Bab 22
TENGKU SYAHRAN masih membelek-belek barang-barang berjenama yang tersusun rapi di hadapannya.Sudah hampir setengah jam dia berada di hadapan rak tersebut.Membelek-belek dan kemudian meletakkan semula barangan itu.
Dia bingung.Tidak tahu jenama apa yang hendak dibeli.Sebelum keluar dari bilik hotel tadi, Zahlia ada memberitahunya jenama yang patut dibeli.Tetapi, Tengku Syahran sudah lupa.
Pagi tadi ketika Zahlia keluar dari bilik air wajahnya nampak pucat.Tangannya menekan-nekan perut seolah-olah menahan sakit yang amat sangat.Segera Tengku Syahran memapah Zahlia ke katil dan membaringkan wanita itu di situ.
“Kenapa Alia? Muka Alia nampak pucat aje.Sakit perut ke?” soal Tengku Syahran risau melihat wajah isterinya.
Zahlia menggeleng.Dia ingin memberitahu Tengku Syahran tetapi perasaan malu terus menerpa wajahnya.Tetapi, Zahlia terpaksa juga kerana dia ingin meminta pertolongan Tengku Syahran.
“Habis tu, abang tengok Alia macam tak larat aje?” soal Tengku Syahran lagi.
“Saya senggugut.” Lembut Zahlia berkata.
Wajahnya sudah mula bertukar warna.Selama ini tidak pernah perkara sebegitu dikongsi bersama lelaki.Tetapi kali ini, Zahlia sedar dia terpaksa.Kalau tak diberitahu, siapa lagi yang akan mengurangkan beban kesakitannya?
“Senggugut? Apa tu?” tanya Tengku Syahran macam orang bodoh.
Zahlia ingin ketawa melihat Tengku Syahran yang kelihatan pelik apabila mendengar perkataan itu.
“Penyakit orang perempuanlah.Itu pun tak tau?” marah Zahlia sekadar bergurau.
Zahlia cuba melupakan perkara semalam.Dia malas hendak mengingati setiap patah perkataan lelaki itu yang bersungguh-sungguh menyatakan cinta.Zahlia ingin melupakan.
Tengku Syahran terus terdiam.Dia pernah terdengar perkataan itu dahulu.Tetapi dia malas hendak ambil tahu.Kini, baru dia tahu apakah makna perkataan yang baru diucapkan Zahlia.Tengku Syahran tersenyum malu.
“Bagaimana boleh kena ni?” soal Tengku Syahran lagi.
Zahlia ingin ketawa lagi namun ditahannya.Tengku Syahran memang tidak tahu! Ucap Zahlia di dalam hati.
“Saya uzur.Awak boleh tolong saya tak?” soal Zahlia.
“Apa dia?”
“Pergi belikan roti kering,” ujar Zahlia malu-malu.Tengku Syahran mengerutkan dahi.
“Nak pergi beli roti kering, buat apa?” soal Tengku Syahran masih tidak mengerti.Zahlia mengeluh.
“Awak ni, takkan roti kering pun awak tak tau?” Zahlia sudah mula marah.Tengku Syahran menggeleng lagi.
“Pad.Tau, kan?”
Ucapan itu terus menjadikan Tengku Syahran terdiam.
“Tau tak?” soal Zahlia lagi.
Tengku Syahran mengangguk.
“Boleh tak tolong belikan benda tu?”
“Kenapa tak bawa dari rumah?” Tengku Syahran mengeluh sengaja menyembunyikan rasa malunya.
“Mana saya tau yang saya uzur kat sini? Benda nak keluar, bukan saya yang paksa.” Zahlia mula merajuk.
“Takkan Alia tak boleh nak agak tarikh duenya? Bulan lepas datang bila, bulan ni kan boleh agak-agak.” Tengku Syahran pula berkata.
Sebenarnya dia sengaja berkata begitu.Hatinya ingin ketawa mengingatkan soalan bodohnya tadi.
“Habis tu, sekarang nak suruh saya buat apa? Benda ni dah keluar pun.Kalau tak nak tolong tak apalah, saya boleh pergi sendiri,” ujar Zahlia separuh merajuk.
“Okeylah, okeylah, abang pergi beli.Alia mahu yang bagaimana?” soal Tengku Syahran.
Zahlia menguntum senyuman.
“Laurier.Yang saiznya maxi.Plastik dia warna hijau,” ujar Zahlia.
Tengku Syahran melangkah keluar.Sempat Tengku Syahran mengucup dahi Zahlia dan Zahlia hanya menarik muka masam.
Kini, pelbagai jenama terpampang di hadapannya.Tengku Syahran tidak tahu ingin memilih yang mana satu.Dia mengambil satu jenama di hadapannya.Membelek-belek dan kemudian terus berlalu ke kaunter.
Sebaik sahaja sampai di bilik, Zahlia sudah pun terlena di bawah katil.Kasihan dilihat wajah Zahlia yang mungkin menahan sakit.
Perlahan-lahan Tengku Syahran menggoyang-goyangkan bahu Zahlia.Lama dia menggerakkan tubuh itu, barulah Zahlia tersedar.
“Nah, ni barangnya.Abang main beli aje.Abang dah lupa brand apa yang Alia pesan tadi.Pandai-pandailah Alia ya?” beritahu Tengku Syahran seraya menghulurkan sebungkus plastik ke arah Zahlia.
Zahlia mencapai dan membelek-belek jenamanya.Kemudian dia mengerutkan dahi sebelum menoleh ke arah Tengku Syahran.
“Kan saya dah cakap, beli jenama Laurier! Yang awak beli jenama ni apasal?” Zahlia mengeluh.
“Kan abang dah cakap, abang dah lupa brand yang Alia nak tu.Abang beli ajelah brand yang lain.Lagipun abang tengok jenama ni macam elok aje.Siap ada wings lagi,” beritahu Tengku Syahran sambil tersengih.
“Sebab ada wingslah saya malas nak pakai.Susah tau tak?” bentak Zahlia.
“Apa yang susahnya? Saiz sama, maxi.Cuma yang ni ada kepak aje.Kalau susah sangat, meh sini abang pakaikan,” usik Tengku Syahran.
Zahlia mengetap bibir.
“Elehh… nak merajuklah tu.Sorrylah, mana abang tau.Ni semua kan barang wanita, abang ni lelaki.Lain kali abang takkan buat lagi, okey sayang,” ucap Tengku Syahran.
Zahlia rasa hendak muntah mendengar ayat yang baru diucapkan.Segera Zahlia berlalu ke bilik air dengan wajah yang bengang.
TENGKU SYAHRAN dan Zahlia sedang bersiap-siap untuk pulang ke Malaysia.Sebuah teksi telah pun menunggu mereka di luar hotel untuk dibawa ke Lapangan Terbang Narita.Sepanjang berada di Tokyo, tidak banyak tempat yang dikunjungi.Cuma semalam, mereka ke Menara Tokyo sebelum berangkat ke Tasik Nikko menikmati udara segar dan pemandangan yang menarik di kawasan itu.
“Alia dah siap?” soal Tengku Syahran tiba-tiba sambil memeluk bahu isterinya.
Zahlia tersentak.Segera menolak tubuh Tengku Syahran menjauhinya.Kemudian mengangguk.
“Kalau begitu, jomlah.Nanti teksi tunggu lama sangat pulak.” Tengku Syahran berkata lembut.
Zahlia mencapai beg pakaiannya dan berjalan membuntuti Tengku Syahran dari belakang.Kakinya dihayun lambat-lambat.Seolah-olah malas mahu melayani karenah Tengku Syahran.
Sampai saja di lapangan Terbang Narita, Zahlia bergegas ke telefon awam.Setelah memasukkan beberapa ribu yen, dia mendail nombor telefon Puan Azizah.
“Helo!” kedengaran satu suara menyahut.
“Helo, mak! Assalamualaikum, Alia ni,” jawab Zahlia.
“Ha, Alia! Waalaikumussalam.Alia kat mana ni? Kat Jepun lagi ke?” soal Puan Azizah ceria.
“Yalah mak.Alia dah nak balik ni.Tengah tunggu flight kejap lagi.Mak sihat?” soal Zahlia gembira.
“Sihat.Kau tu bercuti sampai lupa kat mak.Tak telefon pun,” ujar Puan Azizah seperti merajuk.Zahlia ketawa kecil.
“Sorrylah mak.Alia kan dah telefon ni.Mak nak pesan apa-apa?Alia ada satu jam lagi ni,” tanya Zahlia cuba memujuk Puan Azizah.
“Tak payahlah.Orang dah bersuami, mana ingat kat mak lagi.”
“Alah mak.Takkan merajuk kot.Sengaja Alia tak nak telefon.Bagi chancelah, pengantin baru.Bila terpandang aje telefon kat airport ni, teringat nak call mak.Maafkan Alia ya mak!”
Kedengaran Puan Azizah ketawa besar.
“Ingatkan bila dah ada suami, kau dah lupakan mak,” duga Puan Azizah.
“Eh, mak ni.Kasih mak lain, untuk suami lain.Ada nak samakan pulak.Okeylah mak, duit dah habis ni.Nanti bila sampai kat Malaysia, Alia call mak lagi,” ujar Zahlia.
“Okeylah.Jaga diri baik-baik.Kirimkan salam mak pada suami kau.”
“Okey, Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Zahlia meletakkan gagang telefon.Bibirnya masih berbunga dengan senyuman sambil melangkah ke tempat Tengku Syahran menunggu.
“Kenapa senyum-senyum ni?” soal Tengku Syahran.
Zahlia mematikan senyuman.Kemudian melabuhkan punggung di sisi Tengku Syahran apabila lelaki itu memberi ruang untuknya.
“Mak saya kirim salam.” Ringkas Zahlia berkata.
“Waalaikumussalam.Alia baru call dia ke? Kenapa tak beritahu abang?” soal Tengku Syahran lembut.
“Kalau beritahu awak, kenapa?” soal Zahlia.
“Tak adalah.Abang nak jugak bersembang dengan mak mentua abang.Tanya khabar dia? Mak sihat ke?” tanya Tengku Syahran.
Zahlia hanya menjawab dengan anggukan.
“Abang nak pergi sana kejap.Alia tunggu sini ya, jaga barang,” beritahu Tengku Syahran lalu mengangkat punggung melangkah ke arah satu sudut.
Zahlia hanya merenung seketika sebelum mengalihkan pandangan ke arah lain.
“ALIA yakin Alia akan bahagia? Kahwin ni bukan perkara main-main Alia.Tersilap langkah dah tak boleh berundur,” luah Puan Azizah suatu hari ketika Zahlia memberitahu emaknya tentang cadangan dia ingin mendirikan rumah tangga.
Pada awalnya, Puan Azizah kelihatan terkejut.Dia tidak pernah sekali menyangka yang anak angkatnya itu sudah berteman.Namun, bila diberitahu dengan bersungguh-sungguh, wanita itu barulah percaya.
“Alia tau mak.Alia dah buat keputusan.Lagipun dia lelaki yang baik,” bohong Zahlia.
“Alia pasti? Jangan terlalu berharap.Tak semua lelaki sama dalam dunia ni.Alia tengoklah mak sendiri.Siapa yang kecewakan mak kalau bukan lelaki.Mak tak mahu Alia kecewa seperti mak rasakan sekarang ni.Pedih Alia,” ujar puan Azizah sambil meramas lembut jari-jemari Zahlia.
“Alia ingat mak.Tapi, tak semua lelaki macam tu.Mak janganlah risau, Alia percaya dia akan bertanggungjawab,” beritahu Zahlia lembut sambil membalas genggaman Puan Azizah.
“Dia dah tahu tentang asal-usul Alia? Mak takut di kemudian hari, dia ungkit kisah hidup Alia.Dia memperkecil-kecilkan maruah Alia.Itu yang mak takut nak hadapi.”
Zahlia mengeluh kecil.Perlahan-lahan kepalanya diangguk.
“Dah mak.Awal-awal lagi Alia dah beritahu dia yang Alia ni anak yatim.” Selamba Zahlia berkata.Wajahnya dialihkan ke arah peti televisyen.
“Alia beritahu dia macam tu? Habis tu mama Alia?”
“Alia tak ada mama! Alia hanya ada mak dalam dunia ni,” ujar Zahlia memotong percakapan Puan Azizah.
“Tapi…”
“Dahlah mak.Malas Alia nak dengar pasal cerita tu.Alia nak naik atas dulu,” potong Zahlia lagi.
“Bila rombongan meminang nak datang?” soal Puan Azizah ketika tapak kaki Zahlia sampai di anak tangga kedua.
“Mungkin minggu depan,” jawab Zahlia ringkas.
“Alia…”
Zahlia tersedar apabila tangan Tengku Syahran mengusap lembut jari-jemarinya.Perlahan-lahan Zahlia mengeluh.Lamunannya sudah hilang.Pergi entah ke mana.
“Kenapa mengeluh?” soal Tengku Syahran.Zahlia hanya menggeleng.
“Ni untuk Alia.Abang beli ikhlas untuk Alia,” ujar Tengku Syahran sambil menghulurkan sebungkus kotak yang berbalut kemas.
Zahlia mengerutkan dahi.Lama dia mengamati bungkusan kecil di tangannya.
“Kenapa bagi saya ni?” soal Zahlia lembut.
Tengku Syahran menjungkit bahu sambil tersenyum kecil.
“Saja.Kenapa… Alia tak suka ke?” soal Tengku Syahran sengaja menduga.Zahlia terdiam.
“Tak tengok lagi, manalah saya tau saya suka ke tak,” jawab Zahlia selamba.Tengku Syahran terus ketawa.
“Buat apa susah-susah beli ni? Membazir duit aje.” Zahlia berkata tiba-tiba.Ketawa Tengku Syahran terus mati.
“Takkan beli untuk isteri pun membazir? Daripada abang guna duit tu untuk beli benda yang bukan-bukan, lebih baik abang gunakan untuk isteri abang,” jawab Tengku Syahran.
“Bukalah sekarang.” Tengku Syahran berkata apabila Zahlia hanya membisu.
“Nantilah.Orang ramai ni.Kat rumah ajelah,” jawab Zahlia hambar.Lalu memasukkan bungkusan kecil itu ke dalam beg.
Tengku Syahran terus terdiam.Sedikit sebanyak dia berkecil hati dengan tingkah laku Zahlia yang seolah-olah tidak menghargai pemberiannya.Mereka terus membisu sehingga kapal terbang yang dinaiki membelah awan menuju ke destinasi.
Bab 23
JAM menunjukkan pukul 9.30 malam.Suasana di Villa Sakura riuh menyambut kepulangan Tengku Syahran dan Zahlia.Sejak dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur lagi suara Tengku Farhana dan Tengku Hafizah kecoh bercerita dan seringkali membuatkan suasana menjadi gamat.
Tengku Syahran dan Zahlia tidak berbual panjang apabila sampai di Villa Sakura.Mereka kelihatan begitu letih.Awal-awal lagi Tengku Syahran sudah masuk ke bilik.Zahlia menurut tidak lama kemudian selepas dia menelefon Puan Azizah.
Sewaktu pintu bilik terbuka, Zahlia sempat menoleh ke arah Tengku Syahran yang telah pun merebahkan diri di sofa panjang di hujung katil.Lelaki itu tidak sedikit pun memandang Zahlia.Sejak dari Lapangan Terbang Narita lagi, Zahlia sudah menyedari sikap Tengku Syahran yang tiba-tiba menjadi seorang pendiam.
Rasa bersalah tiba-tiba muncul dari hati.Mungkinkah lelaki itu berkecil hati dengan tindakannya pagi tadi yang seolah-olah tidak berminat dengan hadiah itu? Zahlia mengetap bibir sebelum melangkah pantas ke bilik air.
Semasa Zahlia selesai membersihkan diri, Tengku Syahran dilihatnya masih terkebil-kebil di sofa.Zahlia terus melabuhkan punggungnya di birai katil.Kemudian dia mencapai beg sandangnya.Hadiah pemberian Tengku Syahran dikeluarkan.Sesekali matanya memerhati tubuh Tengku Syahran yang menghadap ke pintu.
Zahlia memejam matanya lama.Kemudian, kelopak matanya dibuka semula.Terkebil-kebil memandang kotak yang tergenggam kemas di tangan.Bergilir-gilir matanya memandang kotak itu dengan tubuh lelaki yang sejak tadi tidak bergerak.
Kertas pembalutnya itu dikoyak perlahan-lahan.Sebuah kotak jernih berada di tangannya.Seutas rantai emas putih berserta dengan loket batu permata berwarna ungu cair terlayang di hadapan mata.Wow, cantiknya! Hati Zahlia berkata.
Jari-jemari runcing itu mengeluarkan rantai itu diselangi dengan pandangan mata ke arah Tengku Syahran.
“Terima kasih, Syah! Cantik rantai ni,” ucap Zahlia tiba-tiba.Cuba memancing minat Tengku Syahran untuk berbual.
Tengku Syahran tidak bergerak.Tubuhnya masih kaku seperti tadi.Zahlia terus merenung rantai itu dengan penuh minat.Kadangkala dia melekapkan rantai itu ke lehernya seolah-olah sedang mencuba.
“Syah, I’m sorry okay? Saya tak expect awak boleh berkecil hati dengan perkara remeh ni! Awak buat saya rasa bersalah kalau terus senyap macam ni.” Akhirnya Zahlia meluahkan rasa bersalahnya.
Tengku Syahran masih membatu.Membuatkan Zahlia terus dihantui rasa bersalah.
“Syah!!!” Zahlia hampir–hampir menjerit dengan kelakuan lelaki itu yang selamba.
Tengku Syahran tersentak.Lantas mata yang sedang tertutup rapat itu terbuka semula.Matanya berkelip kuyu sambil jari-jemarinya tidak henti-henti menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
“Kenapa jerit-jerit ni Alia? Dah malam tau tak? Orang nak tidurlah,” ujar Tengku Syahran.
Zahlia terkedu.Memandang lelaki itu yang masih terpinga-pinga.
“Alia nak apa? Lapar ke?” soal Tengku Syahran apabila dilihatnya Zahlia seakan-akan terkejut dengan ucapannya.Terus hilang rasa mengantuknya.
Zahlia segera menggeleng.Rantai di tangan terus disorok ke belakang.
“Tak ada apa-apalah,” jawab Zahlia terus berundur ke belakang.Mula menyedari yang lelaki itu telah terlena sebenarnya.
Rantai tersebut ingin disimpan semula ke dalam bekasnya.Belum pun sempat rantai itu diletakkan ke dalam kotak itu, tangan Tengku Syahran menghalang.Perbuatan Zahlia terhenti.Sejak bila Tengku Syahran menghampiri tidak pula disedarinya.
“Kenapa simpan aje rantai ni? Pakailah.Mesti cantik,” ucap Tengku Syahran sambil tangannya mengambil semula rantai itu dari genggaman Zahlia.
Zahlia kehilangan kata-kata.Hatinya berdebar-debar bila jari-jemari mereka bertaut.Debaran luar biasa dirasakan.Selama ini, bukannya dia tidak pernah disentuh begitu.Malah, bibir merekahnya pun pernah dijamah oleh lelaki itu.Bukan sekali dua, lebih dari itu pun ada.
Zahlia tersentak apabila rambut lurusnya diselak ke tepi.Kelihatan Tengku Syahran sedang menyarungkan rantai itu ke lehernya.Zahlia mengambil peluang itu untuk mengamati wajah di hadapannya.
Alis mata yang tebal, bentuk mata yang tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil, hidung yang sedikit mancung serta bibir yang mampu menggoyahkan perasaan wanita.Ya ke? Kalau begitu, kenapa aku masih boleh bertahan berada di sisinya tanpa apa-apa perasaan? Zahlia tersentak lagi apabila tangannya ditarik melangkah ke cermin.
“Tengok tu! Kan cantik.Tak rugi duit abang beli rantai ni kalau Alia terus memakainya.” Tengku Syahran berkata.
Tidak lepas-lepas matanya memandang figura wanita itu di hadapan cermin.Zahlia tunduk.Malu juga kerana dipuji begitu.
“Alia tak suka ke? Kalau Alia tak suka, abang boleh tolong bukakan,” tanya Tengku Syahran apabila wanita itu hanya membisu tanpa apa-apa reaksi.
“Tak adalah.Cantik rantai ni.Saya suka.Terima kasih.Tapi, lain kali tak payah membazir duit lagi.Ingat Syah, perkahwinan kita hanya sementara.Jangan buat sesuatu yang boleh menyebabkan saya tak sampai hati suatu hari nanti,” ujar Zahlia panjang lebar.
Tengku Syahran mengerutkan dahi.Bibirnya diketap sebelum satu keluhan nafas dikeluarkan.Langkah kakinya tiba-tiba berlalu menuju ke kerusi panjang.Lantas punggungnya dilabuhkan di situ.Lama dia membisu.
Zahlia diam melihat perlakuan Tengku Syahran yang agak pelik tiba-tiba.
“Abang tak tau kenapa abang boleh jadi begini.Abang rasa abang dah sayangkan Alia.” Ucapan itu membuatkan Zahlia hilang pertimbangan sekali lagi.
Sewaktu di Tokyo dahulu, ucapan sebegitu telah menyebabkan Zahlia tidak tenang.Dan hari ini, Zahlia menghadapi perasaan yang sama ketika Tengku Syahran mengucapkan perkara yang sama.Jatuh cinta!
Zahlia terus duduk di birai katil.Lemah terasa urat sarafnya.Sementara tangan kanannya terus menggenggam rantai yang tergantung di leher.
“Maafkan abang, Alia! Abang tak sedar bagaimana perasaan itu muncul.Yang pasti abang betul-betul sayangkan Alia.Abang sayangkan perhubungan ni.Abang tak mahu perkahwinan ni sia-sia.Berikan abang peluang?”
Lamunan Zahlia terus hilang.Rasa tidak menentu terus-menerus menerpa ke sanubarinya.Kenapa boleh jadi macam ni? Soalan itu bermain-main di benaknya.
“Alia…” suara itu dekat di telinga Zahlia.
Kelihatan Tengku Syahran berada di sisinya.Jari-jemari runcingnya digenggam kemas sehingga kehangatannya terasa mengalir ke seluruh tubuh.Zahlia mengeluh kecil.Merelakan genggaman itu bertaut di tangannya.
“Please say something! You make me feel guilty if you’re just sitting here without talking!” pujuk Tengku Syahran disertai usapan lembut di tangan.
Zahlia membalas pandangan Tengku Syahran.Gementar.
“Saya tak boleh teruskan hidup begini Syah.Kita dah lakukan kesalahan.Keluarga awak tak tau tentang perjanjian kita.Lagipun benda ni berlaku secara drastik.Kita masih belum mengenali hati budi masing-masing.Saya tak dapat menyayangi awak dengan situasi yang telah berlaku,” jawab Zahlia bersungguh-sungguh.Pandangan mereka masih bertembung.
“Adakah disebabkan abang pernah menyatakan sesuatu yang mengguris hati Alia?”
“Bukan!”
“Habis, apa salahnya kita bercinta?”
“Awak tak faham.Dunia kita tak sama.Kita tak boleh hidup bersama dan saya tak dapat sayangi awak serta-merta.”
“Abang tak minta Alia sayangkan abang serta-merta.At least, you must try! You can’t make your own decision without trying!” ujar Tengku Syahran penuh mengharap.
“Tapi, awak kena ingat.Saya datang dari keluarga yang tak diketahui asal-usul.Orang jumpa saya kat tengah-tengah semak.Entah-entah saya ni…”
“Syhhh… jangan cakap begitu.Abang tak kisah dari mana Alia berasal.Abang tak mahu Alia perbesarkan soal keturunan.Apa yang penting kasih sayang,” potong Tengku Syahran lagi.
“Itu hakikat Syah.Darah yang mengalir dalam tubuh awak adalah dari golongan yang disegani.Sedangkan saya? Awak mahukah tiba-tiba keluarga awak dipandang serong dengan kehadiran saya? Misalnya suatu hari nanti ditakdirkan saya melahirkan anak awak, salasilah keluarga awak akan tercemar.Jika benar saya ni anak luar nikah, keadaan akan menjadi lebih buruk,” beritahu Zahlia mula melarikan pandangan ke arah lain.
Sesungguhnya begitu perit dirasakan untuk meluahkan kisah hidupnya yang masih ragu-ragu.Betapa dia pilu apabila salasilah keluarganya diselongkar semula.Tengku Syahran tersenyum kecil.
“Islam agama yang syumul, Alia! ALLAH tak pernah melarang setiap umatnya untuk berkahwin.Malah perkahwinan adalah salah satu dari kesempurnaan Islam.Tolong jangan buat sesuatu menyeksakan diri sendiri.Setiap manusia dikurniakan perasaan.Abang dah temui perasaan tu.Abang berharap, Alia akan temuinya suatu hari nanti.Abang akan tunggu! Sampai bila-bila, abang akan setia menanti.” Tengku Syahran membalas lembut.
“Tapi…”
“Dahlah.Abang dah mengantuk.Abang nak tidur dulu. Good nite, honey.” Tengku Syahran mula mengangkat punggung.
Bab 24
ZAHLIA tersedar apabila bahunya digoyang lembut.Perlahan-lahan dia membuka kelopak matanya.Terasa perit apabila matanya dipanah cahaya lampu yang menerangi ruang bilik.Dalam mencari kepayahan untuk memfokuskan pandangan, matanya tertancap pada seraut wajah yang terlalu hampir sehingga deruan nafas itu terasa hangat menampar wajahnya.
“Alia, bangun sayang.Dah Subuh ni,” ujar suaminya.
Zahlia menoleh pada jam loceng di tepi katil.Terkebil-kebil dia memandang jarum jam yang bergerak sebelum matanya dialih ke arah wajah di hadapannya.
“Dah pukul berapa ni?” soalnya yang masih dikuasai rasa mamai.
“Dah pukul 6.30.Kejap lagi Subuh nak habis,” jawab Tengku Syahran sambil mengukir senyuman.
Zahlia menggosok mukanya beberapa kali.
“Bangun ya?”
“Kan saya uzur.Bagaimana nak solat Subuh?” ujar Zahlia tiba-tiba.
Tengku Syahran membeliakkan mata.Alamak! Macam mana boleh terlupa ni? Soal Tengku Syahran di dalam hati.Dengan perasaan malu, songkok yang tersangkut di kepala ditarik.Jari-jemari kasarnya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Kelakuannya itu disertai dengan senyuman yang terasa kelat.
“Err… sorry! Abang… terlupa.Kalau Alia rasa mengantuk lagi, sambunglah tidur.”
Tengku Syahran berkata dalam keadaan gelabah membuatkan Zahlia geli hati.Tercetus sedikit senyuman di bibir mungilnya.
“Kenapa Alia tersenyum? Abang betul-betul minta maaf.Abang tak ingat langsung.”
“Tak ada apa-apalah.Saya gelihati tengok muka awak macam tu.Terima kasih sebab kejutkan saya,” beritahu Zahlia sambil bangun.
Tengku Syahran berasa sedikit lega.Mula mengukir senyuman walaupun perasaan malu masih berbaki di sudut hatinya.
“Saya nak mandi dulu,” ujar Zahlia terus berlalu ke bilik air.
TEPAT pukul 7.30 pagi, Tengku Syahran dan Zahlia turun beriringan.Ketika itu, Tengku Ismail sedang duduk membaca surat khabar manakala Tengku Badariah sedang menonton berita pagi di televisyen.
Tengku Syahran dan Zahlia segera melabuhkan punggung di kerusi berdekatan selepas mengucapkan salam kepada Tengku Ismail dan Tengku Badariah.
“Yang lain mana mak?” tanya Zahlia memecah keheningan pagi yang masih dingin.
“Ana dengan Fiza masih tidur lagi agaknya.Along kau ada kat luar.Entah apa dibuatnya pagi-pagi kat situ,” jawab Tengku Badariah lembut.
Suasana menjadi hening seketika.Masing-masing melayani perasaan sendiri tanpa ada perkataan yang dituturkan.
“Macam mana dengan percutian kamu berdua? Seronok?” tiba-tiba soalan itu terkeluar dari mulut Tengku Ismail.
Semalam mereka tidak sempat berbual panjang memandangkan pasangan suami isteri itu masih keletihan kerana seharian berada di dalam kapal terbang.
Zahlia dan Tengku Syahran berpandangan seketika sebelum masing-masing mengangguk.Tengku Badariah mula menumpukan minat tentang topik yang baru dicetuskan.Tidak sabar untuk mendengar jawapan dari anak menantunya.
“Apa yang tak bestnya ayah? Kalau tak best, tak adalah mereka asyik nak berkepit aje tu.” Satu suara dari muka pintu yang menyampuk mengejutkan mereka.
Masing-masing menoleh.Kelibat Tengku Hakimi muncul dengan senyuman mengusik di bibirnya.Zahlia tertunduk.Manakala Tengku Syahran hanya memerhati setiap gerak langkah Tengku Hakimi yang semakin hampir.
“Itu rahsia kami! Mana boleh beritahu orang lain.Tapi, memang best.Kalau ada rezeki lagi, Syah ingat nak pergi sana lagi.” Tengku Syahran bersuara.
Tengku Ismail meletakkan surat khabar yang sudah habis diselak di atas meja.Cermin mata yang dipakai, ditanggalkan dan disangkut ke dalam kocek baju.
“Kalau ada rezeki, ajaklah Alia berjalan ke tempat lain.Takkan nak ke Jepun aje.Sekali sekala tengok tempat yang lain pulak.” Tengku Ismail berkata.
Tengku Badariah menyokong kata-kata suaminya.Kecoh mulutnya mencadangkan pelbagai nama tempat yang boleh dikunjungi.
“Betul tu, Syah.Lepas ni, pergilah Vienna ke, Switzerland ke.Sementara masih muda ni elok pergi berjalan puas-puas.Nanti dah tua, tak syok,” ujar Tengku Badariah sempat menjeling ke arah Tengku Ismail.
Tengku Ismail yang mendengar hanya ketawa.Segera membalas jelingan si isteri yang berada di sebelah.
“Awak tu kalau nak ajak saya berjalan, bukan main berkias lagi.Jangan risaulah Yah ooii!! Saya tengah settlekan kerja-kerja saya dulu sebelum pergi bercuti.Saya janji lepas habis kerja saya tu, kita pergi okey?” beritahu Tengku Ismail dalam sisa ketawa yang masih berbunyi.
Zahlia dan Tengku Syahran ketawa melihat gelagat pasangan suami isteri itu yang sentiasa kelihatan mesra.Tengku Hakimi pula hanya tersenyum.Kenangan bersama Raja Jasmin mula terbayang di ruang mata.Terlupa sekejap wajah Sofea yang masih terlena ketika dia turun ke bawah tadi.
Memori ketika Tengku Hakimi dan Raja Jasmin berbulan madu di Wales terbayang lagi.Pada waktu itu, semuanya indah belaka.Tiada cacat cela dalam perhubungan.Betapa dia merindui setiap detik ketika bersama wanita itu berjalan-jalan di Cardiff.Sempat mereka berjalan ke Istana Caerphilly sebelum singgah ke Abergavenny.
Ah, kenapa wanita itu terlalu buta untuk menilai kasih sayangku? Terdetik soalan itu tiba-tiba.Di waktu yang sama, Tengku Hakimi ternampak Sofea baru turun dari anak tangga.Semalam dia dan Sofea telah bersepakat untuk bermalam di Villa Sakura setelah menjemput Tengku Syahran dan Zahlia dari lapangan terbang.
Tengku Hakimi merenung setiap langkah isterinya yang sedang menuju ke situ.Kasih sayangnya kian terasa.Lenyap terus bayangan Raja Jasmin.Bersemarak terasa kasihnya terhadap Sofea yang sabar dengan setiap perangainya yang kadangkala berubah hati.Dan kini, jelaslah sudah… Sofea hanya untuknya.Dan dia tidak rela wanita itu pergi sepertimana Raja Jasmin meninggalkannya.
“ABANG, Alia nak ke dapur dulu.” Spontan kata-kata Zahlia menyedarkan Tengku Hakimi dari khayalan.
Tengku Syahran hanya mengangguk lalu memberi ruang kepada Zahlia.Sofea sudah tiba di situ dan duduk di sisi Tengku Hakimi setelah memberi salam.Tengku Hakimi terasa ingin memeluk tubuh itu seperti yang selalu dilakukan ketika mereka berdua-duaan di rumah.Biar wanita itu sedar kasih sayangnya sudah menggunung tinggi.
“Kenapa abang tak kejut Sofea tadi? Boleh kita sembahyang berjemaah sekali,” tegur Sofea sedikit berbisik.
Tengku Hakimi tidak menumpukan perhatiannya pada pertanyaan itu.Dia lebih suka melayani perasaan dengan mengenangkan saat-saat indahnya dengan Sofea yang bakal menggugat dan mengusir pergi kenangan indah yang pernah dilalui dengan Raja Jasmin.Dia tersenyum tiba-tiba.
Dahulu, Sofea kelihatan malu-malu dengannya.Kini, wanita itu sudah pandai berkata-kata dan menasihatinya secara kiasan tanpa sedikitpun menyentuh hati kecilnya.
“Abang… mengelamun ni kenapa?” tegur Sofea.Tengku Hakimi memandang wajah isterinya.Tersenyum dan menggeleng.
“Sofea ke dapur jugak ya? Nak tengok apa Alia buat?” ujar wanita itu.
Tengku Hakimi mengangguk.
Di dapur, Zahlia hanya dapat membantu Salmah dan Siti dengan menyusun piring dan cawan di atas dulang.
“Alia nak tolong, Kak Salmah tak kasi.Apa yang Alia nak buat?” marah Zahlia berbunyi gurauan.
Kedua-dua tukang masak itu ketawa kecil.
“Tak usah.Nanti Tengku marah kami.Alia kan ahli keluarga Tengku Ismail.Tak pasal-pasal, gaji kami kena potong pulak,” beritahu Salmah masih dengan nada ketawa.
“Tak mungkin.Alia duduk macam ni, bosanlah.Sekurang-kurangnya bolehlah cepatkan kerja-kerja Kak Salmah dengan Siti,” jawab Zahlia tenang.Tangannya masih gatal mahu menolong.
Di waktu yang sama, Sofea tiba di situ dengan mengucap salam.
“Kenapa bising-bising ni? Sampai kat luar dengarnya?” soal Sofea.
Zahlia tersenyum pada birasnya.
“Tak ada apa-apalah kak.Alia nak tolong, tak dikasinya.Dia suruh kita duduk mengelamun.” Zahlia menjawab sambil menjeling ke arah Salmah dan Siti.
“Alia tak payahlah buat.Biar akak yang buat,’ ujar Sofea menghampiri.
“Haa… yang ni seorang lagi.Kalau Kak Alia kami tak kasi, Kak Sofea pun samalah.Akak berdua ni kan menantu dalam rumah ni.Kalau Mak Engku dapat tau, habis kami.” Siti pula menyampuk.
Sofea memandang Zahlia sambil menjungkitkan bahu.
“Dahlah kak.Duduk ajelah.Kami masih mampu buat semua kerja.” Siti berkata membuatkan Zahlia dan Sofea berpandangan lagi.
“Duduk sini ajelah Alia, Sofea!”
Tengku Badariah tiba-tiba sahaja berada di dapur dan menarik kerusi untuk kedua-dua menantunya apabila dilihatnya kedua-dua wanita itu hanya duduk termenung di sisi almari pinggan.
Zahlia dan Sofea lantas melabuhkan punggung di sisi Tengku Badariah.Perlahan-lahan jari-jemari mereka bertaut.Zahlia terkejut dengan tindakan itu.Segera memandang Tengku Badariah dengan pandangan yang tidak mengerti.Sofea juga begitu.
“Mak nak cakap mengenai Alia.Kamu Sofea, mak cuma mahu kamu dengar sebagai ahli keluarga.Okey?” ucapan Tengku Badariah menyebabkan Zahlia gugup.Tentang apa?
Sofea pula hanya diam dan mengangguk.
“Mak harap, Alia tak berkecil hati dengan apa yang mak nak tanyakan ni! Mak cuma nak tahu sebabnya aje.” Suara Tengku Badariah kedengaran tenang.Zahlia berasa pelik dengan kata-kata itu.Namun, jari-jemari mereka masih bertaut.
“Kenapa mak?” tanya Zahlia yang masih tidak faham dengan tindakan Tengku Badariah.
Tengku Badariah merenung wajah menantunya sepenuh kasih.Selepas Raja Jasmin meninggalkan rumah kerana mengikut lelaki lain, Tengku Badariah amat takut kalau-kalau dia sukar mendapat menantu lagi.Mujurlah Tengku Hakimi berniat untuk berkahwin lagi dan wanita itu adalah anak kepada jirannya.
Dia tidak kisah siapa yang menjadi pilihan anaknya, asalkan wanita itu pandai menjaga hati keluarga dan bersopan-santun.Ciri-ciri itu ada pada Zahlia dan Sofea.Mereka bukan sahaja bersopan-santun malah pandai membawa diri, ringan tulang, peramah dan yang paling penting kedua-dua wanita itu tahu menjaga batas-batas aurat seorang wanita sehinggakan di dalam rumah itu pun mereka masih memakai tudung di kepala demi menjaga aurat di hadapan lelaki.
Namun, Tengku Badariah masih tidak mengerti kenapa Linda anak Datin Rohana itu boleh tersenarai sebagai calon menantu pilihannya untuk Tengku Syahran.Jika hendak dibandingkan Linda dengan Zahlia, memang terlalu jauh bezanya.Bagaikan langit dengan bumi.Mungkin kerana Linda memang pandai memujuk!
Tetapi, Linda mempunyai salasilah yang lebih jelas manakala Zahlia masih ragu-ragu keturunannya.Namun, Linda yang lebih kepada kehidupan sosial dengan pakaian yang sentiasa up to date itulah yang gagal memikat hati Tengku Syahran.Sedangkan Zahlia yang low profile itu pula berjaya menakluki hati anak keduanya.
“Mak…” suara Zahlia yang tiba-tiba itu mengembalikan fikirannya yang jauh melayang.Tengku Badariah menunduk.
“Selepas kamu ke Mekah hari tu, Datin Rohana ada datang jumpa mak.”
Tengku Badariah memulakan bicara.
“Linda ada mengadu pada Datin Rohana yang kamu ada issue check di banknya beberapa minggu lepas.”
Gulp! Zahlia menelan air liur.Linda? Apahal pulak dengan minah tu? Rungut Zahlia dengan hati yang berdebar-debar.
“Linda kata, check yang kamu issue tu daripada Syah dengan nilainya lebih tiga puluh ribu, betul ke?” soal Tengku Badariah masih bernada lembut.Wajah Zahlia dipandang sepenuh kasih.Sofea pula tidak mengerti.Dia hanya membisu.
Zahlia membalas pandangan Tengku Badariah tanpa ragu.Mula menyusun kata-kata untuk berbicara.
“Memang betul mak.Memang Alia ada pergi bank nak cashkan check tiga minggu lepas.Alia ada jumpa Linda hari tu,” terang Zahlia dengan tenang.
“Kamu buat apa dengan check tu? Kamu nak tukar kereta ke?” soal Tengku Badariah masih menggenggam jari-jemari menantunya.
Zahlia menggeleng.
“Bukan.Di Sinar Iram ada seorang pekerja menghidap penyakit kanser perut.Syah sumbangkan duit untuk rawatan mak,” terang Zahlia lagi.
Tengku Badariah mengangguk.
“Mak bukannya apa.Mak tak mahu kata-kata Linda tu menghakis kepercayaan mak terhadap kamu.Mak takut Linda guna cara-cara tertentu untuk memburukkan kamu.Bukannya kamu tak tahu yang Linda tu pernah mak calonkan sebagai menantu.Tapi, kamu yang jadi pilihan Syah.Mak takut Linda berdendam.” Panjang lebar Tengku Badariah meluahkan kerisauannya.Sesungguhnya kasihnya kepada Zahlia sudah mula berputik.Zahlia tersenyum lega.
“Alia faham mak.Jangan risau sangat.Linda buat macam tu sebab dia takut Alia yang ada niat sendiri.Syak wasangka Linda bertempat,” balas Zahlia lembut.
“Mak Engku, Alia, Sofea… makanan dah disediakan.”
Ketiga-tiga wanita itu terkejut apabila ditegur oleh Salmah.Genggaman yang erat bertaut, sedikit demi sedikit mula terlerai.Mereka berjalan sambil berpelukan keluar dari pintu dapur menuju ke meja makan.
“Kenapa senyum-senyum ni mak? Alia?” sapaan Tengku Syahran mematikan lamunan ketiga-tiganya.Ketiga-tiga mereka ketawa manja membuatkan Tengku Syahran tertanya-tanya sendirian.
“Tak ada apa-apalah.Hal orang perempuan, mana boleh beritahu orang lelaki kan Alia, Sofea?” Zahlia dan Sofea mengangguk dan tersenyum lagi.
Tengku Syahran mengerutkan dahi.Pelik bin ajaib.Namun, tiada ucapan yang terluah untuk dia terus bertanya ketika itu.
Tengku Badariah duduk di sebelah Tengku Ismail.Sofea di sisi Tengku Hakimi manakala Zahlia melabuhkan punggung di sisi Tengku Syahran.Sempat tangan Tengku Syahran mencuit paha Zahlia yang sedang menuang air ke dalam cawannya.
Zahlia menoleh ke arah Tengku Syahran dengan pandangan yang sedikit pelik.Keningnya yang cantik terbentuk sengaja dinaikkan.Tengku Syahran mendekatkan wajahnya ke arah Zahlia.
“Apa yang Alia sembangkan dengan mak kat dapur?” bisik Tengku Syahran di telinga Zahlia.
Zahlia menjungkitkan bahu.Kepalanya digoyang laju sehingga menerbitkan perasaan geram di hati Tengku Syahran.Tangan lelaki itu pantas menggenggam jari-jemari Zahlia kuat di bawah meja.Zahlia cuba untuk menarik tangannya semula tetapi gagal.Bibirnya diketap.Geram diperlakukan begitu.
“Cakaplah Alia,” pujuk Tengku Syahran.
“Mana boleh.Kan mak dah beritahu, hal orang perempuan.Hisy… awak ni sibuk ajelah,” balas Zahlia sambil ketawa.
Tengku Syahran mendengus.Semakin sakit hati dengan kelakuan Zahlia yang sengaja mempermainkannya.Melihatkan wajah itu, Zahlia ketawa lagi.Namun, ketawanya itu segera disembunyikan agar emak dan ayah mentuanya tidak menyedari kelakuan mereka.
“Alia cuti sampai bila?” suara Tengku Hakimi yang kedengaran membantutkan perbuatan Tengku Syahran untuk terus memaksa Zahlia.
Zahlia mengambil kesempatan itu untuk menarik tangannya dari pegangan Tengku Syahran yang semakin kuat.Segera tangannya diletak di atas meja.
“Mungkin dua tiga hari lagi, Alia start mengajar.Alia ingat nak pergi melawat kawan Alia yang menghidap penyakit kanser perut tu,” jawab Zahlia tenang menyembunyikan rasa gelihati yang tercetus di hatinya.
Tengku Hakimi mengangguk.Terdiam dan mula mengunyah makanan.Sofea di sisi juga begitu.
Zahlia mengerling wajah Tengku Syahran sekilas.Kelihatan masam mencuka.Tidak sejernih tadi.Waktu itu semua yang ada di ruang makan itu sedang melayani perasaan sendiri.
Zahlia mendekatkan sedikit mulutnya ke arah lelaki itu.Ingin berbisik. “Boleh tak bang? Alia nak melawat kawan Alia tu?” soal Zahlia.
Tengku Syahran menyedut minuman.Hatinya dipagut rasa cemburu tiba-tiba.Adegan ketika di hospital dahulu terbayang semula di ruang mata.
Siapa lelaki itu? Kekasih diakah? Kalau bukan, kenapa Alia membenarkan tangannya dipegang sesuka hati oleh lelaki itu? Sedangkan aku, terpaksa curi-curi untuk menyentuhnya walaupun aku lebih halal terhadap dirinya! Tengku Syahran mendengus di dalam hati.Melepaskan kemarahan yang meluap-luap di situ.
“Abang,” panggil Zahlia perlahan sambil mencuit lengan lelaki itu.
Tengku Syahran tersedar.Segera meletakkan cawan di atas piring.
“Boleh tak?” soal Zahlia lagi.
“Suka hati Alialah!” keras Tengku Syahran membalas sebelum berlalu ke tingkat atas.
Zahlia pelik.Apa kena dengan suaminya itu? Tadi bukan main elok moodnya.Tiba-tiba aje berubah! Nak marah-marah orang pulak, rungut Zahlia sendirian.Mujur mereka yang berada di meja makan tidak menyedari hal itu.Masing-masing meneruskan sarapan.
“Bila ayah nak buat mesyuarat famili? Biasanya ayah suka pilih hari last untuk makan besar.” Tengku Hakimi mengalihkan topik apabila keadaan kembali sunyi.Sofea leka mengunyah kuetiau goreng.
Zahlia hanya memasang telinga.
“Ayah ingat nak buat pertengahan bulan ni.Ayah nak umumkan sesuatu.Kamu boleh tolong ayah tak Kimi?” tanya Tengku Ismail memandang anak sulungnya.
Tengku Hakimi meletakkan sudu di tangan ke atas pinggan yang berisi kuetiau goreng.
“Apa dia ayah?” Tengku Hakimi membalas pandangan ayahnya.
Tengku Badariah juga berminat dengan topik tersebut.Suapan di mulut perlahan-lahan dikunyah.
“Kamu tolong ayah carikan tukang masak makanan kampung! Dah lama ayah tak makan masakan kampung,” ujar Tengku Ismail membuatkan Tengku Badariah mengerutkan dahi.
“Aikk… dulu abang jugak yang tak suka makanan kampung.Bukan main beria-ia Yah nak belajar, abang tak bagi.Pedaslah, tawarlah, pahitlah,.Kenapa tiba-tiba aje ni?” perli Tengku Badariah membuatkan Tengku Hakimi, Sofea dan Zahlia ketawa mendengarnya.
“Awak ni! Perut abang tiba-tiba rasa nak makan.Agaknya dah bosan asyik menghadap western food kot,” jawab Tengku Ismail selamba.
“Tengoklah ayah.Kimi tak boleh janji.Tapi, Kimi akan cuba cari,” balas Tengku Hakimi bersungguh-sungguh.Tengku Ismail hanya mengangguk.
“Kalau tak dapat macam mana ayah?” soal Tengku Hakimi tepat memandang Tengku Ismail.
“Kalau tak dapat, serahkan pada Alia aje along,” pintas Zahlia tiba-tiba.
Kini, semua mata sedang menumpu ke arah Zahlia.
“Alia boleh bereskan hal ni, kalau along dengan ayah tak kisah.Macam mana?” Zahlia mengangkat keningnya.
“Alia nak buat apa?” tanya Tengku Badariah.
“Rahsia!”
Tengku Ismail dan Tengku Badariah berpandangan.Tengku Hakimi masih memandang Zahlia.Sofea juga begitu.Akhirnya bibir masing-masing mengukir senyuman.
“Oraitt, macam nilah.Alia tolong selesaikan hal ni untuk along, boleh tak? Along busy sikitlah dua tiga minggu ni,” pinta Tengku Hakimi.
Zahlia terdiam.Lama kemudian barulah dia mengangguk setuju.
“Kalau semua dah beres, Alia naik dulu,” ujar Zahlia sambil mengangkat cawan-cawan kotor dan membawanya ke dapur.
bab 25
No comments:
Post a Comment