long ingat nak kerjakan haji.”
“Mak Long nak pergi Mekah dengan siapa? Takkan nak pergi sorang-sorang?” soal Tengku Farhana yang sejak tadi membisu.
“Kenapa? Kau nak ikut Mak Long?”
“Eh, tak adalah.” Tengku Farhana tersipu malu.
“Kalau kau nak temankan, apa salahnya? Kita pergi sama-sama nak? Mak Long belanja.”
“Ya ke Mak Long?” Tengku Farhana bersorak apabila Raja Khalisah mengangguk.
“Alah… Fiza pun nak ikut jugak.” Tengku Hafizah pula mencelah.Tidak puas hati.
“Yalah Fiza! Kita pergi sama-sama,” jawab Raja Khalisah bersungguh-sungguh.
Rumah itu kembali ceria.Zahlia tersenyum memandang Tengku Syahran.Lelaki itu terus menggenggam jari-jemarinya mesra.Membalas senyumannya.
“OKEYLAH,mak nak balik dulu! Kamu Syah… bila kamu nak balik nanti, bawa kereta tu elok-elok,” pesan Tengku Badariah sambil menghulurkan tangan kepada anak dan menantunya.Tengku Syahran mengangguk.
“Angah, bawalah Kak Alia pergi jalan-jalan.Kak Alia tak pernah meronda kat sini lagi.” sempat Tengku Hafizah berkata sebelum melangkah masuk ke dalam kereta.
Zahlia hanya tersenyum kecil mendengar kata-kata adik iparnya.
“Betul tu Syah.Bawa isteri kamu ni jalan-jalan.Along jarang nampak kamu bawa Alia ke mana-mana.Kesian dia,” sampuk Tengku Hakimi yang entah bila muncul di situ.
Tengku Syahran hanya memeluk mesra bahu isterinya.
“Tengok tu Alia, awak ajelah buah hati mereka.Abang ni, sesuai jadi pemandu pelancong awak agaknya.” Tengku Syahran berkata kepada isterinya.
Zahlia ketawa sambil menampar lembut tangan suaminya yang tergantung di bahu.
“Dahlah tu, Yah! Nanti, lambat benar pulak kita sampai KL.” Tengku Ismail mencelah.
“Yalah… jom! Ida, akak balik dulu! Kak Long, Yah balik dulu,” ujar Tengku Badariah sambil melangkah masuk ke dalam kereta.
“Bawa kereta elok-elok nanti, Syah.”
“Kami pun nak balik,” beritahu Tengku Hakimi kepada adiknya.Dia masuk ke dalam kereta sementara Sofea sedang mengarahkan Tengku Murni ke tempat duduk belakang.
“Akak balik dulu, Syah,” ujar Sofea pula.
Zahlia melambaikan tangan ke arah mereka.Kereta itu meluncur laju dan terus hilang dari pandangan.
“SATU perdua dari hartanya diserahkan kepada cucu tunggal si mati, iaitu Puteri Safira Khairina binti Megat Safiuddin.” Bagaikan terdengar ayat Encik Basir di telinga Zahlia sekali lagi.
Zahlia menoleh ke arah Tengku Syahran yang sedang memandu kereta.Dia ingin bertanya sesuatu tetapi tidak jadi apabila melihat suaminya itu hanya membisu.Zahlia kembali menegakkan kepala ke hadapan.
Mereka telah tiba di pekarangan tempat letak kereta Plaza Angsana.Tengku Syahran memarkirkan keretanya di satu petak kosong dan terus mematikan enjin.Kemudian, Tengku Syahran keluar dari kereta.Dia pelik melihat Zahlia yang masih membatu tidak bergerak.
“Alia!” panggilnya.
“Aaaa?”
“Kita dah sampai.Jom,” ucap Tengku Syahran sambil menutup pintu keretanya.
Zahlia cepat-cepat keluar dari Honda Prelude itu dan berjalan ke arah Tengku Syahran.
“Sejak kita keluar dari bilik Encik Basir tadi, abang tengok Alia dah jadi bisu.Mengapa?” soal Tengku Syahran sambil memegang tangan Zahlia.
Mereka melangkah masuk ke ruang membeli-belah Plaza Angsana yang ternama itu.
“Abang rasakan, patut ke Alia terima harta tu?”
Air muka Zahlia serius.Genggaman tangan Tengku Syahran dibalas kemas.Merelakan jari-jemari kasar itu menyimpul ke seluruh jarinya.
“It’s up to you! Alia ada hak nak buat keputusan.Kalau Alia rasa nak terima, terimalah.Kalau Alia tak mahu terima, Alia boleh tolak.Apa-apa pun keputusan Alia, abang akan sokong.”
“Alia rasa nak sedekahkan pada Sinar Iram.”
“Em… bagus cadangan tu.Abang setuju,” ujar Tengku Syahran.
“Alia tak berhak terima harta nenek.Alia tak pernah menjalankan tanggungjawab Alia sebagai cucu tunggal kepada arwah nenek.”
“Mengapa Puteri cakap macam tu? Selama ni, mana Puteri sedar yang Puteri masih ada nenek?” ucapan Tengku Syahran menyebabkan Zahlia melepas pandang pada Tengku Syahran.Puteri? Zahlia hairan.
Tengku Syahran hanya tersenyum meskipun dia sedar isterinya berasa aneh dengan panggilannya sebentar tadi.
“Kenapa? Puteri hairan abang panggil macam tu?”
“Alia rasa tak selesalah bang!”
“Kan itu nama panggilan Puteri yang sebenar.Wah, abang tak sangka isteri abang ni memang puteri yang turun dari kayangan.” Tengku Syahran tersenyum lagi.
“Janganlah cakap macam tu.”
“Puteri di depan abang ni bukan saja puteri yang hanya pada nama.Tapi, juga seorang puteri yang telah berjaya mencuri hati abang.”
“Abang!!” Zahlia tertunduk malu.Wajahnya terasa panas.
“Yalah! Abang panggil nama biasa aje.” Tengku Syahran ketawa melihat wajah isterinya berubah.Dia tahu isterinya malu.
“Jom, abang bawa Alia makan Laksa Johor.Sesekali rasa masakan kampung sendiri, mesti sedap,” ajak Tengku Syahran sambil menarik tangan Zahlia.
Zahlia terdorong ke hadapan dengan langkah kaki yang pantas menuruti Tengku Syahran.Mereka singgah di sebuah restoran tempatan.
“Bagaimana? Sedap tak?”
Tengku Syahran menolak mangkuk yang sudah kosong ke hadapan.Kemudian, dia menyedut air tembikai di dalam gelas sepuas mungkin.
Zahlia hanya menguis-nguis laksa yang masih bertimbun di dalam mangkuk.Matanya beralih kepada wajah Tengku Syahran.Ada sesuatu riaknya yang sengaja mahu ditunjukkan pada suaminya.Tekak Zahlia tidak boleh terima! Tetapi, Tengku Syahran buat-buat tidak faham.
“Sedap,kan? Abang suka makan Laksa Johor ni tau.Nanti Alia kena belajar bagaimana cara nak buat.Bolehlah Alia masakkan untuk abang.” Tengku Syahran berkata.
Zahlia mengangguk lemah.Laksa itu mula disuapkan ke mulutnya perlahan-lahan.Memaksa diri untuk menelan.
“Hei, janganlah paksa diri kalau Alia tak suka.”
Tengku Syahran menarik sudu dari tangan Zahlia.Segera ditolak mangkuk laksa itu menjauhi isterinya.Zahlia sedikit tersentak.Cepat-cepat menoleh ke arah Tengku Syahran.Lelaki itu hanya mengeluh.
“Kenapa tak cakap pada abang yang Alia tak suka? Kan Alia boleh pesan menu lain.” Suara Tengku Syahran sedikit marah.
“Alia…”
“Alia ingat abang paksa Alia makan laksa ni ya?”
Zahlia tertunduk.
“Tekak Alia tak boleh terima,” beritahu Zahlia takut-takut.
“Hisy… Alia ni! Jangan jadi macam lalang.Ikut semua cakap orang.Orang ke sini, Alia ke sini! Orang ke sana, Alia ke sana! Sesekali, kita nak ada pendirian sendiri jugak.Faham?”
Zahlia mengangguk.
“Sudahlah.Biar abang habiskan laksa tu.Membazir kalau dibiarkan macam tu aje.Alia nak pesan menu lain?”
Tengku Syahran menarik mangkuk laksa itu dekat dengannya.Zahlia menggeleng.Segera mencapai gelas air di atas meja lalu disedut tetapi perbuatannya terhenti apabila terpandang mata Tengku Syahran sedang merenungnya.
“Kenapa?” soal Zahlia pelik.
“Tak ada apa-apalah,” ujar Tengku Syahran sambil menyuap kembali laksa ke dalam mulut sambil tersenyum.
Zahlia semakin hairan.Mengapa dia tersenyum? Zahlia meraba-raba sekitar mulutnya.Tiada apa-apa yang melekat di situ.Matanya meliar ke sekeliling meja.Tiba-tiba Zahlia terasa wajahnya diserbu rasa panas.Gelas di tangan perlahan-lahan diletakkan semula ke atas meja.Zahlia tersalah ambil gelas!
“Apa salahnya Alia minum air abang?” Tengku Syahran menegur selamba.
Zahlia malu.Segera mencapai gelas airnya yang sebenar dan menyedutnya perlahan.
“Suami isteri yang makan berkongsi pinggan, minum berkongsi cawan akan sentiasa diberkati ALLAH.Apatah lagi kalau berkongsi straw.” Tengku Syahran mengusik.
Zahlia terdiam.Dia malu dengan kejadian yang tidak disengajakan tadi.Entah bagaimana matanya boleh tak perasan yang tangannya mencapai gelas Tengku Syahran? Namun, hati Zahlia tetap tercuit dengan kata-kata Tengku Syahran yang terucap tadi.Dia tersenyum di dalam hati.
Bab 50

ZAHLIA meletakkan novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashari di atas almari kecil sambil mengesat air mata.Kisah Izzah dan Hafiz begitu menyayat hatinya.Apabila difikir-fikirkan nasibnya dengan nasib Izzah begitu berbeza sekali.Izzah mengenali pakciknya sanggup menjual anak saudara sendiri.Sedangkan dia masih mempunyai seorang mama yang baru dikenali dan sudi memberikannya kasih sayang.Zahlia patut bersyukur dengan kelebihannya itu.
Zahlia melangkah ke tepi tingkap.Menyelak langsir yang berterbangan ditiup angin petang.Dia bersendirian di dalam bilik selepas pulang dari Sinar Iram tadi.Sejak pulang dari kampung beberapa minggu lalu Zahlia terasa otaknya kembali ringan.Dia sudah selesai menguruskan perpindahan milik harta wasiat Syarifah Muzainah ke atas nama Sinar Iram.
Tengku Syahran amat bersetuju ketika dia memberitahu kata putusnya itu.Zahlia juga tidak teragak-agak dalam membuat keputusan kerana dia sudah mendapat segala-gala yang diimpikan.Dia sudah mempunyai mama dan suami yang sudi bertanggungjawab untuk memberi kasih sayang kepadanya.Itu sudah memadai.
Zahlia memeluk tubuhnya sambil menghadap tingkap yang terbuka luas.Dari bilik itu dia dapat melihat taman mini Villa Sakura.Tengku Hafizah dan Tengku Farhana ada di situ.Mungkin sedang berbual-bual.Zahlia tersenyum.Kemesraan adik iparnya begitu mencuit hati.Keramahan Tengku Badariah dan Tengku Ismail telah menyemarakkan kasih sayangnya pada kedua-dua insan itu dan cinta Tengku Syahran kepadanya mampu membuatkan Zahlia terawang-awang ke dalam dunia rekaannya.
Zahlia berpusing.
“Haa!” satu suara menyergah.
Berderau darah Zahlia.Segera menutup mata dan menyandar di dinding tingkap.Terasa bagaikan hendak gugur jantungnya.Tiba-tiba ada bunyi ketawa meletus di dalam bilik itu.Zahlia kenal dengan suara itu.
Perlahan-lahan dia membuka mata.Apabila kelopak matanya dibuka, tubuhnya terus diraih ke dalam pelukan.Zahlia terkedu.Bunyi ketawa itu masih kedengaran.Malah semakin dekat di telinga.
“Ayang terkejut ke?” soal Tengku Syahran seraya melepaskan pelukan.
Zahlia merengus kecil.Dia kenal dengan kehangatan tubuh Tengku Syahran.Dia terus membalas pandangan mata Tengku Syahran sekejap.Tengku Syahran menghentikan ketawa.Melahirkan senyuman manis di bibirnya.Niatnya ingin mengucup pipi Zahlia tetapi pantas dihalang apabila Zahlia meregangkan lagi jarak antara mereka.Tengku Syahran mengerutkan dahi.
“Kenapa? Abang rindu kat Alia tau? Sampai tak sabar-sabar abang nak balik dari pejabat tadi,” ujar Tengku Syahran sedikit kecewa.Tetapi Zahlia bersikap selamba.Seolah-olah tidak mengerti kata-kata Tengku Syahran.
“Abang tu tak faham bahasa ke? Dah berapa kali Alia pesan, kalau nak masuk bilik kena buat apa?”
“Tau! Kena bagi salam.”
“Habis tu? Alia tak dengar pun! Buat terkejut orang aje.Entah bila dia menyelinap?”
“Elehh, dia yang termenung sampai tak sedar.Abang nampak Alia bertenggek dekat tingkap ni masa abang lalu kat taman mini tadi.Alia yang tak perasankan abang.” Tengku Syahran menjawab.
Zahlia memusingkan tubuh.Selamba tindakannya sehingga menimbulkan niat nakal di hati Tengku Syahran.Dengan pantas, Tengku Syahran memeluk pinggang Zahlia.
Zahlia hampir menjerit dengan tindakan yang deras itu.Cuba dilonggarkan tangan itu tetapi Tengku Syahran sengaja mengetatkan lagi rangkulannya.
“Mana Alia nak lari? Pintu tu abang dah kunci.Dan kuncinya ada dalam poket seluar abang ni.Kalau Alia berani, seluklah dalam poket abang.Ambil sendiri.” Tengku Syahran bersuara dalam nada usikan.
Mula-mula Zahlia terfikir juga mahu memprotes lagi tetapi lama-kelamaan dia hanyut dalam pelukan itu.Dia hanya membiarkan pelukan tadi semakin erat di pinggangnya.
“Abang dah lama sampai? Alia tak nampak pun,” tanya Zahlia sambil mencari raut wajah Tengku Syahran di belakangnya.
“Adalah dalam setengah jam abang perhatikan Alia.Sayang fikirkan apa? Semua masalah kan dah hampir selesai.Tinggal masalah kita aje.InsyaALLAH kita akan beritahu mak dan ayah tentang kita.Abang rasa elok kalau kita tunggu sampai perkahwinan kita genap setahun.Boleh kita sambut anniversary sekali.”
Zahlia terdiam.Terasa ada satu ciuman singgah di lehernya.
“Abang ni controllah sikit.Tu, Fiza dengan Ana nampak nanti, malu tau!” marah Zahlia.
“Apa yang susah? Tutup ajelah langsir tu.Tak ada orang nampak.Kita berdua aje yang tau.”
Tengku Syahran sudah menarik Zahlia.Berkira-kira untuk menarik langsir menutupi tingkap.
“Hei, abang jangan nak merepek-repek.Dah nak Maghrib ni! Abang tu mandi pun tak lagi, dah ingat benda lain.Asarnya dah ke belum?” Zahlia cuba menegur.
Tengku Syahran hanya tersenyum.Zahlia tidak pernah lupa mengingatkannya tentang solat.Tengku Syahran bersyukur.Zahlia telah membuka matanya besar-besar mengenai kesempurnaan solat.
“Abang dah solat dengan Adli tadi.Lepas habis appointment dengan Cik Dahlia wakil dari Syarikat Kenchana, kami terus singgah kat masjid.”
“Emm… baguslah.”
“Alia tak cemburu ke abang keluar dengan Cik Dahlia tu? Lawa orangnya tau!” duga Tengku Syahran.
Zahlia berpusing.Tegak berdiri di hadapan Tengku Syahran.
“Tak kuasa Alia nak cemburu-cemburu.Alia bukannya macam abang.Cemburu buta! Lagipun, abang keluar dengan Cik Dahlia tu dengan Adli, kan? Tak ada sebab Alia nak cemburu.Buang karan aje.”
Tengku Syahran ketawa kecil.Isterinya itu tidak pernah mencurigai tindak-tanduknya.Itu satu lagi kelebihan Zahlia yang membuatkan Tengku Syahran bertambah sayang padanya.
“Abang nak makan apa malam ni? Nanti Alia masakkan.” Suara Zahlia lembut.Tangannya disangkutkan ke bahu Tengku Syahran.Ada senyuman mesra lahir di bibirnya.
“Alia tak payah masaklah.Hari ni kita makan lauk yang Kak Salmah masak,” ujar Tengku Syahran cuba mendekatkan lagi wajahnya.Zahlia faham dengan maksud tingkah laku Tengku Syahran.Segera dia menahan wajah yang semakin hampir itu.
“Pergilah mandi dulu.Balik dari pejabat nak peluk orang.Peluh abang tu, Alia rimas.” Zahlia menjatuhkan tangan.
“Peduli apa!”
Ciuman mesra itu tetap singgah di pipi Zahlia dan kemudian melekat pula di dahinya.Zahlia menampar lembut pipi Tengku Syahran yang tersengih.
Kemudian mata Tengku Syahran terpandangkan rantai yang tersangkut di leher Zahlia.Hatinya kembang apabila melihat rantai pemberiannya dahulu masih tergantung di situ.
“Apa yang abang tengok?” soalan Zahlia membuatkan Tengku Syahran melebarkan senyuman.
“Leher Alia tu, geramnya abang tengok,” usik Tengku Syahran.
“Abang jangan nak mengada-ngadalah.Mulalah tu nak cakap yang bukan-bukan.”
Tengku Syahran terus ketawa.Wajah Zahlia yang kemerah-merahan ditatap sepenuh hati.Rambut lurus Zahlia yang berterbangan menutup sedikit wajahnya diselak lembut ke belakang.Dibelai dan diusap dengan senyuman.
“Rambut Alia ni cantik.Hidung Alia, pipi Alia dan segala-galanya milik Alia, abang nampak cantik.Dan satu lagi… mata Alia tu, lagi cantik,” sambung Tengku Syahran lagi.
Zahlia diam.Hanya membiarkan pengucapan lelaki itu menjamah telinganya.
“Kenapalah abang tak perasan waktu pertama kali kita berjumpa? Kalau tak, mesti kita tak perlu jalani kehidupan yang susah macam ni, kan? Kena fikirkan waktu yang sesuai baru nak hebohkan pada semua tentang perkahwinan kita,” ucap Tengku Syahran.
Zahlia tersenyum.Tengku Syahran memandang senyuman itu.
“Janganlah senyum menggoda macam tu! Hati abang tak tahanlah.”
Zahlia mematikan senyumannya.
“Abang ni,” marah Zahlia.
“Betul! Alia betul-betul mampu buat abang hilang akal tau.Setiap masa Alia jugak yang abang ingat! Tak ada orang lain.”
Bicara romantis itu membuatkan Zahlia telan air liur.Dia ingin membalas renungan mata Tengku Syahran tetapi dia gementar.Jadi, dia terus tunduk ke bawah.
“Dua hari lagi genap setahun perkahwinan kita.Abang tak sabar nak tunggu Alia jadi hak abang.Dalam waktu yang sama abang gementar.Alia pulak, apa yang Alia rasa?” soal Tengku Syahran.
Zahlia terdiam.Lagi dua hari? Terlalu cepat masa berlalu.Saat bahagianya dengan Tengku Syahran terlalu mengasyikkan sehingga dia hampir terlupa dengan masalah yang belum diselesaikan.Sewaktu dalam perjalanan pulang dari kampung dahulu, Tengku Syahran sudah memberitahu Zahlia tentang kehilangan surat perjanjian itu.Zahlia terkejut tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa apabila Tengku Syahran memberitahu orang yang mencuri itu adalah Linda.
“Alia pun takut jugak.Alia takut di saat-saat akhir, mak dengan ayah tau segala-galanya.Abang pun satu, kenapa tak beritahu Alia awal-awal yang surat tu Linda dah curi? Abang ingat abang boleh tanggung seorang diri? Kan Alia pun terlibat sama dalam hal ni.Apa salahnya kalau Alia berkongsi masalah dengan abang sekali?”
“Abang tak mahu Alia risau.Tapi, abang sendiri yang risau.Tambah-tambah selepas tengok CD yang Linda bagi tu.Abang cakap benda yang tak senonoh aje, kan? Kasihan pipi isteri abang ni.Tak semena-mena kena penampar sulung dari abang.”
Tengku Syahran mengusap pipi Zahlia yang pernah ditamparnya suatu ketika dulu.Rasa menyesal bertubi-tubi datang.Terlalu banyak wanita itu dikasarinya.
Zahlia tersenyum kecil.Teringat betapa garangnya Tengku Syahran malam itu.Bersuara pun dengan bahasa yang kasar.
“Kalau mak tau bagaimana bang?”
“InsyaALLAH kalau kita pandai menyimpan rahsia ni, mak takkan tau.Tapi, janganlah risau.Kita akan berterus-terang selepas segala-galanya selesai.Sekurang-kurangnya kalau apa-apa berlaku, kita tetap bersama,” luah Tengku Syahran dengan tenang.
Zahlia tunduk.Turut berdoa di dalam hati.
“Jangan tinggalkan abang ya? Kalau Alia nak tengok abang masuk Tanjung Rambutan, beranilah buat.Puas hati Alia agaknya sebab dapat tengok abang terkurung kat dalam bilik khas untuk pesakit jiwa yang kritikal.Tapi, abang rasa elok abang mati dari terus hidup kalau abang dapat tau Alia curang.Cinta abang dah sepenuh jiwa untuk Alia.Dah tak boleh berpatah balik.Macam cinta abang pada Naz…irah.”
Tengku Syahran menghentikan bicara.Zahlia mendongak dengan wajah yang sudah berubah.Mata mereka berlaga seketika.
“Nazirah? Siapa Nazirah?” soal Zahlia cuba mengetahui sama ada dia tersalah dengar atau tidak.Nama itu seperti pernah didengari.Tapi, Zahlia lupa.Di mana?
Tengku Syahran mengetap bibir.Tiba-tiba dia teringatkan Nazirah.Wajah lembut Zahlia yang mengingatkan memori lamanya dengan Nazirah.Kedua-duanya mempunyai bening mata yang mengasyikkan.Mampu memberi ketenteraman dalam jiwanya.Mata yang penuh mengharap dan punya kasih sayang yang mencurah-curah di dalam dasarnya yang cantik menawan.
“Siapa Nazirah bang? Cakap cepat! Kalau tak malam ni abang tidur kat luar!” ucapan Zahlia penuh dengan nada ugutan.
Tengku Syahran melepaskan ketawa yang menggeletek hatinya.Mungkinkah Zahlia cemburu? Tengku Syahran meneka sendiri.Pertama kali dia melihat Zahlia melayan rajuk yang minta cepat dipujuk.Zahlia benar-benar sudah menyayanginya jika benar wanita itu cemburu ketika nama Nazirah tersasul dari mulutnya tadi.Tengku Syahran membelai rambut Zahlia tetapi tangannya ditepis pantas.
“Sudahlah.Benci tengok abang! Dah ada perempuan lain rupa-rupanya.Beria-ia dia suruhkan kita sayangkan dia.Menyampah!”
“Aikk… cemburu pulak? Tadi Alia kata tak kuasa nak melayani perasaan cemburu.Tiba-tiba nak marah ni kenapa?”
Tengku Syahran mencuit hidung Zahlia.
“Abang tulah.Entah siapa agaknya si Nazirah tu?”
“Alah, Alia tak payah taulah.Kisah lama abang aje.Bila ada masa nanti, abang akan ceritakan okey?”
Zahlia terdiam.Memang dia cemburu kerana nama perempuan lain disebut oleh Tengku Syahran semasa dia hampir-hampir hanyut dengan bisikan lembut lelaki itu tadi.Sedang dia tersenyum sendiri, tiba-tiba nama perempuan lain menampar cuping telinganya.Isteri mana yang tidak cemburu?
“Dahlah tu, Alia.Esok, abang dah start cuti.Kita jalan-jalan kat KLCC okey? Abang bawa Alia tenang-tenangkan fikiran.Sekarang abang nak mandi.Alia temankan abang, ya?” Tengku Syahran sudah menarik tangan Zahlia menuju ke penyidai baju untuk mengambil tuala.
Zahlia tersentak.
“Eh, tak naklah! Abang mandilah sendiri.Alia sediakan baju abang.”
Tengku Syahran menghentikan langkah.Wajah tersipu-sipu Zahlia ditelan pandangan mata.
“Alia ni… dah jadi isteri abang pun nak malu-malu lagi.Suka hati Alialah.Abang nak…” ayat itu terhenti di situ.
Wajah Tengku Syahran tiba-tiba bertukar warna.Zahlia terkejut melihat Tengku Syahran yang sedang menahan sesuatu keluar dari mulutnya.
“Kenapa bang?”
Zahlia mula risau.Tingkah laku Tengku Syahran nampak panik.Pantas Zahlia memeluk lengan Tengku Syahran dan memimpinnya ke katil.
“Abang rasa tekak abang loya tiba-tiba.Nak termuntah,” beritahu Tengku Syahran sambil duduk di birai katil.
“Apa yang abang makan? Mesti benda yang merepek-repek ni.” Zahlia mengurut belakang Tengku Syahran.
“Mana ada! Abang makan nasi macam biasalah.Entah tekak abang ni rasa something.Sejak semalam abang rasa macam nak makan Laksa Penang.Kenapa ya?”
Tengku Syahran mengerutkan dahi.Zahlia tidak mengerti.Terus merenung wajah Tengku Syahran yang juga sedang memandangnya.Tengku Syahran tersenyum nakal.
“Alia mengandung kot?” tekaan Tengku Syahran membuatkan Zahlia terdiam.Tidak tertelan rasa air liurnya.
“Tak mungkinlah! Apa pulak sampai ke situ.Alia sihat aje.Abang yang rasa lain macam.Bukannya Alia.” Zahlia cuba memprotes.
Tengku Syahran cuba merenung mata Zahlia yang redup di sisi.Wanita itu segera tunduk.Seolah-olah tidak mengerti dengan pandangan mata suaminya.
“Kalau Alia ada rasa semacam cakap cepat-cepat tau?”
“Abang, kita kan dah janji kena settlekan hal kita dulu.Mana boleh Alia mengandung?”
“Apa salahnya? Kalau jadi pun, anak kita jugak.”
“Alia tengah sihat walafiat ni.Tak ada apa-apa tanda pun.Abang yang tak sihat,nak kaitkan dengan Alia pulak.”
Zahlia tetap berusaha menafikan.Memang tiada apa-apa tanda yang membolehkan dia meneka yang dia tengah mengandung.Dia tidak ada pula rasa mengidamkan sesuatu.Tidak juga badannya lemah dan tekaknya loya seperti yang dialami oleh rakan-rakannya yang mengandung.
“Hei, sekarang ni kan zaman siber! Isteri yang mengandung, suaminya yang mengidam.Alia pernah dengar tentang tu?” soal Tengku Syahran sengaja mengusik.
Zahlia menggeleng laju.
“Itulah… tak banyak bergaul dengan orang.Tengok abang ni, macam-macam cerita abang tau.Ada seorang kawan abang tu, isterinya mengandung, dia yang muntah-muntah, nak makan benda-benda yang masam-masam.Macam abanglah kot.”
“Ah, tak percayalah.Abang tu bukannya boleh dilayan sangat.Malas Alia nak ambil tau.Abang pergilah mandi cepat.Sekejap lagi kita jemaah sama-sama.”
Tengku Syahran mengeluh kecil sambil bangun dan melangkah ke bilik air.Selepas Tengku Syahran menghilangkan diri, Zahlia mengetap bibir.Fikirannya diburu pelbagai persoalan.Bukan tentang cerita Tengku Syahran sebentar tadi, sebaliknya nama perempuan yang disebut secara tidak sengaja.Siapa Nazirah? Zahlia tertanya-tanya.Tidak langsung teringat tentang perbualannya dengan Anissa suatu hari dulu.
Zahlia terus dipagut rasa cemburu.
Bab 51

KEESOKAN harinya, Zahlia dan Tengku Syahran bersiar-siar di sekitar KLCC seperti yang dijanjikan.Mereka tidak banyak membeli barang tetapi gemar berlegar-legar di sekitar taman KLCC.
Setelah puas berjalan di situ, Tengku Syahran terus membawa Zahlia ke rumah teres dua tingkat milik Puan Azizah.Mujur wanita itu ada di rumah ketika Honda Prelude Tengku Syahran sampai di hadapan pintu pagar rumah teres itu.
“Kenapa tak cakap awal-awal yang kamu berdua nak datang? Kalau tak, boleh mak siap-siapkan apa-apa.” Suara Puan Azizah kedengaran dari dapur.
Zahlia dan Tengku Syahran yang sedang duduk di ruang tamu hanya berbalas senyuman.Itu rancangan Tengku Syahran secara mengejut.Zahlia sendiri tidak tahu.Ketika Tengku Syahran memandu keretanya memasuki ke susur Jalan Taman Connought tadi barulah Zahlia perasan ke mana arah tujuan mereka selepas berjalan di KLCC.
“Alia pergi jenguk mak kat dapur sekejap bang.Abang duduklah dulu tengok-tengok album lama tu.”
Tengku Syahran mengangguk.
Zahlia terus menuju ke dapur.Ketika itu, Puan Azizah sedang membancuh air.
“Tak usah susah-susahlah mak.Kami singgah ni bukannya lama.Saja jenguk-jenguk mak,” ujar Zahlia.
“Alah, dah terlanjur kau datang ni, duduklah lama-lama sikit.Bukannya selalu.”
Zahlia tersenyum dan perlahan-lahan Zahlia memeluk lengan Puan Azizah mesra.
“Dah besar-besar pun nak bermanja lagi? Suami kau kat depan sorang-sorang tu.Pergilah teman.”
“Tak apa.Dia tengah tengok album lama.Mak masak apa hari ni?”
“Rezeki kau dengan Syah agaknya, Alia! Kata orang tu langkah kanan.Kebetulan ada sorang makcik tu upah mak masakkan laksa untuk jamuan anaknya pagi tadi.Terlebih-lebih pulak.Kau pun macam terbau-bau aje.Tiba-tiba menjenguk mak.”
Zahlia terus mencapai sudip dan mengacau kuah Laksa Penang yang sedang membuak-buak.Aromanya menusuk hidung dan amat menyelerakan.Teringat kehendak Tengku Syahran semalam yang bersungguh-sungguh mahukan Laksa Penang.Nampaknya hari ni, kehendak lelaki itu dapat dipenuhi.
“Alia, ni gambar Alia masa darjah berapa?”
Tengku Syahran melangkah ke dapur lalu menunjukkan sekeping foto ketika Zahlia berumur 12 tahun.Gambar menunjukkan Zahlia sedang mengambil sijil di atas pentas.
“Oh, gambar tu masa Alia darjah enam.”
“Alia dapat anugerah apa ni?” soal Tengku Syahran.
Zahlia menjungkitkan bahu.Tangannya ligat mengacau kuah laksa di dalam periuk yang berasap-asap.Malas dia hendak menjawab.Puan Azizah yang sedang menyusun cawan ke dalam dulang segera mengintai foto tersebut.
“Dapat anugerah pelajar terbaik, Syah! UPSR dia dapat A penuh.Tak pernah ponteng sekolah.” Puan Azizah menyampuk.
Tengku Syahran membesarkan mata.Zahlia sudah malu-malu di situ.
“Kenapa mak beritahu? Alia malaslah nak heboh-heboh.” Zahlia memuncung.
Puan Azizah ketawa kecil bersama Tengku Syahran.
“Eh, mak masak laksa ke?” Tengku Syahran tiba-tiba terhidu bau kuah laksa segera menegur.Tiba-tiba pintu seleranya terbuka luas.Zahlia memberi isyarat mata pada Tengku Syahran supaya bersabar.
“Ya,Syah.Rezeki kau agaknya!” pendek ucapan Puan Azizah.
“Dah mendidih kuah tu Alia.Senduklah dalam mangkuk dan hidangkan kat depan.Kita makan sama-sama,” sambung Puan Azizah beberapa ketika.
Puan Azizah sudah keluar menuju ke hadapan sambil menatang dulang yang berisi air.Tengku Syahran mengintai ke dalam periuk.
“Cepatlah Alia! Abang dah kecur air liur ni.”
Zahlia ingin ketawa melihat tingkah laku Tengku Syahran yang tidak sabar-sabar.
“Abang pergilah duduk kat depan dulu.Nanti Alia bawa kuah dengan laksanya.”
“Biar abang tolonglah.Lambat sangat Alia ni.Abang dah tak boleh tahan selera lagi.Teringin betul! Alia pergi bawa mi laksa tu dulu.”
Tengku Syahran mencapai mangkuk kaca di tangan Zahlia dan mula menyenduk kuah laksa itu dari periuk.Zahlia mengetap bibir.Kalau dah teringin, apa-apa boleh berlaku!
Zahlia terus mengambil mi laksa yang tersedia di dalam mangkuk menuju ke ruang hadapan.
“Syah mana? Tadi mak nampak dia yang beria-ia nak makan laksa.”
“Tengah senduk kuah mak.Alia nak buat, disuruhnya Alia keluar.Entah apa kenanya dengan dia tu sejak semalam.Sibuk sangat nak makan laksa,” bebel Zahlia sambil meletakkan mangkuk di tangannya di atas meja.
“Kenapa kau tak masak? Dah tau suami tu teringin, Alia sebagai isteri kenalah ikutkan.”
“Bukan Alia tak mahu buat, Alia dah lupa cara yang mak ajar tu.Dah setahun tak praktis.Nasib baik kami datang ni, ada rezeki! Kalau tak?”
Puan Azizah ketawa.Tengku Syahran muncul dengan mangkuk kuah di tangannya.Perbualan Zahlia dan Puan Azizah terhenti.Selepas Tengku Syahran meletakkan mangkuk kuah laksa tersebut di atas meja, mereka terus menjamu selera.
Tengku Syahran tersenyum lega.Kehendaknya benar-benar telah dipenuhi.Zahlia yang sedang mengunyah di sisinya turut kelihatan berselera.Hampir pukul 11.00 malam, baru mereka bergerak pulang ke Villa Sakura.
LINDA menumbuk-numbuk permukaan meja berkali-kali.Sejak semalam, mulutnya tidak henti-henti melemparkan sumpah-seranah dengan kata-kata kesat.Kemarahan Linda makin meluap-luap.Penantiannya selama tiga bulan untuk melihat kejatuhan dan kemusnahan hidup Zahlia dan Tengku Syahran hanyalah sia-sia belaka.
Semalam, dia terserempak dengan pasangan suami isteri itu sedang membeli-belah di Suria KLCC.Wah, bukan main ceria wajah kedua-duanya! Macam tak ingat langsung dengan surat perjanjian yang ada pada aku.Linda bengang.Ugutan yang sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan Tengku Syahran tidak langsung menjadi.
Apa yang dilihat oleh Linda di Suria KLCC semalam, amat menyakitkan hatinya.Betapa mesra kedua-dua insan itu berjalan bersama sambil berpimpin tangan bagaikan menarik-narik jiwanya untuk melakukan sesuatu.
Bersiap-sedialah Syah! Kau ingat aku main-main? Hari ini, kau akan sedar siapa Linda sebenarnya! Linda tiba-tiba ketawa besar.
Linda mematikan ketawanya.Kandungannya yang sedang membesar dipandang dengan jelingan.Dia mengutuk bayi di dalam perutnya.Setiap kali dia membayangkan saat-saat ketika bayi yang tidak diketahui bapanya itu, Linda pasti menyumpah sendirian.
Linda membuka laci mejanya.Tangannya mencapai sekeping kertas yang terselit di antara fail-fail yang ada di dalamnya.Kertas yang masih kemas tanpa lipatan itu ditatap lama bersama senyuman yang terukir di bibirnya.
Kertas itu perlahan-lahan dimasukkan ke dalam sampul surat besar.Setelah mencatatkan sesuatu di permukaan sampul itu, Linda bingkas bangun.
Linda keluar dari biliknya dengan beg yang tergantung di bahu dan sampul surat besar yang tergenggam di tangan.Terkedek-kedek dia berjalan bersama perut yang memboyot.Ketika sampai di luar biliknya, suara bising staf-stafnya berbual menangkap pendengaran.Linda mula naik angin.
“Ni, kenapa bersembang ni? Tak ada kerja nak buat?” marah Linda.
Dua orang gadis yang sedang gelak ketawa tadi, terkejut disergah begitu.Kedua-duanya terus berdiri dan tunduk di hadapan Linda.Takut dan gerun untuk merenung wajah majikan yang berbadan dua itu.
“Maria, I nak keluar sekejap.Kalau sesiapa cari I tolong ambilkan pesanan!” ujar Linda kepada salah seorang dari gadis yang sedang berdiri di hadapannya.
Maria tersentak mendengar suara lantang itu.Gementar dia mahu memandang raut bos yang ditakuti itu.Maria terus menundukkan wajahnya.
“You dengar tak apa yang I cakapkan ni?” sergah Linda.
Maria gugup.Bagaikan lembu dicucuk hidung dia mengangguk laju.Linda terus berlalu.
“Ttt…tt…tapi Cik Linda, setengah jam lagi, Cik Linda ada meeting dengan credit card department.” Tiba-tiba Maria bersuara.
Langkah kaki Linda terhenti.Dia baru teringat tentang mesyuaratnya itu.Segera dia mendengus.
“Postpone ke pukul 12.00 tengah hari.I ada kerja sekarang!” jawab Linda dan mula mengatur langkah.
“Pukul 12.00? Itu waktu lunch! Staf tak ramai masa tu Cik Linda.” Maria berkata lagi.
Linda mengerutkan dahi.Matanya kian mencerlang merenung wajah gadis yang berbaju kurung di hadapannya.
“That’s not my problem! I nak you beritahu officer di credit card department, tepat pukul 12.00 semua staf mesti dah ada kat meeting room.Kalau I tak nampak salah seorang dari staf di bahagian credit card, I akan pecat sesiapa sahaja.Even you pun I boleh pecat.Faham?” tengking Linda kuat.
Maria menarik nafas.Laju kepalanya diangguk.
“Baik Cik Linda.”
“Sudah.Buat kerja you.Dari tadi I nampak you dengan Ika tak habis-habis bersembang.” Linda mengomel.
Maria mengerling teman di sisi yang turut membisu.Merah padam mukanya menahan malu.
“Macam tak ada kerja! And you Ika, kalau tak ada apa-apa urusan penting, jangan nak menyibuk di tempat orang.Selesaikan kerja you dulu.Go back to your place,” marah Linda lagi.
Gadis bertubuh genit itu mencacak pergi apabila disuruh.Meluat dia melihat tubuh gempal Linda yang kian menyakitkan hatinya.
LINDA memberhentikan kereta tidak jauh dari Villa Sakura.Dia duduk menyepi di situ untuk memastikan keadaan di Villa Sakura itu benar-benar tidak berpenghuni.Kemudian dia keluar dari kereta.Terhendap-hendap memerhatikan ruang villa dari celah-celah pagar besi.
Dengan pantas Linda memasukkan sampul surat itu ke dalam lubang peti surat dan berpusing menghala ke kereta.Belum pun sempat Linda melangkah, dia terasa bahunya disentuh.
“Linda…” satu suara menegurnya.
Linda mati kutu.Perlahan-lahan dia memusingkan tubuh dan mendapati wajah Raja Khalida berada di hadapannya.Wanita itu sedang memandangnya pelik.
“Kenapa dari tadi Auntie Ida tengok Linda terhendap-hendap? Linda cari siapa?” soal Raja Khalida lembut.
Linda menggeleng.Wajah Raja Khalida sengaja ditatap dalam riak sedih,Linda ingin menutup mata Raja Khalida dengan lakonannya.Perlahan-lahan Linda tunduk ke lantai.
“Linda ingat, Linda nak jumpa Auntie Badariah.Linda rindu sangat.Tapi, Linda malulah auntie,” ujar Linda berpura-pura sedih.
Raja Khalida merenung wajah itu.Matanya terarah pada perut Linda yang memboyot pula.Timbul rasa belas di hatinya mengenangkan nasib wanita yang lebih kurang sebaya dengan Zahlia.
“Kenapa nak malu? Jom auntie bawakan,” pinta Raja Khalida.
Linda menggeleng.
“Tak payahlah auntie.Linda dah banyak lakukan dosa.Linda tau ramai yang salahkan Linda dalam hal ni.Tapi Linda jugak manusia.Pernah melakukan kesalahan.Linda dah bertaubat auntie.Linda dah berjanji tak mahu buat perkara terkutuk lagi,” ujar Linda beria-ia.Dalam hatinya dia sendiri yang tahu betapa geli perasaannya digeletek dengan ayat yang terucap di mulutnya tadi.
“Lagipun auntie… Linda rasa tak sabar nak menatap muka baby ni.Walau apa pun yang terjadi, dia tetap anak Linda.Linda yang bersalah sedangkan dia tak pernah tau apa-apa pun,” beritahu Linda tenang.
Raja Khalida tersenyum gembira mendengar pengakuan itu.Baguslah kalau betul wanita itu telah bertaubat.
“Baguslah Linda.Auntie seronok dengar Linda cakap macam tu.Jom auntie bawa Linda ke dalam.”
“Tak payahlah auntie.Kejap lagi, Linda ada appointment dengan doktor.Linda nak scan baby ni.Lelaki atau perempuan.” Suaranya sengaja diceriakan.
Raja Khalida tersenyum lagi.
“Ermmm… baguslah.Bila doktor ramal tarikh duenya?” tanya Raja Khalida.
“Mungkin tiga bulan lagi,” ujar Linda.
“Okeylah auntie.Linda pergi dulu.Kirimkan salam Linda pada Auntie Badariah,” ujar Linda sambil menghulur salam pada Raja Khalida.
Wanita itu menyambut dengan senyuman.
Linda berlalu.Sebaik sahaja Linda memboloskan diri ke dalam kereta, bunyi ketawa yang kuat pecah secara mendadak di mulutnya.Ketawa itu akhirnya bertukar menjadi tangisan kecil yang sengaja dibuat-buat.Tidak lama kemudian Linda menyepi di dalam kereta.
Fikirannya sudah lupa segala-galanya.Tidak langsung diingat mesyuarat yang sedang berlangsung di pejabatnya.Yang dia tahu hanyalah kegembiraan kerana hatinya puas.Tipu muslihatnya kini benar-benar menjadi.

 



No comments:

Post a Comment